Wednesday, May 11, 2011

Larian amal Jac, Black


SEMANGAT... Sebahagian daripada artis yang hadir pada sidang akhbar Feel Good Run 2011 yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


APABILA membabitkan sebarang acara atau persembahan amal, penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor atau lebih dikenali sebagai Jac tidak pernah menolak.

Malah, atas tanggungjawab sosial, dia sanggup dan tidak pernah berkira untuk terlibat dalam apa jua persembahan amal.

Namun, apa yang membuatkan dirinya sedih dan kecewa apabila ada yang cuba mengambil kesempatan atas nama amal itu sendiri demi kepentingan diri sendiri.

"Bukan sekali dua tetapi ada beberapa insiden yang saya lalui di mana penganjur tidak menunjukkan keikhlasan mereka dalam menganjurkan persembahan amal seperti mana yang dijanjikan.

"Atas alasan itu, saya kini lebih berhati-hati dalam memilih persembahan amal kerana tidak mahu kesilapan sama berulang kali.

"Saya dan pengurus, Zalekha Mohamad Wakil akan menilai segala jemputan yang diterima agar kami tahu acara yang melibatkan kami itu benar-benar dianjurkan dengan tujuan yang murni dan ikhlas," cerita Jac panjang lebar sambil enggan mendedahkan cerita sebenar yang pernah berlaku kepada dirinya sebelum ini.

Jac atau nama sebenarnya, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor ditemui selepas sidang akhbar pelancaran larian amal, Feel Good Run 2011 anjuran ntv7 yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Barangkali ramai yang tidak tahu, Jac merupakan antara artis yang begitu aktif membuat aktiviti amal.

Salah satunya adalah dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengunjungi wad kanak-kanak yang menghidap kanser.

Kata Jac, ia sudah menjadi amalannya sejak lima tahun lalu setiap kali PPUM mengadakan hari terbuka mereka.

"Setiap kali itu jugalah, saya tidak pernah ketinggalan untuk menghabiskan masa dengan kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini.

"Apabila melakukan aktiviti seperti ini, kepuasan yang saya nikmati cukup berbeza. Secara tidak langsung, ia dapat membuka mata dan menyedarkan kita bahawa ada insan di luar sana yang tidak melalui kehidupan yang sama seperti kita," jelas pelantun lagu Bertamu Di Kalbu dan Cinta Tiada Akhirnya ini bersungguh.

Begitu juga dengan penglibatannya untuk larian amal Feel Good Run 2011 yang ternyata begitu mengujakan Jac.

Malah, kata Jac, bagi menghadapi acara larian yang akan diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama dan kawasan sekitarnya, dia kini sibuk menjalani latihan dan bersenam di gimnasium.

"Saya memang suka dan aktif bersukan sewaktu di sekolah terutama melibatkan acara larian sehingga pernah menjuarai pertandingan larian selama dua tahun berturut-turut.

"Jadi, apabila ntv7 menjemput saya untuk menyertai larian amal ini, saya tidak menolaknya. Kebetulan pula, ia tidak bercanggah dengan jadual saya, maka, saya dengan penuh terbuka menerima pelawaan mereka itu," kata Jac lagi.

Dalam masa yang sama juga, penyandang gelaran Vokal Wanita Terbaik AIM14 (2007) ini berharap Feel Good Run 2001 ini akan memberikan perspektif positif kepada masyarakat tentang kehidupan golongan artis.

Sementara itu, juara Mentor 3, Black juga tidak sabar lagi untuk berlari dalam larian amal ini bersama-sama peminat dan masyarakat.

Apatah lagi, Black seperti mana yang diketahui umum merupakan seorang yang gemar bersukan dan aktif melibatkan diri dalam aktiviti lasak.

"Sebagai artis, saya perlu memastikan tahap kesihatan saya berada dalam keadaan terbaik untuk kelihatan bertenaga di atas pentas.

"Disebabkan itu, pantang ada masa terluang, saya akan menghabiskan masa di gimnasium yang sudah menjadi rumah kedua saya. Jika tidak, saya akan bermain bola sepak yang menjadi kegilaan saya sejak kecil lagi," ujar pelantun lagu Sofea Jane dan Aku Rindu Sayang Kamu ini bersungguh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: