![]() |
| Abdul Rahman Arshad menyampaikan ijazah kepada seorang graduan sambil disaksikan Khudzir Ismail (duduk, kiri) pada Istiadat Konvokesyen Ke-74 Universiti Teknologi Mara di Arau, Perlis, semalam. |
ARAU 18 Mei - Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad mengingatkan graduan diploma dan ijazah agar tidak menjadi 'usang' dengan ilmu yang mereka peroleh sekarang.
Beliau berkata, graduan seharusnya menjadi matang dengan berusaha meningkatkan pencapaian akademik dan ilmu sejajar dengan perubahan dunia.
"Kita hidup bersama matang bukan usang, justeru jangan fikir dengan ijazah dan diploma yang dimiliki, sudah tidak ada cabaran lagi kerana ilmu pengetahuan berkembang, apa yang kita tahu untuk hari ini esok mungkin tidak digunakan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke- 74 di UiTM Perlis di sini hari ini yang turut dihadiri Rektor UiTM Perlis, Prof. Dr. Khudzir Ismail.
Abdul Rahman juga melahirkan kebimbangan berikutan lambakan graduan diploma yang akan menjurus kepada pengangguran dalam kalangan graduan tersebut.
"Saya bimbang ia menjadi seperti lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang suatu ketika dahulu senang untuk memperoleh pekerjaan tetapi sekarang amat payah sekali."
"Buat masa ini graduan diploma laku di pasaran namun pada masa akan datang kita tidak tahu, justeru saya berharap sekeping kertas diploma ini bukan sebagai penghabisan namun anggaplah ia sebagai permulaan untuk maju," katanya.
Tegas Abdul Rahman, dengan segulung diploma tidak mencukupi untuk menghadapi cabaran sekarang dan graduan pasti akan kalah, justeru peluang untuk melakukan peningkatan dalam hidup amat luas terutama dengan penawaran pelbagai program di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.
Kata beliau, graduan juga harus menjadi jaguh dalam karier masing-masing dan menjadi sebutan di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, seramai 834 graduan iaitu 254 graduan ijazah dan 580 graduan diploma diraikan dalam istiadat konvokesyen selama dua hari bermula hari ini.
Mereka terdiri daripada graduan Fakulti Perakaunan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi serta Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi.
Seramai 29 graduan ijazah sarjana muda dan diploma menerima Anugerah Naib Canselor pada istiadat konvokesyen kali ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: