SOALAN 1
Saya berumur 24 tahun. Saya ingin memiliki payu dara yang besar kerana sejak saya anak dara hingga sudah berumah tangga dan mempunyai dua anak payudara saya sangat kecil. Buat pengetahuan doktor ketika kecil, ibu saya pernah memicit puting bagi mengeluarkan cecair seperti sebiji nasi. Adakah itu menyebabkan payudara tidak boleh besar dengan ideal? saya sudah cuba berbagai produk antaranya jamu pengencang payu dara, krim dan serum tetapi langsung tiada kesan. Mungkinkah hormon payu dara saya sudah tiada? Apakah yang perlu saya ambil bagi mendapatkan hormon itu semula supaya dapat membesarkannya?
terima kasih., Banting Pahang.
Jawapan: Payu dara merupakan kelenjar yang berfungsi untuk menghasilkan susu. Struktur utama payu dara dibentuk oleh kilang kelenjar susu. Di sekeliling kilang kelenjar susu tersebut terdapat tisu lemak, kolagen dan ligamen. Payu dara tidak mempunyai otot atau tulang. Oleh itu saiz payu dara bukan sahaja dipengaruhi oleh kelenjar susu yang ada tetapi juga oleh berapa banyak tisu lemak dan kolagen di sekeliling kelenjar susu tersebut. Manakala, bentuk payu dara seseorang ditentukan oleh keanjalan ligamen yang mengampu payu dara. Bentuk dan saiz payu dara yang normal juga berbeza-beza. Ada yang bersaiz kecil dan ada yang besar. Ada yang berbentuk bulat dan ada juga yang berbentuk panjang dan lonjong. Begitu juga dengan bentuk puting payu dara. Ada puting yang timbul, leper dan tenggelam. Semua ini adalah kepelbagaian yang normal. Jadi apa yang dialami oleh Puan Zu adalah tergolong dalam kepelbagaian yang normal.
Mengikut kefahaman saya peristiwa ibu Puan Zu memicit puting bagi mengeluarkan cecair seperti sebiji nasi itu tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan saiz payu dara yang dimiliki. Ia tidak menyebabkan payu dara Puan Zu terbantut pembesarannya. Bentuk dan saiz payu dara seseorang sebenarnya dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti genetik (keturunan), bangsa dan pemakanan seseorang wanita.
Saya juga tidak pasti keberkesanan pelbagai produk seperti jamu pengencang payudara, krim dan serum yang pernah Puan Zu amalkan. Setakat ini tiada kajian secara saintifik yang dijalankan untuk melihat keberkesanan ubatan tersebut. Ubatan tersebut juga belum diuji secara menyeluruh keselamatannya sama ada ianya tidak memudaratkan pengamalnya.
Saiz payu dara Puan Zu tidak berkait dengan hormon utama wanita seperti aras hormon estrogen yang boleh mempengaruhi saiz payu dara yang kebiasaannya dialami oleh wanita di usia menopaus (setelah putus haid).
Saya nasihatkan Puan Zu untuk tidak mengambil apa-apa hormon tambahan atau ubatan yang pernah diamalkan kerana berkemungkinan tinggi boleh mendatangkan kemudaratan. Sebagai seorang wanita semangat yakin diri adalah amat penting kerana tidak semestinya dengan mempunyai saiz payu dara yang besar anda yakin akan tampak sentiasa menarik dan disayangi suami. Yang paling dihargai, anda dapat menggunakan payu dara bagi menyusu bayi sepenuhnya tanpa mengira saiz payu dara tersebut.
Haid setahun sekali?
SOALAN 2
SAYA berusia 22 tahun dan kali pertama didatangi haid ketika berusia 17 tahun. Sejak itu, kedatangan haid saya tidak pernah teratur. Maksudnya, dalam setahun, hanya dua hingga tiga hari sahaja saya kedatangan haid. Melihat kepada keadaan itu, saya pernah ke klinik swasta memandangkan usia saya sudah mencecah 22 tahun. Namun, doktor sekadar memberitahu ia perkara biasa dan mungkin disebabkan oleh tekanan. Masalahnya, jika saya tidak didatangi haid, saya lagi tertekan. Setakat ini pun, sudah setahun saya tidak didatangi haid. Apa yang harus saya lakukan? Saya bimbang masalah ini akan menyukarkan saya apabila berkahwin nanti. Tolonglah saya, doktor.
Suri, Johor.
Jawapan: Daripada cerita di atas, saya mengagak bahawa Cik Suri mengalami masalah Sindrom Ovari Polisistik (PCOS). Ia merupakan sejenis sindrom apabila ovari gagal berfungsi secara normal dan mengakibatkan peningkatan aras hormon androgen(hormon lelaki). Tanda klinikal sindrom ini termasuklah haid tidak teratur, berat badan yang berlebihan (obes) dan ciri-ciri hormon androgen berlebihan dalam badan seperti berjerawat dan pertumbuhan bulu roma yang berlebihan ('hirsutism') berbanding dengan wanita normal.
Biasanya seseorang wanita yang mengalami sindrom ini akan mengalami haid yang tidak teratur, biasanya lambat datang haid dan kadang-kadang jarak antara haid menjadi begitu jauh sekali sampai hingga 3 atau 6 bulan barulah datang haid yang berikutnya. Sesetengah wanita pula tidak mengalami haid dalam masa setahun.
Selain daripada kitaran haid yang begitu panjang jangka waktunya, wanita boleh mengalami perdarahan haid tidak seperti biasa tetapi mungkin berlaku dengan sedikit sekali, iaitu haid akan keluar dengan sederhana selama seminggu. Wanita yang menghidap penyakit sindrom ovari polisistik akan mengalami haid yang sangat sedikit, iaitu selama 2 atau 3 hari sahaja. Gejala sebegini dikenali sebagai oligomenorea iaitu haid yang tidak tetap yang biasanya dialami 3 atau 6 bulan sekali dan selalunya berpanjangan. Keadaan ini mengakibatkan folikel matang tidak dapat dihasilkan. Kesan ini membantut proses pengovulan dan menyebabkan haid yang tidak teratur. Kadang-kadang keadaan ini juga menyebabkan ketebalan dinding rahim yang menebal tidak seperti wanita normal disebabkan stimulasi hormon androgen yang berterusan dalam pengidap PCOS. Oleh sebab itu sesetengah pengidap PCOS mengalami pendarahan haid yang banyak dan berpanjangan. Gejala ini hendaklah diambil berat oleh pengidap dan juga doktor yang merawat sebab stimulasi hormon androgen yang berpanjangan dalam masa yang lama boleh meningkatkan risiko barah rahim terhadap wanita tersebut.
Sindrom PCOS ini juga boleh menimbulkan gejala pelbagai penyakit. Oleh sebab itu, pengidap sindrom ini dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang berkala secara tetap. Saya ingin menasihatkan Cik Suri supaya segera berjumpa dengan doktor bagi memastikan sama ada masalah yang dialami adalah sindrom PCOS atau tidak. Harap diagnosis awal dapat dipastikan dan dengan itu rawatan dan langkah pencegahan dapat diberikan dengan sewajarnya. Walaupun wanita yang mengidap PCOS mempunyai masalah untuk mendapat anak, tetapi dengan pemeriksaan rapi dan rawatan yang sempurna, mereka juga mampu untuk hamil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: