![]() |
| Mila gariskan syarat pertama untuk menawan hati Mila adalah lelaki itu sanggup tinggal bersama dengan keluarga Mila selepas mendirikan rumah tangga nanti - Mila |
SEWAKTU penyanyi ini menyusun langkah ke pejabat Utusan, dia kelihatan ceria dan bersemangat. Habis semua orang sekeliling disapanya. Bila diajukan kenapa Mila mood gembira itu, Mila berkata, "Ini kali kedua Mila menjadi penghias Pancaindera selepas kali pertama dibuat pada 17 Februari 2008. Susah nak jadi cover. Kena beratur panjang."
Jurusolek artis ketika itu, Deq Sha yang ditugaskan menata rias Mila juga ada cerita tersendiri.
Kata Deq Sha, dia perlu berhati-hati ketika mekap Mila kerana kesilapan teknikal boleh menjadikan gadis berusia 22 tahun itu nampak tua. Struktur wajah Mila yang comel seperti figura jazz negara, Datuk Sheila Majid, menjadikan tugas juru mekap agak berat kerana perlu lebih bijak dan cermat sewaktu mengenakan mekap dan mendandan rambut gadis ketinggian 148 sentimeter ini.
Kesemua baju yang dibawa pada sesi fotografi kali ini juga merupakan koleksi peribadinya kerana Mila berdepan dengan masalah saiz untuk memakai baju tajaan berdasarkan pengalaman sebelum ini. Kata gadis ini, kebanyakan baju tajaan perlu diubah semula berdasarkan tubuhnya yang kecil. Apatah lagi selepas berat badan dan saiz pinggangnya semakin mengecil ekoran kesibukan kerja lantas menyarung pakaian sendiri adalah langkah penyelesaian terbaik.
"Kalau memakai baju sendiri, kita boleh menentukan konsep untuk sesi fotografi. Mila juga senang dengan konsep ceria dan sedikit funky memandangkan Mila masih muda lagi. Mila juga suka dengan warna-warna terang sebab ia mencerminkan jiwa Mila ketika itu," katanya yang masih meminati warna merah jambu ini.
Sememangnya, selepas bergelar ratu sulung siri rancangan realiti paling popular, Akademi Fantasia (AF) musim kelima, jadual harian Mila sentiasa terisi dengan undangan fotografi atau sesi temuramah di televisyen. Apatah lagi di saat-saat bulan Syawal bakal berakhir beberapa hari lagi.
Mila juga antara artis yang mempunyai cerita terbaru sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan dan syarikat berasaskan kecantikan dan kesihatan miliknya iaitu LuvMila Corporation Sdn. Bhd. (LuvMila).
Jika masih ingat, drama Cinta Meriam Buluh yang ditayangkan di Astro Prima pada Hari Raya kedua lalu adalah eksperimen pertama bagi mengukur kebolehan Mila dalam bidang lakonan.
"Berlakon di samping Raja Lawak 2, Nabil sememangnya satu cabaran buat Mila kerana dia kaya dengan idea yang disampaikan secara spontan.
"Nabil tidak henti-henti bercakap dan melawak sepanjang sesi fotografi dan kadangkala menyebabkan Mila terasa juga kekurangan diri bila dibandingkan dengan dia yang terlebih dahulu mendapat pendedahan," katanya yang bercadang menjalankan perniagaan francais ayam goreng tidak lama lagi ini.
Keupayaan lakonan Mila seterusnya diuji dalam drama muzikal, Kau dan Aku yang disiarkan setiap Sabtu pukul 10 malam di Astro Ria bermula 24 Oktober ini. Drama itu diadaptasi daripada sebuah drama Venezuela, So Mos To You diterajui oleh Mila sebagai pelakon utama.
Ia mengisarkan tentang kehidupannya gadis kampung yang berpeluang menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta dan kemudiannya terlibat dalam konflik cinta.
Kali ini, Mila bergandingan dengan Raja Farah dan bintang AF7, Aril dan Akim dalam drama bersiri 26 episod kerjasama dua negara iaitu Astro dan Double Vision Indonesia.
"Mila memang memberi sepenuh perhatian untuk drama yang menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia selama dua bulan ini. Mila terlibat dalam 360 daripada lebih 1,000 babak yang ada dalam drama itu. Kami bekerja dari Isnin sehingga Sabtu kerana semua adegan yang telah dirakam terus disunting pada waktu itu juga.
"Ia memang satu pengalaman yang amat berharga buat Mila kerana banyak yang dipelajari. Mila juga bertuah kerana penolong pengarah, Reza Fahmi banyak membantu Mila untuk menghidupkan watak sedih kerana ia bukan karektor sebenar Mila," jelasnya yang berminat melakonkan watak antagonis sekiranya diberi peluang pada masa akan datang.
Saat diajukan soalan adakah Mila akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam bidang lakonan sebagai mana bidang nyanyian, Mila terus menggelengkan kepala. Baginya, nyanyian tetap menjadi teras utama dalam industri seni manakala lakonan adalah sampingan semata-mata.
"Berlakon memang seronok kerana menjadikan hubungan sesama artis itu lebih akrab. Bagi Mila, biar kemunculan Mila itu bersifat sementara sahaja. Macam setahun sekali dengan menjadikan drama atau filem itu sebagai satu projek istimewa Mila. Sebabnya, Mila risau bila leka berlakon menyebabkan undangan nyanyian dilupakan sedikit demi sedikit. Wabak yang paling digeruniitu dikhuatiri boleh menyebabkan periuk nasi nyanyian Mila tertutup sedikit demi sedikit," kata Mila yang pernah bekerja kilang, terminal bas, kerani sebuah firma guaman dan penyanyi kelab di Pulau Pinang sebelum menyertai AF pada 2007.
Kini, artis naungan Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) hangat dengan tiga lagu single iaitu Jika Kau Ubah Fikiran terbitan KRU dan AESB, Rahsia Sanubariku (MC Voices & Star) dan Siapa Tak Perlu Cinta (LuvMILA) di radio.
Beralih kepada topik cinta, Mila yang semakin bijak mengatur bicara ini menetapkan tiga tahun lagi untuk memikirkan perkara tersebut. Ketika itu usia Mila mencecah 25 tahun dan boleh berbicara secara terbuka mengenai lelaki idamannya.
Buat sementara waktu, Mila enggan terjerumus dalam alam percintaan kerana fokus utamanya adalah bidang seni dan LuvMILA.
"Mila terima hakikat tidak selamanya berstatus bujang kerana lambat laun ibu bapa Mila akan lepaskan tanggungjawab itu kepada bakal suami. Sebab itu Mila menetapkan tiga tahun untuk kembali memikirkan perkara ini bagi memastikan Mila betul-betul bersedia.
"Justeru, apa yang boleh Mila gariskan syarat pertama untuk menawan hati Mila adalah lelaki itu sanggup tinggal bersama dengan keluarga Mila selepas mendirikan rumah tangga nanti. Sebagai anak sulung, tanggungjawab membela keluarga terletak di bahu Mila. Kalau boleh Mila mahu si dia ikhlas menjaga keluarga Mila serta menerima Mila seadanya," ujar Mila tanpa berselindung.
Mila juga ingin membersihkan namanya daripada kisah cinta kontroversi masa lampau yang kadang kala mengganggu prestasi kerjaya seninya.
Selain itu, Mila mengaku senang bergaul dengan orang lebih tua daripadanya kerana gemar mengutip pengalaman hidup mereka. Golongan itu juga dilihat matang dalam merencana laluan masa depan serta bijak mengawal emosi.
Kebanyakan daripada mereka juga gemar memberi nasihat dan tunjuk ajar serta pendengar setia sekiranya Mila berdepan dengan sebarang masalah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: