
Namun, segalanya berubah setelah pasangan itu dikurniakan cahaya mata pertama yang dinamakan Farah Syakira.
Salina berkata, dia kini sedang menikmati fasa gembira dalam hidupnya. Malah, nadanya ceria sepanjang perbualan dengan penulis membuktikan kebahagiaan itu.
“Kehadiran Kiera (panggilan manja untuk anaknya) memberi makna cukup besar buat saya. Sebagai seorang wanita, hidup saya kini lebih sempurna.
“Kiera banyak mengubah sikap saya terutamanya untuk menjadi lebih penyabar. Walaupun penat melayan kerenahnya, namun saya gembira,” katanya yang mencipta nama melalui siri popular, Gerak Khas.
Sudah pun menginjak usia 2 tahun, Kiera seperti kanak-kanak lain yang sedang membesar membuatkan Salina tidak menang tangan menjaganya.
“Alhamdulillah, Kiera menunjukkan perkembangan cukup pantas kerana dia sudah pandai bercakap serta menghafal abjad dan nombor.
“Kiera sangat lasak dan sebagai ibu, saya senang apabila dapat melihat anak membesar di depan mata,” katanya yang masih menyusu anaknya hingga kini.
Kurangkan lakonan demi Kiera
Sejak meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia 22 melalui filem Bohsia – Jangan Pilih Jalan Hitam, tawaran berlakon diterima Salina mencurah-curah.
Jadual padat dengan aktiviti lakonan tidak dijadikan alasan bagi ibu muda ini untuk melupakan tanggungjawab kepada Kiera.
“Saya akui terpaksa mengurangkan tawaran berlakon selain berbincang dengan penerbit bagi memberi kelonggaran kepada saya.
“Selepas habis penggambaran, saya akan berehat sekurang-kurangnya seminggu untuk menebus kembali masa bersama Kiera,” katanya.
Salina juga bertuah kerana selain menjadi rujukan menguruskan anak, ibunya turut menjaga Kiera jika dia dan suami sibuk dengan kerjaya.
“Saya terharu kerana emak sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga Kiera.
“Bukan mahu menyusahkan emak, namun saya kurang percaya dan tidak selesa untuk menggunakan khidmat pengasuh,” katanya yang baru selesai penggambaran sebuah drama dengan Astro.
Mengakui mempunyai keinginan untuk menimang cahaya mata lagi, Salina bagaimanapun terpaksa menangguhkannya kerana jadual padat hingga hujung tahun.
Dalam pada itu, duta De Mechinta Sauna Spa itu tidak menolak sekiranya Kiera ingin mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.
“Saya akan memberikan kebebasan kepadanya untuk memilih bidang yang diminati. Namun, yang penting Kiera dapat menamatkan pelajarannya di peringkat tertinggi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: