Panglima Tentera Darat (TD) Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Panglima TD yang baru Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zin (kanan) sempena majlis Tabik Hormat dan Perbarisan Penghargaan kepada beliau di Dataran Panglima Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.KUALA LUMPUR: Panglima baru Tentera Darat Jen Datuk Zulkifeli Mohd Zin berkata pasukan itu perlu mementingkan aspek latihan dalam menentukan kesiagaan keupayaan tempur setiap anggotanya seiring dengan perubahan masa dan zaman.
Beliau berkata dengan menggabungkan anggota dan peralatan, ini akan dapat menjadikan Tentera Darat sebuah pasukan pertahanan yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan tinggi.
"Saya berkehendakkan kita kembali kepada asas dengan mengambil kira apa yang telah kita alami dan pelajari di masa lalu.
"Oleh itu latihan kita akan menerapkan konsep belajar dan ulang belajar, bermula di peringkat unit yang paling rendah iaitu seksyen," katanya dalam ucapan pada Perbarisan Ulung Panglima Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini.
SELAMAT TINGGAL ... Suasana sedih menyelubungi kawasan balai pengawal utama Kementerian Pertahanan semasa Panglima Tentera Darat yang baru Jen Datuk Zulkifeli Mohd Zin (kanan) mengucapkan selamat jalan kepada bekas ketuanya, Janeral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin selepas majlis perpisahannya di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, 20 Mei lalu.Zulkifeli, yang mengambil alih jawatan itu daripada Jen Tan Sri Mohd Ismail Jamaluddin pada 20 Mei lepas, turut mengarahkan semua panglima, pemerintah dan ketua dalam Tentera Darat untuk memberi penekanan kepada aspek latihan yang menjadi komitmennya bagi memantapkan lagi infrastruktur serta peralatan latihan termasuk sistem simulasi tempur.
Katanya, apabila anggota dan peralatan disatukan dengan unsur-unsur kejiwaan iaitu semangat, keimanan dan kesetiaan, ianya mampu memantapkan lagi pasukan dan menjadikan Tentera Darat disegani dan digeruni lawan.
"Jika kita mempunyai peralatan yang canggih sekalipun tetapi kita tidak menerapkan aspek latihan dalam diri, kita tidak akan mampu menguasai peralatan atau infrastruktur yang sedia ada.
"Dengan itu saya sedang berusaha untuk menambahkan lagi peralatan latihan khususnya sistem simulasi tempur dari peringkat bawah," katanya.
Beliau berkata Tentera Darat juga akan menaik taraf lebih banyak kem tentera sedia ada serta menitik beratkan infrastruktur perumahan anggota seiring dengan pemodenan pasukan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: