Saturday, May 7, 2011

D'Lloyd imbau nostalgia

Kumpulan legenda dari Indonesia, D'Lloyd akan mengadakan Konsert D'Lloyd Semalam Di Malaysia di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai malam ini sehingga 8 Mei depan. Pasti ramai peminat kumpulan itu tidak mahu melepaskan peluang menonton.

Kali terakhir D'Lloyd mengadakan konsert solo pada tahun 1976. Mereka juga rindu untuk menghiburkan peminat kumpulan itu di Malaysia. Mereka pernah mengadakan persembahan di Malaysia dalam tempoh 36 tahun itu, tapi untuk kembali dalam sebuah konsert besar, inilah kemunculan semula.

Sam dan Yuyun

"Kami bukan datang menyanyi untuk anda, tapi kami mahu membangkitkan nostalgia anda semasa zaman remaja dulu dan zaman anda sedang bercinta," kata vokalisnya, Sam dalam persembahan kepada media malam tadi.

Walaupun persembahan tersebut tidak dibuat sepenuhnya, namun ia tetap menghiburkan 1,200 penonton pada malam itu. Apatah lagi D'Lloyd menyanyi tanpa henti kerana artis undangan Datuk Ahmad Jais tidak dapat bersama-sama kerana ada jadual persembahan lain malam tadi.

Antara lagu nostalgia yang menjadi pilihan mereka ialah Semalam Di Malaysia, Cinta Hampa, Mengapa Harus Jumpa, Oh Di Mana, Tak Mungkin, Hidup Di Bui dan Rock N Roll.

"Kami membiarkan Sam menyanyi tanpa henti kerana mahu lihat energi dia. Kalau dia banyak energi mungkin pada malam-malam persembahan kami akan menyanyi lebih banyak lagu kalau ada permintaan peminat," kata ketua kumpulan, Bartje Van Houten.

Pada malam itu mereka turut menyanyikan lagu Pilu setelah diminta walaupun persembahan sepatutnya sudah berakhir. Selain Sam, pemian flute wanita, Yuyun turut menyanyikan beberapa buah lagu untuk membolehkan Sam berehat beberapa kali. Antara lagu nyanyian Yuyun ialah Engkau Laksana Bulan, Fatwa Pujangga, Keagungan Tuhan dan beberapa lagi.

Masih ramai peminat

Ada peminat yang berasa kurang puas hati kerana lagu Keagungan Tuhan tidak dinyanyikan oleh Sam sendiri. Sementelah itulah lagu yang menjadi kegemaran seorang peminat veteran itu.

"Saya datang kerana nak dengar Sam menyanyikan lagu Keagungan Tuhan. Saya kecewa kerana lagu itu dinyanyikan oleh orang lain," kata peminat itu kepada Mangga Online.

Lagu D'Lloyd menyentuh hati.

Apakan daya, Sam memerlukan masa rehat dan tak mampu menyanyi selama hampir dua jam tanpa henti. Mereka mempersembahkan lebih 15 buah lagu pada konsert tersebut.

"Saya fikir lagu Keagungan Tuhan lebih cocok dinyanyikan oleh Yuyun, kerana dia seorang Hajjah," kata Sam apabila ditanya pasalnya. Mereka juga tidak boleh berduet kerana memiliki key nyanyian yang berbeza.

Peminat ikut menyanyi

Malar dan segarnya lagu-lagu D'Lloyd tidak dapat dinafikan. Peminat turut menyanyi bersama-samanya kesemua lagu yang dipersembahkan lebih-lebih lagi semasa Sam menyanyikan lagu Cinta Hampa, Oh Di Mana dan Tak Mungkin yang sangat popular dan menjadi lagu wajib mereka.

"Ternyata lagu-lagu D'Lloyd masih ada dalam hati anda semua. Saya rasa suka sekali apabila boleh menghiburkan anda semua," kata Sam yang bijak bercerita pasal setiap lagunya.

Lagu-lagu D'Lloyd banyak pasal rintihan lelaki yang kecewa dalam cinta. Sam menghayatinya dengan baik kerana ada beberapa lagu yang sememangnya menceritakan pasal rintihannya sendiri kerana ditinggalkan kekasih. Sam tidak pernah berkahwin sehingga sekarang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: