
SUASANA Restoran The Garden di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya bertambah meriah dengan dekorasi segar rona putih dan hijau baru-baru ini. Semua itu bagi menyambut kehadiran pasangan ibu dan anak bagi meraikan sambutan Hari Ibu Bersama Farmasi Colours Cosmetic (FCC).
Sebanyak 17 pasangan gandingan ibu dan anak perempuan telah menyertainya. Ada yang mengenakan pakaian sedondon malah tidak kurang pula yang memakai pakaian dengan rona yang sama.
Paling jelas, pada hari tersebut pasangan anak-beranak itu kelihatan anggun terutamanya buat golongan ibu yang diraikan. Mereka yang hadir terdiri daripada pengguna setia produk FCC sendiri.
FCC adalah jenama kosmetik dari Istanbul, Turki yang telah dibawa masuk ke dalam pasaran Malaysia sejak tiga tahun laluk oleh syarikat Naturalife Solution Sdn. Bhd.

KUMPULAN ibu dan anak berentap dalam permainan teka-teki melalui aksi gerak tubuh tanpa suara.
Rangkaian produk FCC yang berkualiti bukan sahaja dijual pada harga yang berpatutan dan berbau wangi, malah boleh digunakan ketika bersolat.
"Tujuan kami mengadakan sambutan Hari Ibu hari ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan antara ibu dan anak kerana sebelum ini mungkin mereka sibuk dengan urusan masing-masing.
"Pelbagai aktiviti dirancang untuk menjadikan sambutan hari ini penuh makna buat ibu dan anak," ujar Pengarah Urusan Naturalife Solution Sdn. Bhd., Ili Zawani Ismail, 24.
Tambah beliau, sambutan Hari Ibu pada hari tersebut merupakan sambutan julung-julung kali diadakan bagi menghargai jasa para ibu.
Sambil duduk di meja makan secara bertentangan, kelihatan kebanyakan pasangan ibu dan anak berborak kosong sambil disulami canda tawa sebelum permainan dimulakan.

Sambil menjamu selera, keintiman pasangan ibu dan anak yang hadir diuji dengan pelbagai permainan.
Permainan yang membuka tirai berupa kuiz yang menguji sejauh mana si anak mengenali ibu masing-masing.
Sebelum permainan dimulakan, suasana jadi kecoh seketika. Semuanya kelam-kabut berbisik-bisik sesama sendiri malah ada anak yang baru terfikir untuk bertanya itu dan ini kepada ibu masing-masing
Terlukis kegusaran pada wajah beberapa orang anak ketika menjawab 10 soalan yang diberikan, mungkin mereka khuatir jika memberi jawapan yang salah.

SEORANG anak berpeluang menyolek ibunya dengan menggunakan produk FCC.
Si anak perlu menjawab soalan mengenai saiz kasut, umur ibu ketika berkahwin, horoskop, personaliti, filem kegemaran, barang kesayangan, warna tidak disukai, perkataan kesukaan dan nama timangan.
Ternyata pelbagai jawapan yang diberikan kerap kali mengundang hilai tawa dalam kalangan pengunjung di situ.
Permainan kedua pula menyaksikan kumpulan ibu berentap dengan kumpulan anak untuk memberikan jawapan melalui aksi gerak tubuh tanpa suara.
Suasana bertambah gamat apabila masuk permainan ketiga iaitu Kotak Racun Bergerak yang mengandungi pelbagai jenis denda di dalamnya.
Denda yang dikenakan bukanlah kejam tetapi lebih kepada menyemarakkan lagi kasih sayang di antara ibu dan anak.

Antara denda yang wajib dilaksanakan ialah si anak perlu mencium seseorang yang bukan ibunya, menyanyikan lagu kegemaran ibu anda, menyuap makanan kepada ibu dan bercerita tentang ibu anda.
"Penganjuran aktiviti seperti ini sangat baik untuk merapatkan lagi hubungan antara ibu dan anak. Dengan cara ini, saya dapat meluangkan masa berkualiti dengan anak.
"Semua ibu perlu rapat dengan anak mereka terutamanya anak perempuan. Ibu perlu selalu bertanya tentang aktiviti mereka memandangkan persekitaran kini jauh berbeza dengan dahulu," kata Janu Sidik, 45, yang merupakan seorang suri rumah.

Tambahnya, ada masanya seseorang ibu perlu garang dan ada masa pula perlu mempamerkan kelembutan.
Baginya, anak tetap anak dan mereka perlu hormat ibu masing-masing kerana ibu mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka.
Penuntut Kolej Taylor's, Tasnim Hisham, 18, sangat teruja apabila dapat meluangkan masa dengan ibunya kerana baginya ia salah satu cara untuk mengenali ibunya itu dengan lebih baik.
"Kami selalu meluangkan masa bersama. Ibu merupakan insan yang paling rapat dan bersifat terbuka apabila saya mahu berkongsi masalah.
"Walaupun kadangkala dimarahi ibu, saya tidak berkecil hati mahupun memberontak kerana saya faham tindakan ibu itu hanya untuk menegur kesilapan yang saya lakukan. Selamat Hari Ibu!," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: