BUKANLAH sesuatu yang pelik dalam dunia hiburan apabila si anak mengikuti jejak langkah orang tua, ataupun si adik menuruti langkah abang mahupun kakaknya, untuk sama-sama mencipta nama. Bahkan sejak dulu, pengaruh daripada mereka yang terlebih dulu memasuki dunia seni ke atas generasi kedua mahupun ketiga dalam keluarga mereka ialah perkara biasa.Andainya Tan Sri P Ramlee melihat anaknya, Nasir, turut terbabit dalam dunia seni, begitu juga dengan Seniwati Datuk Sarimah Ahmad yang memperturunkan bakat dalam diri kepada M Jamil, sementara pasangan Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah Baharom melihat anak mereka, Fauziah atau Ogy, cemerlang dalam lakonan dan muzik.
Bukan saja dalam dunia hiburan, malah bidang lain turut menyaksikan keadaan serupa apabila ramai generasi lebih muda memilih karier yang sama dengan orang tua mahupun kakak atau abang mereka.
Keluarga Syed Abu Bakar juga nampaknya menyaksikan keadaan sama melanda mereka apabila jejak Sharifah Norhaslinda (Lin) dan Sharifah Shahira (Shira) kini turut diikuti adik mereka, Sharifah Sakina.
Begitupun, jika boleh, gadis yang lebih mesra membahasakan dirinya Kina ini tidak mahu pembabitannya dalam dunia hiburan tanah air dikaitkan dengan dua kakaknya yang lebih dulu bergelar pelakon.
Jika diberikan ruang, gadis manis berusia 21 tahun yang mudah mesra dan gemar berceloteh seperti Shira itu mahu peminat mengenali dirinya kerana bakatnya sendiri, bukan bergantung kepada cerita yang mengaitkannya dengan dua saudara perempuannya itu.
Apatah lagi, minatnya pada dunia lakonan sebenarnya sudah berada dalam diri sejak dia masih kecil. Lebih daripada itu, dia juga banyak terbabit dalam kerja di belakang tabir, yang akhirnya membuatkannya lebih berani untuk turut sama berada di depan kamera.
Menurutnya, tanpa pengetahuan dua kakaknya, dia berusaha sendiri dengan menghadiri pelbagai sesi uji bakat dan setimpal dengan usaha kerasnya, nasib baik menyebelahi diri Kina apabila dia akhirnya ditawarkan berlakon.
“Sudah hampir setahun sudah saya menjejakkan diri dalam dunia lakonan. Pada mulanya, kakak saya tidak mengetahui langsung mengenai keinginan saya untuk terbabit dalam bidang ini. Saya memang tidak menceritakannya kepada mereka.
“Saya akui memang minat berlakon kerana sejak kecil lagi saya banyak mengikuti adik-beradik saya ke lokasi penggambaran dan melihat kakak saya beraksi di depan kamera, serta menolong dalam bidang produksi.
“Sampai sekarang pun, saya masih menjadikan lakonan dua kakak saya sebagai panduan. Contohnya, jika saya membawakan watak serius, saya akan melihat balik lakonan Kak Lin. Begitupun, saya tidak bertanyakan kepada mereka, sebaliknya cukup sekadar menonton. Dari segi komedi pula, saya banyak mencontohi Kak Shira.
“Syukur, kini seluruh keluarga saya menyokong kerjaya dan minat saya sebagai pelakon, malah ibu saya turut memberikan galakan untuk saya berjaya dalam bidang ini. Katanya, jika tidak pandai belajar, boleh berlakon,” katanya ketika hadir ke Balai Berita, baru-baru ini.
Lebih gemarkan watak komedi
ANTARA drama yang pernah dibintanginya ialah Hotel Mania, Samson Delaila, Dottie dan Langsai. Kini Kina ialah seorang daripada teraju utama drama Mata Ayer yang ditayangkan menerusi slot Lagenda, TV3.
Selepas setahun bergerak dari bawah dan hanya membawakan watak sampingan, Kina nyata cukup terharu dan berbangga apabila ditawarkan watak utama dalam drama bersiri itu.
Namun, akui gadis ini, bukan mudah untuk dirinya membawakan watak Shidah, seorang gadis yang serius, pendiam, garang dan sememangnya bertentangan dengan sikapnya yang gila-gila dan ceria.
“Bukan setakat itu saja, penggambaran di Perlis juga memberikan banyak kenangan kepada saya. Buat kali pertama saya berhadapan dengan banjir yang agak teruk dan cuaca panas yang melampau.
“Bagaimanapun, semua itu tidak mendatangkan kesulitan kerana seluruh tenaga produksi begitu bagus dan profesional ketika bekerja. Kami bekerjasama antara satu sama lain dan keadaan itu membuatkan saya berasa sungguh selesa berkerja dengan warga Zeel Production.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana diberi peluang untuk menjayakan watak yang begitu baik, serta berkerja dengan produksi ini,” ujarnya dengan nada yang riang.
Sementara itu, gadis yang meminati lakonan Noor Kumalasari dan Hasnul Rahmat ini turut mendakwa pada hakikatnya dia lebih menggemari watak komedi berbanding watak serius.
Dia yang pernah tampil dalam iklan Maxis, Gardenia dan Tropicana juga berasakan, tiada pelakon wanita seusia dengannya ketika ini mampu membawakan watak komedi dengan baik sekali.
Justeru, Kina mahu menempa kelainan dengan cuba memainkan watak komedi bersesuaian dengan usia remajanya. Jika diberi peluang menjayakan watak sedemikian, pastinya gadis ini tidak akan menolak.
Berbeza juga dengan bakat baru lain, Kina tidak mengejar watak utama semata-mata. Sebaliknya, dia menerima apa saja watak yang diberikan kerana pengalaman yang ditimba, katanya, akan mendewasakan lagi diri dan selagi masih muda, dia mahu merebut peluang sebanyak mungkin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: