Sunday, May 1, 2011

Farhan takkan bayar hutang pengurus


Farhan


ISU tidak membayar sejumlah wang yang sepatutnya kepada bekas pengurusnya, penyanyi Farhan masih berdiam diri daripada membuat sebarang komen.

Walaupun tuntutan itu dibuat melalui beberapa ruangan gosip oleh bekas pengurusnya, Sam Kassim, semenjak akhir tahun lalu, tiada sebarang reaksi diberikan oleh penyanyi berkenaan.

Persoalannya, sampai bila Farhan mahu berdiam diri dan isu tersebut terus diperkatakan? Tidakkan dia malu apabila ditujah sebagai masih berhutang dengan seseorang yang sebelum ini pernah menguruskan kerjayanya sendiri?

Kepada Pancaindera, Farhan memberikan alasanya yang tersendiri. Wanita ini punya alasan kukuh dalam menangani isu tersebut. Biarpun mengambil masa yang agak lama untuk bersuara.

Katanya, semua perkara itu tidak berlaku andai bekas pengurusnya itu tidak memulakan dulu episod menjaja cerita buruknya dirinya kepada media. Sebab itu hati wanita ini sangat sebal sebab perkara itu boleh diselesaikan secara bersemuka.

“Dalam perjanjian (lisan) lain yang dipersetujui, tapi bila ‘dia’ cakap kepada media, lain pula.

“Dia ada cakap pada ayah berhubung soal ini. Tapi ayah cakap selagi ‘dia’ tak bersihkan nama Farhan semula, selagi itu saya tidak akan bayar.

“Kepercayaan saya terhadap ‘dia’ telah musnah. Apabila satu persatu permainan ‘dia’ terbongkar. Sebab itu saya tak bayar. Kalau saya bayar pun orang akan cakap saya tak bayar sebab dia sudah banyak cerita buruk tentang saya. Nama saya sudah tercalar dengan fitnah dia,” katanya.

Mengikut perjanjian, Sam bertindak sebagai pengurus Farhan dan seorang lagi penyanyi, Alyah selama tiga bulan iaitu antara September hingga November tahun lepas.

Untuk khidmat tersebut, dua artis itu perlu membayar komisen kepada Sam untuk setiap persembahan. Farhan mengaku dia hanya membayar sebulan gaji kepada bekas pengurusnya itu. Tidak pada dua bulan berikutnya.

“Pada pemikiran saya mengapa perlu bayar gaji bulanan kepada dia, sedangkan dia secara terang-terangan mengabaikan tanggungjawabnya?

“Tak perlulah saya cerita satu persatu perbuatannya. Nanti orang cakap saya yang bermulut jahat pula,’’ katanya.

Namun begitu, Farhan mengakui bahawa dia tak pernah terlepas daripada membayar komisen setiap persembahan kepada bekas pengurus.

Ditanya mengapa Farhan takut untuk menjelaskan duduk perkara sebenar kepada umum selepas keluar gosip berkenaan, wanita ini terdiam sebentar.

“Saya tahu dia ada pengaruh di kalangan media. Berbanding saya, siapalah sangat saya ini, saya tak boleh mempertahankan diri saya sendiri,’’ katanya yang ketika ini senang mengurus kerjaya sendirian kerana cukup serik untuk mencari pengurus selepas peristiwa itu.

Pada masa yang sama, anak sulung dari lima beradik ini meminta agar Sam mengakui kesilapan sendiri sebelum membongkar kekhilafan orang lain. Perbuatan tersebut pasti menjerat dirinya apabila kebenaran terbukti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: