Thursday, May 12, 2011

Himpunan setiausaha meriah


SERAMAI 350 setiausaha serata Malaysia menyertai seminar anjuran UP&D kali ke-10 ini.


EDISI ke-10 seminar setiausaha anjuran Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) yang diadakan baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan seramai 350 setiausaha di seluruh negara.

Bertempat di Hotel Marriott Putrajaya, seminar yang mengetengahkan tema Menjana Profesionalisme dan Integriti itu merupakan acara tahunan UP&D sejak 2002 lagi.

Menjadi kelaziman April setiap tahun, pelbagai program dirangka syarikat-syarikat korporat seperti majlis makan malam yang diserikan dengan persembahan artis-artis terkemuka tanah air bagi meraikan orang paling kanan kepada pengurus dan pengarah syarikat.

Namun, pendekatan yang digunakan UP&D jelas berbeza apabila menampilkan gabungan nilai-nilai akademik serta maklumat dan persembahan hiburan.

Majlis yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu dibahagikan kepada empat slot dengan menampilkan empat panel profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Menjadi usahawan

Sesi pertama dimulakan dengan pembentangan mantap oleh Pengerusi dan Pengasas Waqaf An Nur Corporation Bhd. (WANCorp), Tan Sri Datuk Muhammad Ali Hashim yang menyampaikan mesej berkenaan Integriti: Peningkatan Kualiti Organisasi.

Sebagai seorang tokoh usahawan berjaya dan penceramah berkaliber, Muhammad Ali begitu mudah menangkap perhatian peserta-peserta seminar menerusi ucapan bernas selama satu jam setengah.

“Kejayaan seseorang itu bermula daripada sekecil-kecil usaha terutama dalam perniagaan.

“Rata-rata usahawan di Malaysia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan dan berkat usaha serta kebijaksanaan dalam pengurusan, mereka mampu berjaya ke peringkat lebih tinggi.

“Begitu juga dengan anda semua, tidak semestinya bergelar setiausaha anda tidak mempunyai kemampuan untuk berjaya setaraf dengan individu-individu ini,” jelas Muhammad Ali dengan menjadikan beberapa individu prolifik sebagai contoh.

Dewan seminar terus gamat apabila panel kedua, Dr. Robiah Kulop Hamzah, Pengarah Urusan dan Perunding Utama RKH Motivation & Services memulakan sesi Petua Membentuk Kecemerlangan Dalam Kesetiausahaan.

Dengan gaya bersahaja disulamkan dengan unsur humor, Robiah bijak berinteraksi dengan peserta-peserta di samping menyampaikan isi ceramahnya dengan menjadikan situasi sebenar dunia setiausaha sebagai asas.

Setiausaha keluarga

Seperti telah masak dengan tugas seorang setiausaha, Robiah memberi gambaran bahawa tugas setiausaha perlu diimbangi dengan tugasan lain terutama perihal keluarga.

“Anda semua tidak hanya menjadi setiausaha di pejabat malah, anda juga setiausaha di rumah.

“Tanggungjawab kepada suami dan anak-anak lebih utama dan perlu dijalankan dengan baik. Secara tidak langsung ia akan memudahkan tugas anda di pejabat,” kata Robiah kepada peserta yang majoriti merupakan golongan wanita.

Dua lagi panel yang terlibat dengan seminar itu ialah Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rashid, Pengarah Pusat Pembelajaran Futuristik, Kreativiti dan Inovasi yang mengendalikan sesi Mengurus Bos Anda, manakala panel terakhir dikendalikan Dr. Zaitun Sulaiman merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Complementary Therapies Academy (Asia) Sdn. Bhd. berkenaan Mengurus Tekanan di Tempat Kerja.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar memberitahu, seminar itu tidak hanya menarik peserta dari Lembah Klang malah, turut disertai peserta dari Sarawak, Kedah, Johor dan Melaka.

“Edisi kali ini berjaya meningkatkan keyakinan golongan setiausaha dalam mengenali potensi diri mereka bagi melakukan sesuatu tindakan.

“Kesemua sesi yang dikendali ahli-ahli panel jemputan juga dilihat memberi kesan positif kepada mereka agar melaksanakan tugasan dengan lebih dinamik pada masa akan datang,” katanya.

Majlis turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi terkenal, Adibah Noor serta diserikan dengan telatah Roslan Shah yang bertindak sebagai pengacara sepanjang majlis itu berlangsung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: