|
|
KETIKA usia remaja, Julie Wong sering mengalami sakit kepala kronik yang menjejaskan urusan harian. Sakit itu dirasakan berdenyut-denyut selama beberapa hari malah pernah hingga seminggu.
Disebabkan tidak tahan, pernah pada satu ketika, dia menelan lapan biji ubat paracetamol walau baru setengah hari menahan sakit. Namun tiada perubahan dirasakan.
Kerana tidak tahan, Julie, sememangnya seorang yang aktif ketika itu, bertemu doktor untuk mengenal pasti apakah puncanya.
"Doktor menasihatkan saya melakukan ujian sinar-x untuk mengenal pasti sama ada saya mengalami migrain atau sebarang ketumbuhan dalam kepala tetapi saya enggan," katanya.
Keengganan bertemu doktor membuatkan sakit kepalanya berterusan tanpa ada penyelesaian. Bagi wanita ini, keadaan itu sangat mengganggu namun dia hanya mampu bertahan dengan ubat yang diambil. Sakit itu berterusan menyerang wanita berasal dari Kuala Lumpur itu sehinggalah dia memasuki usia 20-an.
Ketika berkerja di Club Med, Cherating, beliau diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan. Ketika itu beliau berkesempatan bertanya kepada doktor bagaimana untuk menghilangkan sakit kepala kronik yang dialaminya tanpa melakukan ujian menyeluruh.
Doktor mengesyorkan Julie melakukan senaman. Bukan senaman yang ekstrem, cukup sekadar menjadikan ia rutin, kemungkinan masalah tersebut mampu dikurangkan.
Bermula dari situ, dia kembali bersenam selepas waktu kerja dengan berlari atau mengunjungi gimnasium. Lantaran lebih suka kepada aktiviti luar, wanita itu memilih untuk berlari.
"Selepas mula berlari, saya mendapati sakit kepala berkurang dan lama kelamaan ia langsung hilang tanpa memerlukan rawatan yang lebih khusus," katanya.
Menurut doktor yang merawat Julie, berkemungkinan dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan kecuali berkaitan dengan metabolisme badan. Justeru, hanya dengan bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat dia mampu menangani perkara tersebut.
Suka berlari
Selepas menyedari senaman atau lebih tepat lagi larian sangat berkesan dalam membantu mengatasi masalah sakit kepala, Julie tidak menoleh ke belakang lagi.
Boleh dikatakan hampir setiap hari dia berlari dan pilihannya adalah larian jarak jauh. Bukan tidak boleh berlari jarak dekat, namun dia tidak mahu memaksa diri melakukan aktiviti pecutan atau ekstrem kerana masalah kadar denyutan jantung rendah yang dialaminya.
"Saya pernah mencuba lari pecut, tapi kemudian rasa sesak nafas pula," katanya.
Sejak tahun 2006, Julie mula terlibat secara serius dalam acara marathon. Ketika itu, beliau dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Atlet Veteran Kuala Lumpur. Justeru setiap kali ada pertandingan dia harus menyertainya.
Bermula dengan cubaan lima kilometer (km), Julie beranikan diri menambah sehingga 15 km dan kemudian 21 km. Sedikit demi sedikit beliau meningkatkan jarak larian sehinggalah mencatatkan masa empat jam bagi jarak 30 km.
Menyedari dirinya berjaya mencatatkan rekod yang baik, Julie terus terfikir untuk mencuba marathon dengan jarak 42 km yang biasanya mengambil masa enam jam.
Tidak disangka dia mampu melakukan larian tersebut dalam tempoh yang ditetapkan dan selepas itu Julie menjadikan aktiviti larian sebagai minatnya.
Menurut beliau, jika diukur pada jarak, marathon bukanlah acara terpanjang yang pernah disertainya,
Beliau pernah terlibat secara tidak langsung dengan satu kumpulan penganut Hindu yang berarak sejauh 204 km dari Batu Caves, Selangor ke Maran, Pahang melalui lebuh raya Karak.
"Sebenarnya ia berlaku secara tidak sengaja. Saya bertemu dengan seorang lelaki Hindu yang juga selalu berlari. Dia berkata ada satu acara untuk berarak, jadi saya berminat untuk menyertai," katanya.
Lantas lelaki tersebut terus mendaftarkan nama Julie dan tanpa persediaan rapi dia mengikuti perarakan tersebut yang memakan masa selama tiga hari.
"Memang saya tidak bersedia. Bayangkan hanya saya seorang berbangsa Cina dan hanya membawa pakaian yang saya biasa pakai semasa berlari. Disebabkan itu, kulit saya terkena panahan sinaran mentari yang teruk hingga mengambil tempoh dua bulan untuk pulih semula," katanya.
Stamina
Hari ini, pada usia 46 tahun, Julie masih aktif dan langsung tidak menampakkan usia sebenarnya. Kehidupannya dirasakan semakin memberangsangkan apatah lagi dia memiliki perniagaan sendiri yang memudahkannya terlibat dengan aktiviti luar.
Julie tidak lagi memegang jawatan dalam Persatuan Atlet Veteran. Namun, cintanya terhadap larian terus dibaja.
Sebut sahaja di mana ada acara larian, di situlah wanita ini akan tiba. Malah, syarikatnya turut menganjurkan pertandingan larian butik (berskala kecil antara 200 hingga 300 peserta) yang memberi pendedahan kepada pelari amatur untuk bermula.
Menurut Julie, syarikatnya juga pernah menganjurkan acara larian dengan membawa peserta hingga ke Pulau Christmas di Australia.
Meski pun minat terhadap bidang tersebut membara dalam dirinya, Julie tidak menjadikan ia sesuatu yang wajib kerana baginya, dia berlari untuk menghiburkan hati dan menghilangkan stres.
"Walaupun saya minat terhadap larian, bukan bererti saya melakukannya setiap hari. Saya tidak mempunyai jadual yang khusus untuk berlari, malah saya tidak suka kerana rasa ia seperti terikat," katanya yang masih belum berumah tangga.
Seandainya terlibat dalam acara marathon, Julie akan memastikan dia berlatih dua atau tiga bulan awal kerana ia memerlukan stamina yang tinggi.
Sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dia akan berlatih selama satu jam setiap kali.
Menurutnya, tanpa persediaan yang rapi, dia mungkin boleh mengalami kecederaan seperti kejang, cepat letih serta mudah mengalah.
Bercerita mengenai pengalaman yang dilalui, bagi Julie, acara marathon yang dianjurkan Standard Chartered di Kuala Lumpur lebih menarik berbanding di Jambatan Pulau Pinang kerana persekitarannya.
"Melalui jalan Kuala Lumpur, kita tidak sedar kerana terdapat banyak perkara menarik sepanjang laluan. Tetapi bayangkan berlari di atas jambatan sejauh 16 kilometer yang tiada apa-apa di kiri dan kanan. bagi peserta baru, mereka mudah patah semangat," katanya.
Masa terpantas yang pernah dicatatkan Julie untuk marathon 42 km adalah lima jam 52 minit.
Persediaan
Julie tidak suka kepada suplemen. Baginya, makan makanan yang seimbang dan minum air kosong dengan banyak, itu sudah mencukupi.
Bagi wanita itu, sarapan pagi merupakan hidangan yang wajib diambil sekitar pukul 8 hingga 10 pagi. Cukup sekadar kuetiau sup atau mihun sup, dia menikmatinya bersama air teh atau milo.
Sekitar pukul 1 tengah hari dia harus menikmati makan tengah hari yang terdiri daripada semangkuk nasi penuh, sayur dan ikan. Biasanya Julie mengelak mengambil daging merah.
"Saya sebenarnya suka makan nasi dan lauk pula, saya tak kisah dimasak cara apa sekali pun," katanya.
Julie juga tidak lupa mengambil minum petang (biskut bersama teh atau kopi) dan makan malam, juga dengan menu yang sama seperti makan tengah hari. Walaupun begitu, dia tidak gemar menikmati snek seperti goreng pisang atau makanan ringan lain di antara waktu makan.
Sebagai seorang yang aktif, Julie juga tidak merokok dan hanya mengambil minuman keras jika ada majlis tertentu.
Sebelum terlibat dengan marathon, beliau akan mengambil makanan mengandungi karbohidrat dalam jumlah yang banyak. Begitu juga dengan air kosong yang diminum sebanyak tiga liter setiap hari.
Amalan setiap pagi bangun tidur dia akan minum segelas air kosong sebelum melakukan perkara lain.
Beliau akan memastikan tidur yang cukup lapan jam sehari sebelum pertandingan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: