![]() |
| Yatim Ahmad bersama Kalsom Daud dan rakan-rakan Allahyarham Yusra melihat ijazah yang tidak sempat diterimanya pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara, Arau, Perlis, semalam. |
ARAU 18 Mei - Ketika graduan lain melangkah dengan bangga untuk menerima diploma dan ijazah masing-masing pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, Yatim Ahmad pula dilihat menangis kesedihan mengambil diploma bagi pihak anaknya yang meninggal dunia 8 Mac lalu.
Hanya deraian air mata mengiringi langkahnya untuk mengambil Diploma Pengajian Sukan Allahyarham Yusra Yatim, 25, yang meninggal dunia akibat kanser limfoma.
Yatim, 56, ditemani isterinya, Kalsom Daud, 52, serta anak bongsunya, Muhammad Rasul, 19, merupakan antara ibu bapa dan 833 graduan yang hadir sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-74, di sini hari ini.
Menurut Yatim, Yusra merupakan atlet yang pernah mewakili negara dalam sukan ragbi bawah 21 tahun dan mewakili UiTM dalam sukan bola baling di Vietnam, meninggal dunia setelah tiga tahun bertarung dengan penyakit itu.
"Sejak 2008 dia telah dimasukkan ke tiga hospital iaitu Hospital Langkawi, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah dan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar akibat penyakit itu sehingga menyebabkan dia hanya mampu bergerak menggunakan tongkat dan kerusi roda," katanya selepas istiadat berkenaan.
Namun, katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu tidak pernah berputus asa untuk hidup malah sanggup menduduki peperiksaan akhir tahun lalu dengan berkerusi roda akibat keadaan kesihatan yang semakin merosot.
"Yusra sepatutnya tamat pengajian pada 2008 namun ketika hendak menduduki peperiksaan akhir pada tahun tersebut, dia secara tiba-tiba jatuh sakit dan terlantar di hospital. Setelah mendapat rawatan di ketiga-tiga hospital terlibat, doktor mengesahkan dia menghidap kanser berkenaan," katanya.
Menurutnya, pada 2009 mereka mendapatkan rawatan perubatan secara Islam dan Yusra mampu berjalan secara perlahan-lahan bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan namun kesihatannya kembali merosot pada awal tahun ini.
Yatim yang bertugas sebagai pemandu Klinik Kesihatan Kuah, Langkawi, amat berterima kasih kepada pihak pengurusan UiTM yang sudi menanggung semua kos perubatan anaknya di ketiga-tiga hospital berkenaan.
Dalam pada itu, katanya, anaknya yang merupakan pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, amat disenangi oleh kawan-kawan dan keluarga kerana sikapnya yang suka menolong.
"Dua hari sebelum dia meninggal dunia, arwah ada bercerita bermimpi akan pergi meninggalkan keluarganya dan akan tidur lama malah pada masa itu dia sering meminta saya mengajarnya kalimah syahadah, selawat Nabi SAW dan doa Nabi Yunus," katanya.
Yatim berkata, anaknya menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Perumahan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Kuah, Langkawi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: