Monday, May 9, 2011

Busana khas untuk menyusu




MEMILIKI hobi mengambil gambar ketika menyusukan anaknya dan memuat naik gambar tersebut ke laman Twitter, Wan Edrynas Wan Mokhtar atau Dynas menjadikan pengalaman itu sesuatu yang menyeronokkan dan bukanlah lagi sesuatu yang tabu atau memalukan.

Bagi mereka yang tidak melihat gambar-gambar Dynas dan anaknya Khyra di Twitter secara teliti, barangkali mereka menganggap Dynas sekadar memangku anaknya yang sedang tidur. Ini kerana, inovasi fesyen telah memudahkan tugas Dynas sebagai ibu kepada Khyra Khalyssa Mohd. Hafizy.

Si kecil yang baru menginjak usia setahun itu kini dapat menyusu secara eksklusif di mana-mana sahaja termasuk di tempat awam. Menurut Dynas, ramai teman-temannya tidak sedar dia sedang menyusukan Khyra kerana kelebihan rangkaian busana rekaannya.

"Selepas ini, Dynas harap ramai ibu-ibu di luar sana dapat memiliki pengalaman menyeronokan seperti Dynas yang dapat menyusukan Khyra secara eksklusif tetapi dalam masa sama masih dapat berfesyen untuk semua jenis acara," katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Dynas kini sedang sibuk dengan persediaan pembukaan butik Dynas Nursing Attire atau DNA yang akan dibuka minggu ini di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara. Dynas memberitahu, beliau teruja dengan pembukaan butik DNA tersebut kerana ia adalah sentuhan cita rasa fesyennya sendiri.

"Dynas memang amat mementingkan fesyen. Sebelum bergelar ibu lagi sehinggalah selepas melahirkan Khyra, Dynas suka tampil bergaya dengan dres yang menyerlahkan sisi feminin.

"Bezanya kini, Dynas lebih selesa memilih pakaian yang lebih sopan untuk kegunaan harian seperti blaus berlengan dan skirt yang menutup lutut, busana berciri klasik, kasual atau sekadar berkemeja," katanya.


SEBAGAI wanita yang sensitif dengan aliran fesyen, Dynas sentiasa menitikberat soal penampilannya.


Justeru, untuk rekaan busana DNA, Dynas memastikan ia boleh dipakai oleh semua golongan wanita termasuk mereka yang bertudung.

"Rangkaian busana yang Dynas tampilkan bukan sahaja sesuai untuk digayakan ketika mengandung malah, selepas melahirkan anak ia masih boleh dipakai tetapi perlu dipadankan dengan tali pinggang atau mengikut kreativiti masing-masing.

"Kesemua rekaan boleh disuai padankan atau mix and match. Baju kurung moden yang Dynas reka untuk butik DNA juga boleh dipakai tanpa kainnya bagi mereka yang tidak bertudung. Ia ajkan menjadi sehelai dres yang cantik," katanya.

Rekaan ibu anak

Sempena hari ibu yang disambut seluruh dunia pada 8 Mei, Dynas juga teruja meraikannya bersama Khyra dan suami, Mohd. Hafizy Hafiz.

Jelas Dynas, sempena hari bermakna itu, dia membuat empat rekaan sedondon ibu dan anak bagi melengkapi 30 koleksi DNA yang lain.

"Kini ibu dan anak boleh tampil sedondon dengan rekaan yang bergaya dan fabrik yang selesa untuk ibu dan anak. Idea ini timbul kerana Dynas tidak mahu membazirkan kain lebihan yang digunakan untuk membuat baju ibu.

"Bukan itu sahaja, DNA akan tampil dengan pam payu dara dan beg kulit yang bergaya untuk menyimpan pam dan susu bagi ibu-ibu yang bekerja yang mahu menyusukan anak-anak mereka secara eksklusif," katanya.


DYNAS selesa menyusukan Khyra walaupun di tempat awam dengan baju yang mesra untuk menyusukan bayi.


Menurut Dynas, semua idea mewujudkan DNA adalah bermula daripada keperluan peribadinya sendiri. Dia tidak mahu mengabaikan hobi berfesyen apabila bergelar ibu dan mahu menyusukan anaknya secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan.

"Dahulu sukar untuk Dynas mendapatkan baju mengandung dan menyusukan anak yang moden. Tetapi dengan wujudnya DNA, Dynas dapat berkongsi hobi berfesyen walaupun sedang menyusukan anak.

"Dynas juga masih lagi menyusukan Khyra secara eksklusif walaupun dia sudah berusia setahun. Dynas juga mahu menggalakkan ibu-ibu di luar sana untuk menyusukan anak secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan," katanya yang mahu menyusukan Khyra sehingga dia berusia dua tahun.

Bercerita lanjut tentang koleksi DNA, Dynas memberitahu walaupun amat mementingkan fesyen, dia tidak mengabaikan pemilihan fabrik dan perincian bagi memberi keselesaan kepada ibu dan anak.

"Sekiranya seseorang ibu tidak selesa dengan pakaian mereka, ia akan membuat mereka tertekan. Perasaan itu akan membuatkan mereka sukar menghasilkan susu badan yang banyak.

"Begitu juga bagi koleksi ibu dan anak. Walaupun Dynas mahu tampilkan pakaian anak yang bergaya tetapi keselesaan si kecil tetap menjadi keutamaan.


DYNAS yang obses dengan haruman pernah menjadi Duta Pesta dan Anugerah Wangian SaSa 2008.


"Perincian manik untuk pakaian ibu juga Dynas pastikan ia tidak tajam bagi mengelakkan kecederaan kepada bayi ketika menyusu," katanya yang gemar menggunakan perincian mutiara yang lebih selamat atau manik berbentuk rata.

Tambahnya, bagi Khyra, dia memilih apa sahaja pakaian bayi yang nampak comel tetapi, selesa untuk dipakai.

"Walaupun sesetengah pakaian bayi amat cantik, sekiranya fabriknya tidak selesa saya tidak akan pakaikan kepada Khyra. Saya memastikan pakaian yang dipilih selesa, tidak panas serta tidak mempunyai perincian yang boleh mencederakan," katanya.

Tambah jelitawan itu, walaupun terdapat banyak pilihan pakaian ibu mengandung di pasaran, dia mahu ibu-ibu berpeluang tampil bergaya dengan busana yang membolehkan mereka menyusukan anak dengan mudah di tempat awam.

Contohnya ada busana DNA yang didatangkan dengan zip atau butang pada bahagian dada untuk memudahkan bayi menyusu.

"Testimonial saya adalah dalam kalangan rakan-rakan saya sendiri. Teman baik saya, Aishah Sinclair turut menggunakan koleksi DNA dan teman baik saya, Sazzy Falak turut sama merasai pengalaman menjadi ibu yang menyeronokan lebih-lebih lagi dia memiliki anak kembar," ujarnya teruja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: