Friday, May 20, 2011

Haram guna minyak pengasih


PENGGUNAAN minyak pengasih untuk tujuan mendapatkan seseorang hukumnya haram.


APAKAH hukum menggunakan minyak pengasih? Adakah boleh digunakan untuk tujuan kebaikan?

JAWAPAN:

Penggunaan minyak pengasih adalah amalan yang bertentangan dengan Islam dan diharamkan terutama yang melibatkan perbuatan syirik untuk tujuan mendapatkan seseorang.

Islam menyarankan umatnya supaya berusaha seperti membanyakkan doa dan bertawakal dengan izin Allah Taala.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-40 yang bersidang pada 9 Ogos 1996 telah membincangkan Khurafat Dan Azimat Menurut Perspektif Islam.

Muzakarah telah bersetuju dengan garis panduan yang telah disediakan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai iaitu amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:

"Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan." Para sahabat bertanya, "Apakah tujuh perkara itu?"

Baginda menjawab: "Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk."

(Hadis Riwayat Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitabul Hudud, bab 44).

Menganiaya seseorang itu adalah suatu sifat yang dibenci oleh Allah. Berdasarkan dalil di atas kita dilarang bersekongkol dengan sifat kesyirikan kerana Allah sahaja yang berkuasa ke atas setiap sesuatu di langit dan di bumi.

Mohon doa kepada Allah yang disusuli iktiar dan istiqamah supaya dimakbulkan segala yang dihajati.

Berdoa kepada Allah bukan bomoh

SAYA sudah berkahwin sembilan tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan. Sejak saya tamat sekolah, berkahwin dan sehingga sekarang saya masih bekerja kerana niat membantu meringankan beban suami.

Beberapa tahun lalu dia ditangkap kerana terjebak dengan dadah dan telah dibuang kerja. Sejak itu dia seorang yang baran, tidak mahu mendengar nasihat dan tidak mahu menjalani pemulihan. Bolehkah saya berikhtiar cara berbomoh untuk dia berubah?

JAWAPAN:

Islam amat menitikberatkan pegangan akidah, syariah dan akhlak seseorang Muslim. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber asal al-Quran, Sunnah Ijmak dan Qias adalah ditolak.

Dalam urusan perubatan kepada pesakit, satu perkara yang mesti diingatkan oleh semua pihak, bahawa hanya Allah sahaja berkuasa mutlak menentukan sesuatu yang menjadikannya, lebih-lebih lagi sakit dan sembuh adalah hak Allah. Malah, ketentuan Allah itu adalah perkara yang wajib kita beriman.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadikan engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)." - (Surah Yunus:106)

Jakim juga telah menyediakan buku percuma tentang Garis Panduan mengikut Perbomohan. Bagi memastikan perbomohan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, perkara-perkara di atas mestilah dipatuhi.

Antaranya:

i) Tidak menggunakan bentuk amalan sihir, ilmu hitam, tilik tenung, tukang nujum, ramalan tapak tangan dan silap mata.

ii) Tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat.

iii) Tidak boleh melakukan perkara-perkara yang berunsur syirik seperti semah pantai, sembelihan binatang, buang ancak dan lain-lain.

iv) Tidak boleh menyembelih binatang untuk tujuan yang bukan syarie.

v) Tidak boleh melakukan perbomohan atau bacaan tertentu yang menggunakan unsur-unsur meminta izin atau bantuan daripada kuasa-kuasa makhluk ghaib dalam acara perbomohan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: