Tuesday, May 10, 2011

Rahim 'cabar' Ramli

DARI atas, Ramli bersama juri undangan, Mus. Rahim Maarof mentor kepada Aiman.
DARI atas, Ramli bersama juri undangan, Mus. Rahim Maarof mentor kepada Aiman.
Mentor Aiman kecewa apabila ketua juri sering cari kesalahan protegenya

SEBAIK saja pusingan keempat kumpulan B program realiti Mentor 5 berakhir dan keputusan peserta tersingkir diumumkan kepada penonton, tiba-tiba penyanyi Rahim Maarof yang juga mentor kepada Aiman mencabar ketua juri, Datuk Ramli MS, untuk menjadi mentor pada masa akan datang.Malah, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Cinta Kristal ini juga meminta pihak produksi supaya melantik Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, untuk menjadi ketua juri pada musim akan datang.
Tindakan spontan Rahim itu mengejutkan ramai pihak. Ramai yang tertanya-tanya, apakah kaitannya Rahim membuat permintaan sebegitu kepada pihak produksi? Apakah dia sebenarnya tidak puas hati dengan Ramli yang dilihat sering memberi kritikan ke atas protegenya, sehingga Aiman menjadi mangsa penyingkiran menerusi konsert mingguan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam kelmarin.

Bagaimanapun, ketika diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, pada sidang media kemudiannya, Rahim menegaskan dia hanya bergurau.

“Apa yang saya katakan itu hanyalah secara berseloroh saja. Janganlah ambil serius sangat dengan apa yang saya katakan tadi. Saya bukan sengaja mahu mencetuskan kontroversi,” demikian reaksi awalnya sewaktu diminta penjelasan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, selepas soalan bertalu-talu diajukan padanya, akhirnya Rahim mengalah dan mengaku sedikit kecewa apabila pengkritik terbabit sering mencari kesalahan protegenya.
“Bayangkan betapa sukarnya saya mahu membimbing seseorang yang kosong pengalaman dan pengetahuan dalam bidang nyanyian sehinggalah sekarang. Takkanlah dia langsung tidak nampak perubahan yang berlaku terhadap Aiman. Jadi atas dasar perasaan itu saya mahu dia berasakan sendiri kepayahan bagaimana mahu membimbing seseorang untuk menjadi seorang penyanyi berjaya.

"Apapun, cabaran yang saya nyatakan itu bukanlah hendak menjatuhkan atau mengaibkan sesiapa. Saya tetap menghormati Ramli sebagai pemuzik berpengalaman,” tegas Rahim.

Ditanya apakah dia kecewa apabila Aiman tersingkir malam itu, Rahim berkata, sedikitpun dia tidak berasa sedemikian memandangkan anak buahnya itu sudah berusaha sebaik mungkin.

“Saya tak rasa kecewa, malah saya gembira kerana persembahan Aiman malam ini cukup memuaskan hati saya. Selama dua bulan saya membimbingnya, saya nampak perubahan Aiman amat ketara. Mungkin sudah takdir dia disingkirkan tapi saya tetap puas hati dengan persembahannya,” pujinya.

Aiman yang menyanyikan lagu I’ll Be dan Sesuatu Janji terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Mentor 5 apabila memperoleh markah terkumpul sebanyak 190, sepanjang empat minggu berada dalam program itu. Dengan penyingkirannya, dua peserta kumpulan B yang layak untuk meneruskan perjuangannya ke peringkat separuh akhir ialah Salmah A Asis atau Salma dan Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor atau Iqa.

Sementara itu ketika diminta mengulas cabaran Rahim terhadapnya, Ramli mengakui dia bukanlah penyanyi seorang profesional untuk menyahut cabaran itu.

“Saya memang tidak boleh menyanyi. Saya hanya belajar teori dan bukannya praktikal. Apa yang saya ada hanyalah pengalaman selama 35 tahun yang boleh dikongsi bersama.

“Adat bertanding, biasalah semuanya mahu menjadi nombor satu. Siapa yang ada perubahan, dialah yang akan dapat habuan. Macam Aiman, sewaktu mula-mula melihatnya, saya pilih dia berbanding Iqa. Dia ada personaliti dan tinggi, tapi setiap minggu saya tak nampak sebarang perubahan berbanding Iqa,” tegasnya.

Mahu perbaiki nota rendah

SETIAP kali kritikan dilemparkan kepada peserta dari Sabah ini, pastinya ia ada kaitan dengan nada rendah yang dimilikinya. Untuk nada tinggi, rasanya ia bukan masalah besar buat Salma. Berilah apa saja lagu bernada tinggi kepadanya, pasti dia akan melunaskan amanah itu dengan baik.

Namun, malam itu, Salma sekali lagi diminta untuk memperbetulkan nada rendahnya yang dianggap tidak setara dengan nada tinggi dimiliki.

Mengulas perkara itu, mentornya, Erra menegaskan perkara berkenaan memang menjadi keutamaan buat dirinya.

“Memang Erra dapat kesan kelemahan Salma dan Erra ambil berat terhadap kritikan Ramli yang sering menegur nada rendahnya. Bagaimanapun, Erra tak pernah ambil negatif kritikan itu dan akan terus berusaha untuk memperbaikinya. Sebagai contoh, malam ini memang kami sengaja memilih lagu Unbreak My Heart yang mampu menguji nada rendahnya.

“Selepas ini kami akan terus memberikan lagu yang mencabar vokal dan nada rendah Salma sehingga dia berjaya mengatasi masalah itu,” ujar Erra yang turut mengajar anak didiknya itu menggunakan bahasa Melayu yang betul ketika bertutur.

Selain Salma dan Iqa, dua peserta lain yang sudah mengesahkan kedudukan mereka pada peringkat separuh akhir ialah protege Datuk Sharifah Aini, Nurshiha Mohd Zikir atau Shiha dan protege Afdlin Shauki, Ratnah Awal atau Ratna. Kedua-duanya daripada kumpulan A.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: