Friday, May 27, 2011

Bookie Liga Super

Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan buat laporan polis kegiatan atur perlawanan

SEREMBAN: Isu rasuah yang mencemar liga bola sepak negara kembali menghantui apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis mengenai kegiatan mengatur keputusan perlawanan membabitkan skuad Piala Presiden dan Liga Super negeri itu.
PBNS membuat laporan di Balai Polis Seremban 2, semalam, selepas menerima aduan dan pengakuan beberapa pemain pasukan bola sepak negeri itu yang bersedia menjadi saksi terhadap dakwaan yang dikatakan berlaku sejak akhir tahun lalu.Menteri Besar yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada sidang media di Wisma Negeri, berkata laporan polis dibuat pengurus pasukan Piala Presiden negeri, Bahari Abd Rahman dan Setiausaha Kehormat PBNS, Datuk Abd Halim Abd Latif.

“Laporan polis itu bagi menyiasat beberapa pemain termasuk pengurusan skuad bola sepak Piala Presiden yang disyaki terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.

“Kita percaya ada pemain termasuk individu di peringkat pengurusan pasukan Piala Presiden terbabit dengan kegiatan itu.

“Saya dengan berat hati dan kesal ingin perkara ini disiasat segera dalam usaha memastikan wabak ini dapat segera dibendung sebelum ia menjadi barah yang boleh menular dan mengakibatkan keruntuhan bola sepak negara,” katanya.
Liga bola sepak negara gempar pada tahun 1994 dan 1995 apabila lebih 120 pemain, jurulatih dan pegawai disiasat polis kerana dakwaan mengatur keputusan perlawanan bola sepak menyebabkan 64 pemain dan jurulatih dikenakan tindakan gantung setahun hingga empat tahun.

Pada 2008 pula, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menggantung tujuh pemainnya kerana disyaki menerima rasuah antara RM20,000 hingga RM25,000.

Mohamad berkata, PBNS sudah mendapat maklumat mengenai kes mengatur perlawanan sejak tahun lalu, tetapi pada masa itu tidak mempunyai bukti kukuh dan saksi yang berani tampil.

“Tetapi hari ini (semalam) kita minta pihak berkuasa membongkar perkara ini kerana kita sudah mempunyai saksi,” katanya.

Beliau berkata, gejala itu juga mungkin membabitkan pemain skuad Liga Super berikutan prestasi mereka yang tidak konsisten sejak kebelakangan ini.

“Walaupun setakat ini kita belum mempunyai bukti, namun selepas laporan polis ini dibuat, kita berharap perkara ini dapat disiasat dengan teliti dan menyeluruh, supaya semua pihak terbabit dapat diberkas dan seterusnya didakwa,” katanya.

Skuad Piala Presiden Negeri Sembilan kini sudah terkeluar daripada saingan merebut kejuaraan musim ini selepas hanya mengumpul 20 mata daripada 17 perlawanan Kumpulan B.

Sementara itu, Polis Negeri Sembilan menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dakwaan PBNS.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata pihaknya juga akan merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia membabitkan kegiatan rasuah.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Pencegahan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan pula berkata Bukit Aman sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan menyerahkan siasatan oleh polis Negeri Sembilan.

“Kita di Bukit Aman hanya akan membantu dan memantau siasatan yang dijalankan mereka (polis Negeri Sembilan),” katanya yang juga mengetuai pasukan khas Bukit Aman berhubung siasatan membabitkan rangkaian sindiket antarabangsa menentukan keputusan perlawanan bola sepak membabitkan rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: