![]() |
| Scha&Fahrin |
Apa nak buat! Jodoh tak panjang. Itu yang boleh dikatakan apabila hubungan cinta pelakon Fahrin Ahmad, 30, dengan Scha Alyahya, 26, putus di tengah jalan.
Hajat untuk membina bahagia sehingga ke jenjang pelamin tidak menjadi kenyataan.
Bak kata orang kita yang merancang tetapi Tuhan menentukan. Soal jodoh, ajal dan maut adalah diluar pengetahuan kita tetapi sebagai manusia kita boleh berusaha dan berdoa mengenai perkara itu.
Tidak ada ribut, tidak ada angin tiba-tiba sahaja mereka dikatakan putus cinta.
Kisah sedih itu tersebar pada hujung Ramadan lalu sehinggalah pada awal Syawal, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir membuat kenyataan dia dan Fahrin sudah tiada apa-apa lagi.
Ramai yang terkejut dan tertanya-tanya kenapa jadi begitu? Yalah... selama ini Fahrin banyak memberi kenyataan selepas Linda Onn, cintanya hanya pada Scha. Malah Fahrin pun sudah bersedia untuk kearah yang lebih serius.
Dan Scha juga menjawab perkara yang sama. Setakat ini tidak kumbang lain melainkan si lelaki bernama Fahrin Ahmad dalam hatinya.
Tapi sayang sejuta kali sayang. Ketika peminat sedang mengikuti perkembangan hubungan mereka itu, tiba-tiba cerita sedih yang dikhabarkan.
Saat ditanya apakah puncanya, Scha berkata mungkin tiada jodoh dan persefahaman terhadap hubungan mereka itu.
Tanpa mahu menjelaskan apa sebenarnya berlaku, Scha hanya mahu satu iaitu tiada permusuhan di antara mereka.
Malah secara jujurnya wanita yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini masih memerlukan khidmat Fahrin untuk membantunya dalam program Sehati Berdansa yang akan bersiaran menerusi saluran Astro pada 24 Oktober akan datang.
"Memang saya memerlukan dia untuk membantu saya dalam rancangan itu nanti. Fahrin berbakat dan berkebolehan. Saya mahu dia membimbing saya," katanya.
Dan syukurlah, walaupun tiada lagi cinta di hati itu Scha mengaku mereka dapat menyelesaikan masalah dengan baik.
Ertinya mereka sudah berbincang dan mencapai persetujuan untuk hubungan itu dinokhtahkan.
"Kami bersetuju untuk berpisah. Perpisahan ini dengan cara yang baik," katanya.
Ujar Scha lagi dia tidak mahu bermusuh dengan sesiapa pun dan berharap hubungannya dengan Fahrin seperti rakan-rakannya yang lain.
"Scha mahu buang perkara yang buruk. Scha nak bagi tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya dan berharap dengan cara itu hubungan Scha dengan Fahrin akan menjadi lebih harmoni," ujarnya.
Bagi Fahrin pula dia agak kurang selesa dengan apa yang berlaku tetapi dia reda dengan dugaan itu.
Fahrin percaya jika dia dapat mengusai perasaan reda itu, sesuatu yang baik akan hadir dalam hidupnya nanti.
"Saya perlu rileks kerana saya percaya akan ada hikmah terhadap peristiwa ini. Kalau tak dalam bentuk rezeki, ia mungkin jodoh," katanya.
Juga tidak mahu ulas apa sebenarnya berlaku, Fahrin berpendapat pengakuan mengenai kehancuran hubungan mereka itu didedahkan bukan pada masanya.
Tidak menyalahkan Scha sepenuhnya kerana menganggap wanita itu masih baru dalam dunia hiburan, Fahrin berharap Scha mampu berhadapan dengan tekanan akibat peristiwa itu.
"Saya cuma terkilan kerana dia pilih waktu yang salah untuk berterus terang. Sepatutnya perkara ini dapat dikhabarkan kepada umum selepas program Sehati Berdansa kerana saya bimbang tekanan yang akan diperolehi.
"Bila keadaan macam ni berlaku, saya lebih senang memerhati dan bercakap bila perlu. Cuma saya akan berusaha untuk mengawal keadaan," kata Fahrin.
Menyerahkan kepada Tuhan dan masa untuk menjelaskan segala-galanya, Fahrin berharap penonton Sehati Berdansa menonton program berkenaan seperti yang mereka harapkan dan tidak mencampur aduk kisah pahit yang berlaku di antara dia dan Scha.
Dan kata Fahrin lagi dia akan buang ketepi perasaan yang bersarang di dalam hati bagi memastikan dapat memberi satu persembahan yang baik di dalam rancangan berkenaan.
"Insya-Allah, saya akan membantu Scha memandangkan dia masih baru sebagai pengacara," katanya.
Ditanya adakah hatinya hancur gara-gara peristiwa berkenaan ungkap Fahrin sebagaimana cinta itu ikhlas datang tanpa dipaksa, ia juga tidak dipaksa pergi.
Cuma Fahrin berpegang kepada satu iaitu buat apa dia hendak bersedih atau menyalahkan takdir kerana bimbang ia akan menjadi lebih buruk dan memakan diri.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: