Thursday, May 26, 2011

Barisan pelakon idaman IB


LIMA pelakon popular (dari kiri) Fizz Fairuz, Erra Fazira, Umie Aida, Ziela Jalil dan Aaron Aziz yang akan membintangi teater Badai Semalam bermula 11 November ini di Istana Budaya.


TANYALAH kepada mana-mana pencinta novel Melayu, pastinya novel Badai Semalam akan terpacul dari bibir masing-masing sebagai salah sebuah karya yang meninggalkan impak besar dalam kehidupan mereka.

Bagi mereka, naskhah hebat karya penulis yang tidak asing lagi, Khadijah Hashim itu memiliki penceritaan yang sangat dekat dengan jiwa mereka ketika mula diterbitkan lebih tiga dekad lalu.

Kehebatan Badai Semalam juga telah mendorong pihak kerajaan menjadikan ia sebagai teks kesusasteraan Melayu. Sehinggakan watak-watak utamanya iaitu Mazni, Karim dan Zaki sudah menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat Melayu.

Biarpun sudah lebih 30 tahun berlalu, intipati cerita Badai Semalam dilihat masih lagi relevan dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Tidak keterlaluan dikatakan, Badai Semalam masih lagi segar dan mendapat tempat di hati peminat novel Melayu biarpun novel itu sudah beratus kali diulang cetak dan berganti wajah kulit hadapannya.

Dalam erti kata lain, Badai Semalam bukan sebuah karya ketinggalan zaman yang tidak boleh dinikmati oleh semua pihak khususnya generasi muda hari ini untuk mendalami konflik kisah antara Mazni, Karim dan Zaki.

Selepas diadaptasi menjadi sebuah drama radio dan televisyen satu ketika dulu, kini, Badai Semalam diangkat pula ke pentas teater yang pastinya bakal menjadi sebuah pementasan yang cukup dinanti-nantikan.

Bakal dipentaskan di panggung bertaraf dunia, Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula 11 November ini selama 10 hari, ia sekali gus menamatkan spekulasi yang sudah bertiup kencang sejak berbulan-bulan lalu.

Lebih hebat lagi apabila teater tersebut dibintangi oleh nama-nama besar dan popular industri hiburan iaitu Erra Fazira, Aaron Aziz, Fizz Fairuz, Datin Umie Aida dan Ziela Jalil yang dilihat sebagai 'umpan' terbaik untuk menarik perhatian masyarakat.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani mengakui kelima-lima pelakon yang dipilih itu merupakan barisan pelakon idaman pihaknya yang dilihat bertepatan untuk membawakan watak-watak utama dalam Badai Semalam.

Lebih-lebih Erra, kata Mohamed Juhari, merupakan pilihan utamanya untuk membawakan watak Mazni yang cukup cocok dengan personaliti pelakon jelita itu.

Ditambah pula, Mohamed Juhari merasakan Erra wajar diberi peluang untuk mengembangkan bakatnya sebagai seorang pelakon teater sementelah wataknya dalam pementasan muzikal Tun Mahathir tidak dominan.

"Saya cukup tertarik dengan keserasian yang wujud antara kesemua pelakon kecuali Erra sejak mereka membintangi teater Natrah tahun lalu.

"Daripada situ, saya fikir mereka memang layak untuk membawakan watak-watak utama yang lain dalam Badai Semalam. Saya juga percaya dengan kredibiliti dan personaliti mereka yang mampu menghidupkan setiap watak dengan baik sekali.

"Memang agak sukar untuk mendapatkan kesemua mereka ini kerana jadual mereka yang cukup padat. Atas alasan itu jugalah, pementasan ini dibawa ke bulan November selain menggantikan slot untuk produksi antarabangsa yang sepatutnya mementaskan Phantom of the Opera," jelas Mohamed Juhari sewaktu sidang akhbar teater Badai Semalam yang berlangsung di IB, baru-baru ini.

Selain Erra sebagai Mazni, Badai Semalam menyaksikan Aaron akan membawakan watak Karim, Fizz (Zaki), Umie (Rohana) dan Ziela (ibu Mazni).

Ketika ditanya tentang pemilihan Aaron sebagai Karim pula, Mohamed Juhari memberitahu pihaknya mempunyai strategi tersendiri apabila pelakon kelahiran Singapura itu disenaraikan sebagai salah seorang watak utama.

"Badai Semalam juga mempunyai pengikutnya tersendiri di Singapura memandangkan hampir keseluruhan jalan ceritanya mengambil tempat di Johor.

"Jika tiada aral melintang, teater ini juga akan dipentaskan di Esplanade tahun depan dengan kerjasama pihak di sana," ujarnya yang mengakui Aaron memiliki pesona tersendiri dalam menjayakan watak Karim kelak.

Tambah Mohamed Juhari lagi, teater yang diterbitkan oleh IB dan bakal diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy itu akan tetap mengekalkan konsep penceritaan yang berlatar belakangkan tahun 70-an itu.

Cuma, katanya, akan terdapat sedikit sahaja perubahan bagi menyesuaikan dengan senario semasa.

"Teater Badai Semalam juga merupakan cabaran untuk kami kerana ini merupakan teater berkonsepkan 70-an yang pertama diterbitkan dan dipentaskan di IB.

"Untuk mengekalkan keaslian cerita itu sendiri, dialog dan skripnya kelak akan mempunyai campuran bahasa Melayu dan Inggeris seperti mana yang terdapat dalam novel bagi menepati persekitaran era itu," tambahnya yang cukup optimis Badai Semalam akan mendapat sambutan luar biasa apabila dipentaskan kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: