Thursday, May 12, 2011

Krisis pelunturan batu karang


MASYARAKAT setempat di Taman Marin Wakatobi semakin bimbang dengan tragedi pelunturan batu karang yang boleh menjejaskan hidup mereka.


TAMAN Marin Wakatobi yang terletak di selatan kepulauan Sulawesi, Indonesia yang berkeluasan 1,390,000 hektar menempatkan pelbagai flora dan fauna marin. Ia diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2005.

Selain tumbuh-tumbuhan yang boleh didapati di daratan, sebanyak 25 kumpulan terumbu karang boleh didapati di dasar lautannya merangkumi terumbu sawar, terumbu pinggir dan atol atau lebih dikenali sebagai pulau karang.

Mengikut kajian yang dilakukan pada tahun 2003, para saintis dapat mengesan sebanyak 396 spesies merangkumi 68 jenis kumpulan dan 15 jenis keluarga batu karang.

Keunikan dan kecantikan terumbu karang tersebut bukan sahaja menarik perhatian pelancong dan pencinta seni tetapi, turut menjadi periuk nasi kepada hampir 100,000 orang yang tinggal di sekitarnya serta menjana ekonomi Indonesia setiap tahun.

Baru-baru ini, para saintis melahirkan kebimbangan apabila lebih 70 peratus terumbu karang yang terdapat di Wakatobi mengalami pelunturan warna sama ada separa luntur atau sepenuhnya.

Kebimbangan mereka bertambah dengan fenomena global batu karang luntur yang berlaku pada tahun 1998 hingga 1999 disebabkan El Nino dan La Nina di Laut Pasifik akan berulang.

Mengikut laporan, sebanyak 90 peratus kawasan terumbu karang di wilayah Acheh telah mati, kesan daripada fenomena yang sama.

Pelunturan batu karang telah mula dikesan pada tahun lalu apabila berlaku kenaikan suhu laut yang mendadak serta telah mengancam segitiga terumbu karang yang berada di Asia Tenggara terutama di Indonesia.

Ahli-ahli alam sekitar seperti The Nature Conservancy dan World Wildlife Fund (WWF) serta pemerintah Indonesia mengadakan ekspedisi bulan lalu untuk melihat tindak balas batu karang di taman marin tersebut.


BATU karang yang bertukar menjadi putih akibat kehilangan alga akan mati selepas beberapa hari.


“Terumbu karang yang berusia ratusan tahun di Acheh terselamat daripada bencana tsunami pada tahun 2004 tetapi, hampir 90 peratus mati kerana fenomena peluntur ini.

“Kita bernasib baik kerana hanya lima hingga 10 peratus sahaja yang mati di sini (Taman Marin Wakatobi),” kata Timbalan Pengarah Program Marin Indonesia, Joanne Wilson.

Ekspedisi yang berjalan selama dua minggu itu di kawasan terumbu karang yang diberi nama Table Coral City dan Blue Hole berharap akan mendapat maklumat bagaimana ia memberi tidak balas kepada tekanan dan perubahan cuaca.

Suhu laut

Pelunturan batu karang boleh berlaku apabila ia bertindak balas dengan tekanan seperti sinaran matahari yang lebih kuat daripada biasa dan juga kenaikan suhu laut.

Tekanan tersebut akan menyebabkan alga yang tinggal di dalam batu karang akan menghilang. Ia berfungsi sebagai pemberi nutrisi dan warna kepada batu karang.

Tanpa alga tersebut, batu karang akan bertukar menjadi putih dan akan mati dalam masa beberapa hari.

Selain itu, aktiviti manusia seperti urbanisasi, pencemaran disebabkan pertanian serta aktiviti mengorek pasir dalam laut turut menjadi faktor kepada proses tersebut berlaku.


GAMBAR dari udara Taman Marin Wakatobi yang diancam pelunturan karang.


Pupus

Mengikut kajian yang dilakukan oleh 24 buah kumpulan penyelidik dan pemuliharaan alam sekitar yang diketuai oleh organisasi Sumber Dunia Antarabangsa, batu karang di seluruh dunia akan lenyap pada tahun 2050 jika tiada tindakan pantas yang dilakukan untuk menangani masalah global itu.

Ia akan memberi implikasi kepada hampir 500 juta orang penduduk negara membangun di Asia Tenggara dan Lautan Hindi yang banyak bergantung hidup dengan hidupan laut.

Di Pulau Tomia, Indonesia masyarakat di situ telah mula berganding bahu bagi menyelamatkan batu karang dengan tidak membenarkan orang luar menggunakan bom dan sianida bagi tujuan perikanan.

Namun, penduduk di situ memberitahu, mereka mendapat ugutan bunuh dan beberapa orang tempatan ditangkap pihak polis yang terlibat dengan aktiviti perikanan secara komersial.

“Terdapat orang yang menentang usaha kami, ada yang diugut dan beberapa orang lagi dipukul.

“Mereka terdiri daripada ahli perniagaan dan politik,” kata Eliswan, 32.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: