Monday, May 9, 2011

Nuansa fesyendua gedung fabrik


KEMEJA dengan cetakan batik merupakan pilihan gaya yang tidak ditelan masa.


GEDUNG fabrik terkemuka tempatan Euro Moda dan Gulati's sentiasa menampilkan koleksi fabrik menawan dan terbaru untuk dimiliki oleh semua peringkat umur dan masyarakat. Kesanggupan merantau ke beberapa buah negara semata-mata untuk mendapatkan rekaan kain yang terbaik buat masyarakat tempatan ternyata berbaloi.

Bayangkan dalam tempoh lebih sedekad Euro Moda dan Gulati's masih terus bertahan dan melebarkan empayar meskipun terpaksa bersaing dengan gedung fabrik tempatan yang lain. Namun, situasi berkenaan sedikitpun tidak menjejaskan objektif jenama itu untuk menampilkan variasi fabrik buat pengguna.

Selain menawarkan fabrik sifon, sutera dan organza, butik Euro Moda dan Gulati's yang berdiri gah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur itu turut menyediakan kain kapas, renda serta Batik 1Malaysia.


BUSANA daripada fabrik sifon dan sutera sesuai untuk wanita yang ingin tampil lebih feminin dan anggun.


Sehubungan itu sebagai langkah mempromosi keistimewaan fabrik yang terdapat di Euro Moda dan Gulati's, maka jenama berkenaan mengambil kesempatan menganjurkan pertunjukan fesyen pada Majlis Minggu Setiausaha Nostalgia Siti Nurhaliza 2011.

Acara yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Konvensyen, Matrade, Kuala Lumpur itu memberi peluang kepada para tetamu menyaksikan seleksi busana yang direka menggunakan fabrik koleksi Euro Moda dan Gulati's.

Pertunjukan fesyen yang terbahagi pada tiga segmen itu bukan sekadar mempamerkan fabrik terkini malah, secara tidak langsung mendedahkan kepada para tetamu bahawa fabrik Euro Moda dan Gulati's ideal dijadikan pelbagai konsep busana.

Pada segmen pertama barisan model mengatur langkah sambil memperaga busana yang diperbuat daripada fabrik sifon Perancis eksklusif hasil kreativiti Zuhair Murad dan Ellie Saab.


CETAKAN huruf pada bahagian bawah gaun menonjolkan elemen funky dan chic.


Ini diikuti pula dengan pakaian sedia pakai yang menggunakan fabrik daripada jenama terkemuka seperti Gianni Versace dan Valentino. Dalam segmen tersebut Euro Moda dan Gulati's menonjolkan konsep suai padan antara jaket, kemeja, blaus dan seluar yang berasaskan fabrik pelbagai warna, corak dan material. Koleksi berkenaan sesuai digayakan ke pejabat atau pun majlis korporat.

Dari segi permainan warna, nampaknya Euro Moda dan Gulati's cenderung menggunakan palet warna terang dan kontra. Barangkali ingin menunjukkan kepada para setiausaha yang hadir pada acara itu bahawa pakaian ke pejabat tidak semestinya berona gelap seperti hitam, kelabu atau coklat.

Tidak salah sekiranya sesekali para setiausaha hadir ke pejabat dengan pakaian warna terang dan ceria. Selain busana wanita, Euro Moda dan Gulati's turut menghasilkan tuksedo buat sang jejaka menggunakan fabrik tafeta Itali.

Dalam pada itu, pada pertunjukan tersebut koleksi jubah moden, gaun meleret dan baju tradisonal turut membaluti tubuh para model.

Menariknya tentang himpunan busana berkenaan ia tidak dihasilkan daripada sejenis fabrik saja sebaliknya, Euro Moda dan Gulati's bijak bereksperimen dengan menggabungkan dua hingga tiga jenis fabrik pada sehelai busana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: