Saturday, May 28, 2011

Semut hurungi Harimau Malaya


PENGUNJUNG sedang melihat lukisan bertajuk ‘Life Ant’ yang dijual dengan harga RM45,000.


ENJIT-enjit semut, siapa sakit naik atas. Lagu tersebut sudah tentu tidak asing di kalangan masyarakat di negara ini, lebih-lebih lagi apabila ia digayakan bersama dengan permainan menyusun tangan secara bertingkat.

Bagaimanapun, semut yang dilukis oleh artis terkenal Malaysia melalui karya lukisan dakwat Cina, Goh Ah Ang amat berlainan kerana tidak ramai pelukis menjadikan serangga kecil itu sebagai subjek utama kepada lukisan mereka.

Goh Ah Ang nyata bijak menggabungkan keindahan tradisional budaya timur dengan prinsip-prinsip moden, reka bentuk kebaratan dalam siri lukisan terbarunya, Art and Ants.

Malah beliau secara tidak langsung berjaya mencipta satu siri kerja berdasarkan identitinya yang tersendiri iaitu semut dan tulisan kaligrafi Cina yang diambil daripada potongan ayat Kai Su (Sutra- Heart of Perfect Wisdom).

Kai Su merupakan himpunan 14 puisi dalam bahasa Sanskrit dan ia diterjemahkan kepada 260 huruf Cina yang amat terkenal di kalangan penganut agama Buddha.

Keringkasan dan kedalaman makna yang tersirat dalam kandungan huruf-huruf itu membawa maksud yang tersendiri bergantung kepada mereka yang menilainya.

Selain itu, Goh Ah Ang juga berani untuk mendalami subjek baru dan meletakkan penekanan pada teknik-teknik lukisan berus moden dengan kreativiti konsep artistik yang tidak pernah dihasilkan sebelum ini.

Karya-karya lukisan dakwat Cina yang dihasilkan Goh Ah Ang amat berlainan dan kelainan yang penulis dapati bukan berada pada tulisan kaligrafi Cina tetapi ia terletak pada serangga kecil yang tidak diendahkan oleh kebanyakan individu.

Semut bukanlah serangga yang sering dibela manusia seperti lebah ataupun ulat sutera yang banyak mendatangkan hasil kepada sektor pertanian dan sektor pengeluaran kai sutera.

Peliknya, mengapa Goh Ah Ang menjadikan semut sebagai sumber inspirasi yang dilukis beliau dalam kebanyakan karyanya.

Ketika ditanya mengenai soalan tersebut, jawapan yang diberikan oleh Goh Ah Ang amat mudah iaitu kerana semut merupakan serangga yang kecil, unik dan bekerja keras.

“Semut hidup sejak pertengahan zaman batu dan ia merupakan lambang kepada nyawa dan kekuatan.

“Walaupun ia kecil, serangga tersebut miliki kekuatan yang amat menakjubkan dan mengikut kajian semut boleh mengangkat beban 40 kali ganda lebih berat daripada berat badan asalnya,” katanya ketika ditemui semasa pelancaran Pameran Kesenian Art and Ants di Balai Seni Maybank, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Nasional, Tan Sri Amirsham A. Aziz dan Naib Pengerusi Maybank, Datuk Mohd. Salleh Harun bagi merasmikan pameran tersebut.

Goh Ah Ang pernah memenangi anugerah Pertandingan Dakwat Kebangsaan pada tahun 1980.

Kemudiannya, pada tahun 1983, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) menganugerahkan beliau dengan anugerah Young Contemporaries.

Pada tahun yang berikutnya, beliau di undang untuk menyertai pameran bersama yang diaturkan oleh BSLN bersama-sama dengan enam artis muda tempatan.

Hasil kerja beliau yang diberi nama sebagai Window terpilih untuk dipamerkan dalam Pameran Overseas Chinese Artist Art Collection di China pada tahun 1995.

Pada tahun 2002, karya Where There’s Life, There’s Hope pula mendapat pengiktirafan sebagai karya masterpieces manakala pada tahun 2006, beliau telah dianugerahkan dengan International Award for Contribution to Art oleh Federation of International Color Ink Artists dari Taiwan.

Goh Ah Ang berkata, kehidupan harian semut banyak memberikan pengajaran kepada manusia.

“Semut hidup dalam koloni-koloni kecil yang teratur walaupun hidup bersama berjuta-juta semut lain.

“Walaupun dianggarkan lebih daripada 22,000 spesies semut telah diklasifikasikan, ia masih lagi mudah dikenali berdasarkan sesungut dan struktur bentuk,” ujarnya.

Menurutnya, idea untuk menggunakan semut sebagai subjek utama bermula pada 30 tahun yang lepas.

“Pada 30 tahun yang lepas, saya melukis semut pertama dalam siri lukisan yang diberi nama sebagai Windows.

“Dalam lukisan itu, saya melukis seekor burung pipit yang sedang hinggap di sebuah bingkai tingkap dan ia sedang melihat kepada seekor semut.

“Walaupun semut itu hanyalah satu karakter kecil pada masa itu, tetapi ia menarik minat mereka yang melihatnya dan mulai saat itu saya berazam untuk menjadikan serangga kecil itu sebagai subjek utama karya terbaru saya,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: