Friday, May 27, 2011

Hargai sambutan peminat

Dari kiri; Tiz Zaqyah, Remy , Mohd Syafie Naswip dan Fizz Fairuz ketika Roadtour Nur Kasih The Movie.
Dari kiri; Tiz Zaqyah, Remy , Mohd Syafie Naswip dan Fizz Fairuz ketika Roadtour Nur Kasih The Movie.
Hasil sokongan penonton Nur Kasih The Movie catat kutipan kasar RM3.5 juta

PENANGAN Nur Kasih The Movie arahan Khabir Bhatia memang hebat, apabila kira-kira 1,000 peminatnya menyerbu multipleks Golden Screen Cinema Sdn Bhd (GSC) di pusat beli belah Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Melaka ketika siri jelajah promosi filem berkenaan di situ hujung minggu lalu.
Mereka yang datang bukan saja dari sekitar negeri Hang Tuah itu, malah dari Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Singapura semata-mata ingin melihat lebih dekat pelakon filem itu, Tiz Zaqyah, Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Mohd Syafie Naswip.Walaupun menampilkan cerita bercorak drama tetapi Nur Kasih the Movie dilaporkan sudah mencatatkan kutipan kasar RM3.5 juta selepas hampir seminggu ditayangkan.

Ketika ditemui, Tiz menyifatkan sambutan luar biasa dari peminat yang hadir ke GSC membuatkannya berasa bersyukur kerana lakonannya bersama barisan beberapa pelakon lain terus masih diterima dan dihargai.

Dia mengakui berasa terkejut dengan sambutan yang diterima ketika program sama di Seremban dan Melaka selepas tiga hari tayangan filem berkenaan kerana situasi itu tidak pernah dilaluinya sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana peminat menghargai lakonan saya selama ini bersama pelakon lain. Saya akui memang terkejut juga melihat begitu ramai yang datang ke sini untuk berjumpa kami semua.
“Terima kasih kepada semua. Saya sangat menghargai peminat semua yang setia menonton sejak bermulanya drama bersiri suatu ketika dulu dan terus menyokong kami sehingga terhasilnya filem ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kritikan orang luar mengenai percubaan pertamanya membawa lagu tema Nur Kasih bagi filem itu, Tiz memberitahu dia bersyukur setakat ini ramai peminatnya yang memberi ulasan positif.

“Alhamdulillah, ramai yang memberikan komen positif pada percubaan kali pertama saya menyanyikan lagu ini. Lagi pun saya sebenarnya hanya seorang pelakon dan bukan seorang penyanyi. Jadi, ini adalah percubaan kali pertama saya dan secara keseluruhannya peminat juga berpuas hati,” katanya.

Dalam pada itu, kemunculan Remy pada malam itu memeranjatkan ramai peminatnya apabila terpaksa berjalan menggunakan tongkat gara-gara kecederaan dialami susulan kemalangan jalan raya dua minggu lalu.

Sambil meminta maaf berikutan dirinya yang tidak dapat bergerak cergas melayan semua peminat, beliau memberitahu akibat kemalangan itu, dia mengalami kecederaan di kaki kiri dan memerlukan tongkat untuk membantunya bergerak.

“Saya terbabit dalam kemalangan ketika menunggang motosikal menuju ke pusat gim. Ada sebuah kereta yang melanggar saya ketika di persimpangan dan menyebabkan kaki kiri saya mengalami luka sedikit.

“Akibat kejadian itu, saya ditahan dalam wad selama dua hari dan tidak dapat mengikuti Road Tour NKTM ke Pulau Pinang pada minggu lalu. Jadi, saya ingin memohon maaf kepada peminat di sana yang merungut tidak berpeluang untuk berjumpa saya.

“Saya memang tidak sangka dengan sokongan yang diberi peminat negeri kelahiran saya ini. Terima kasih kepada semua peminat yang memberi sokongan dan sekali lagi memohon maaf sekiranya terdapat permintaan dari peminat yang tidak dapat dipenuhi ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Fizz ketika ditemui turut tersentuh dengan sokongan yang diterima dari peminatnya di negeri ini kerana ada yang menangis tidak dapat bergambar bersama dan terpaksa berasak-asak untuk mendapatkan autograf.

Sambil menggambarkan ia adalah sebagai penghargaan yang menakjubkan dari peminat, dia memohon maaf kepada peminatnya sekiranya tidak berpeluang untuk mendekati dirinya bersama pelakon lain berikutan mereka terpaksa dikawal ketat oleh pengawal ketika Roadtour.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: