Mantan dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.ASPIRASI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam meyakinkan rakyat Malaysia bahawa organisasi ini sentiasa profesional, bebas dan telus dalam usaha memerangi rasuah tidak mudah, malah mempunyai cabaran besar.
Hakikat ini diakui Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed yang menyifatkan sehingga kini SPRM masih dibelenggu imej negatif yang dikaitkan dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
“Selaras dengan aspirasi SPRM 2010, kita perlu memperbaiki persepsi masyarakat yang selama ini mempunyai tanggapan salah tentang bidang kuasa perundangan, prasangka dan prejudis berikutan inkues yang belum selesai serta persepsi buruk yang wujud berikutan kenyataan tanpa fakta jelas oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri,” katanya kepada Mingguan mStar.
Menurut Abu Kassim, siasatan tidak mungkin dapat dijalankan SPRM hanya berdasarkan persepsi-persepsi negatif masyarakat terhadap sesuatu kes atau pandangan serong masyarakat terhadap organisasi itu sendiri.
“Kita tak boleh siasat hanya melalui persepsi. Tapi kalau ada aduan atau bukti disertakan, memang kita akan siasat.
Abu Kassim berkata, persepsi masyarakat mungkin menggambarkan situasi sebenar dan benar-benar berlaku, namun ianya juga boleh jadi tidak berlaku.
“Saya bukan mahu begitu defensif dalam hal ini, tapi sebagus mana pun seorang penyiasat itu, dia tak akan dapat menyiasat hanya melalui persepsi,” katanya.
Justeru katanya, kerjasama dan sokongan dari segenap lapisan masyarakat diperlukan bagi melenyapkan segala persepsi negatif masyarakat terhadap SPRM dan kes-kes yang disiasat.
Bagi mencapai aspirasi SPRM pula Abu Kassim menegaskan bahawa perancangan rapi, inisiatif khusus dan tindakan yang mampu mencerminkan prinsip-prinsip yang diketengahkan diperlukan agar ia dapat direalisasikan sepenuhnya.
Dalam masa yang sama beliau tidak menolak hakikat kemajuan teknologi dan perkembangan semasa secara tidak langsung telah membawa pegawai-pegawai SPRM yang diberi bidang kuasa lebih luas dalam memerangi rasuah di negara ini berdepan tugas yang lebih rumit dan mencabar terutama dalam teknik menjalankan siasatan.
“Transaksi wang misalnya tak sama dengan 20 tahun lepas. Banyak yang berasaskan internet dan kurang dokumentasi. Setiap tindak-tanduk berlaku dengan cepat dan ada yang mengejutkan.
“Apa yang berlaku ini menyebabkan kita perlu mempunyai pegawai penyiasat yang cekap dan berkeupayaan memahami sesuatu transaksi. Kepantasan menjadi elemen penting,” katanya.
Saksi ‘cabaran’ SPRM
Kebergantungan SPRM terhadap saksi dalam menyiasat sesuatu kes rasuah turut dianggap cabaran hebat yang perlu dihadapi badan itu.
Abu Kassim yang mempunyai 25 tahun pengalaman dalam bidang pencegahan rasuah berkata saksi menjadi begitu penting apabila kerjasama mereka diperlukan dalam hampir semua kes yang disiasat.
“Kalau saksi tak mahu bekerjasama, kita akan menghadapi masalah untuk siasatan susulan.
“Kadang-kadang saksi beri kerjasama, tapi esoknya mereka datang tukar keterangan. Kalau keterangan yang diberi tak sama dengan keterangan yang diberikan di mahkamah, kita akan kalah,” jelasnya.
Tambahnya, situasi sebegini berlaku kerana kebanyakan saksi dalam kes rasuah adalah mereka yang kenal rapat dengan mereka yang dituduh memberi rasuah dan menyebabkan kerjasama saksi sukar diperolehi.
Keadaan akan menjadi lebih mencabar bagi SPRM apabila saksi mendapat khidmat nasihat daripada peguam-peguam handal dilantik yang menasihatkan mereka supaya berdiam diri daripada memberi keterangan.
“Bayangkan kita mahu dapat kerjasama dari pemandu tertuduh untuk menyatakan dia telah memandu kereta dan melihat sejumlah wang dibawa dan diserahkan kepada seseorang untuk tujuan tertentu.
“Sedangkan dalam masa yang sama pemandu itu masih bekerja dengan orang yang disiasat dan mungkin dinaikkan gajinya,” beliau memberi contoh.
Dalam pada itu, SPRM perlu mematuhi undang-undang dalam mendapatkan keterangan saksi.
“Kita ada tuntutan dan kehendak undang-undang yang perlu diikuti dalam menemuduga saksi. Ini juga cabaran hebat untuk SPRM.
“Di negara luar, banyak undang-undang membantu mereka menjalankan siasatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: