Friday, October 2, 2009

Karyawan filem mahu tenaga pakar





AFDLIN mencadangkan penerbit diberi tempoh percubaan percuma menggunakan kemudahan studio digital itu.



YUSOF HASLAM



DAVID TEO


BIARPUN Studio Digital Mix Stage dikatakan di antara 12 studio audio tercanggih di dunia, satu masalah yang masih menghantui para penerbit filem tempatan apabila kepakaran tenaga kerja dikatakan belum lagi mencapai standard yang diinginkan.

Dengan menghantar 13 orang membuat latihan di Amerika Syarikat dan Australia, ilmu penggunaan peralatan canggih yang tersedia di studio tersebut masih belum mencukupi.

Menurut penerbit Metrowealth International Group (MIG), David Teo, kehadiran tenaga kerja yang profesional amat diperlukan kerana dengan hanya latihan asas yang diberikan kepada 13 pekerja tersebut, tidak bermakna mereka mampu dapat melaksanakan tugas mengikut kehendak pengarah.

"Saya rasa kita perlu menambahkan beberapa tenaga profesional dari luar negara agar dapat membimbing pekerja tempatan. Ya, kita mempunyai studio yang canggih, tetapi dari segi kemahiran, kita masih belum ada.

"Perkembangan filem Malaysia dah jauh meningkat, takut pekerja yang disediakan tidak pakar mengikut standard perkembangan filem kita. Mungkin kita boleh gabungkan tenaga luar dan tempatan untuk mereka bekerja sama, jadi pekerja tempatan pun akan biasa dengan tahap filem kita.

"Bayangkan, setiap filem mempunyai penyampaian yang berbeza. kemahiran sahaja tidak cukup, pengalaman yang perlu dititikberatkan.

"Bagaimanapun, kita pun perlu faham, studio ini masih lagi baru. Jadi saya juga turut cuba membantu bagi mendapatkan pakar-pakar untuk mengoperasikan peralatan canggih yang kita miliki," katanya.

Bagaimanapun, beritahu David, jika masih lagi tiada tenaga pakar dalam studio tersebut, David tidak berani mengambil risiko untuk membuat pengadunan filemnya di situ.

Lain pula bagi penerbit, pengarah dan juga pelakon popular, Afdlin Shauki apabila mencadangkan, percubaan secara percuma menggunakan peralatan studio dalam jangka masa tertentu perlu dibuat bagi melihat sejauh mana kehebatan tenaga kerja yang disediakan.

"Saya bangga kerana kita sudah pun memiliki studio yang canggih untuk membantu menaikkan filem-filem tempatan.

"Tetapi, kita kena ada ujian dan melihat bagaimana tenaga kerja yang disediakan mengawal peralatan tersebut. Bila kerja mereka terbukti hebat, barulah para penerbit yakin dengan produk yang ingin mereka hantar.

"Kalau tanya saya, memang saya berani untuk mencuba, penerbit saja yang akan risau sebab mereka yang akan keluarkan bajet.

"Pada masa yang sama, juruteknik tempatan juga dapat membuat latihan dan lihat dunia sebenar pembikinan filem, bukan makan gaji saja. Mereka kena terima kritikan dan mungkin mereka juga akan dimaki.

"Sayangnya, kita ada satu 'penyakit' dalam hal tenaga profesional filem. Nak ikutkan kita ada ramai pakar dalam bidang ini tetapi mereka sudah 'lari' ke negara luar kerana bayaran yang tinggi. Jadi, saya harap akan datang nanti, jika ada pakar-pakar yang hadir dalam industri, mereka perlu dibayar mengikut kepakaran yang dimiliki agar tidak 'dirampas' oleh negara lain," kata pengarah filem Papadom yang akan ditayangkan pada 8 Obtober ini.

Bagi penerbit jutawan, Datuk Yusof Haslam, dia juga mempunyai pendapat sama mengenai kepakaran tenaga kerja yang tidak mencapai standard.

Beritahu Yusof, jika kepakaran mengoperasikan peralatan tidak dipertingkatkan, tenaga kerja tempatan mungkin akan dibanding-bandingkan dengan tenaga luar oleh pihak penerbit.

"Sebenarnya, studio di sini boleh memudahkan kerja memandangkan kos lebih jimat dan lokasinya juga fleksibel. Saya harap pekerja tempatan dapat cepat belajar dan mendalami selok-belok peralatan yang ada, bukan mengikut buku semata-mata.

"Apa pun, saya akan melihat sendiri kepakaran mereka untuk filem-filem saya yang akan datang," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: