![]() |
| Lagipun sekarang saya muncul sebagai Farawahida yang baru, untuk meyakinkan orang yang saya ini benar-benar berubah daripada dulu - Fara |
KEMELUT melanda penyanyi Farawahida dan komposer Julfekar Ahmad Shah yang juga 'bekas' bosnya masih hangat. Ada sahaja perkembangan terbaru yang timbul.
Walaupun dilanda pelbagai kontroversi, namun kerjaya Farawahida atau Fara terus padam. Sana-sini ada kelibat Farawahida baik muncul dalam program televisyen ataupun memenuhi undangan mengadakan persembahan pentas.
Tak terjejaskah kerjaya Farawahida dengan segala permasalahan yang melandanya sejak beberapa bulan kebelakangan ini? Kuatkah penyanyi dia memperjuangkan masa depan kerjaya seninya sendirian selepas lima tahun dijaga pengurus?
"Sekarang saya baru nampak betapa luasnya dunia ini. Apabila bergerak sendiri saya semakin gagah kerana inilah perjuangan saya. Nak masuk lombong pun saya sendiri yang kena buat keputusan," kata Farawahida kepada Editor Mangga Online, ROSLI MANAH.
Fara tidak mahu lagi berselindung dan menyembunyikan diri, sebaliknya beliau harus sentiasa positif memikirkan geraknya menuju ke hadapan tanpa menoleh ke belakang lagi. Ikuti perkembangan Farawahida yang dikongsi dengan Pancaindera.
Nampaknya Fara makin laris sekarang?
Rezeki saya bukan ditentukan oleh orang itu atau sesiapa. Tuhan yang bagi rezeki. Alhamdulillah nampaknya ada sahaja rezeki saya. Banyak yang membantu saya dengan terus membuat tawaran mengadakan show dan tawaran-tawaran lain. Banyak lagi tawaran mengadakan persembahan di seluruh negara.
Adakah pihak yang takut nak mengundang Fara?
Pada awalnya ada juga yang terpengaruh, tapi apabila saya menerangkan keadaan saya mereka faham dan tidak mempedulikan perkara-perkara yang banyak orang perkatakan sejak saya menghilangkan diri dulu.
Apa keadaan sebenar tu?
Apabila dengar saya disaman ada juga yang terpengaruh. Sebenarnya sehingga hari ini (Rabu lalu) saya belum lagi menerima apa-apa surat saman ke atas saya oleh syarikat Millenium Arts. Apabila saya baca dalam akhbar pasal pihak sana (Julfekar dan Millenium Arts) mengemukakan saman kepada saya, saya tunggulah untuk tahu apa butirannya.
Saya ada tanyakan peguam saya pasal saman itu dan beliau kata memang ada saman difailkan oleh pihak sana, tapi sehingga hari ini baik saya mahupun peguam saya, belum lagi menerima apa-apa saman.
Keadaan saya sekarang ialah saya masih bebas meneruskan perjalanan seni saya. Selagi mahkamah tidak putuskan yang saya tak boleh menyanyi, saya akan terus menyanyi. Sebab itu saya tak takut untuk muncul dalam program televisyen ataupun memenuhi undangan menyanyi.
Dengarnya Fara tidak boleh menyanyikan lagu-lagu sendiri?
Sehingga hari ini sebenarnya perkara itu tidak timbul. Kalau mahkamah tidak putuskan macam mana orang kata saya tak boleh menyanyikan lagu-lagu nyanyian saya sendiri. Tapi dalam mana-mana persembahan sekarang ini, saya memang tidak nyanyikan lagu-lagu saya, bukan kerana takut atau dihalang, tapi saya malas memanjangkan lagi perkara itu. Biarlah perkara ini selesai dulu, saya tak nak tambahkan lagi masalah. Tak apalah saya boleh menyanyikan lagu-lagu popular penyanyi lain.
Kasihan penulis lirik lagu-lagu Fara, tak boleh dapat royalti lebih.
Ha... ha... ha... nak buat macam mana tunggulah akan ada masanya saya akan menyanyikan lagu sendiri. Saya sendiri pun berapa sangatlah dapat royaltinya.
Masa Hari Raya hari itu ada pula timbul kisah Fara mahu bunuh diri. Macam mana tu?
Saya pun tak tahu macam mana perkara itu boleh timbul. Tiba-tiba sahaja ramai orang yang menelefon saya bertanya khabar. Apabila saya kata saya baik-baik saja, mereka tanya pasal kiriman SMS mengatakan saya cuba bunuh diri pula.
Saya bersama keluarga saya semasa menerima panggilan kawan-kawan dan wartawan. Kami hanya ketawa sahaja apabila muncul perkara baru yang mengarut macam itu. Saya masih waras, buat apa nak buat perkara tak baik macam tu, Saya sayangkan diri saya masih banyak lagi benda yang saya nak buat selepas ini. Kalau tak ada aral, saya akan berlakon teater pula hujung tahun ini.
Berlakon cerita apa?
Saya tak boleh nak bercerita lebih sebab perkara ini belum lagi sah, tapi saya sebenarnya sudah menerima skripnya. Pementasan teater itu akan berlangsung selama empat hari, saya akan berlakon dua hari sahaja. Dua hari lagi watak yang sama dilakonkan oleh pelakon lain.
Dah tak mahu rakam lagu baru lagi?
Dalam keadaan sekarang saya malas fikir pasal rakaman lagu baru. Yalah mana ada syarikat rakaman nak mengambil risiko selagi mahkamah belum putuskan yang saya benar-benar bebas untuk membuat rakaman baru dengan syarikat lain. Kalau ikutkan kontrak lama saya tu, tempoh opsyen akan tamat Februari depan. Selepas itulah barulah saya boleh fikirkan apa yang akan saya buat. Sekarang biarlah saya teruskan aktiviti yang ada. Lagipun sekarang saya muncul sebagai Farawahida yang baru, untuk meyakinkan orang yang saya ini benar-benar berubah daripada dulu, kenalah hasilkan sesuatu yang berlainan dengan apa yang saya pernah buat, jadi ia pasti akan mengambil masa.
Siapa yang uruskan Fara sekarang?
Sekarang saya yang uruskan sendiri. Kalau kakak atau saudara saya ada masa lapang, mereka akan menemankan saya. Saya sekarang tinggal di rumah keluarga di Taiping, Perak. Kalau ada aktiviti di Kuala Lumpur saya turun ke Kuala Lumpur dan menumpang di rumah makcik saya di sini. Sekarang, macam inilah rutin saya, turun naik Taiping dan Kuala Lumpur.
Sejak menguruskan diri sendiri ini saya baru nampak betapa luasnya dunia ini. Apabila kita lakukan sendiri kita akan jadi lebih tabah dan kuat untuk berjuang. Apa sahaja keputusan yang kita buat, kita sendiri yang akan tanggung. Nak masuk lombong pun saya sendiri yang kena buat keputusan. Saya sudah pandai berdikari.
Macam mana menghadapi saat-saat sukar macam ini?
Saya mendapat kekuatan kerana keluarga dan kawan-kawan ada di sekeliling saya semasa saya susah. Saya juga ada bertanyakan kepada seorang ustaz dan ustaz itu kata, saya sekarang sedang diuji dan saya harus menangani ujian ini dengan baik. Kalau saya boleh melaluinya, kira saya macam lulus ujianlah. Ia membuatkan saya pasrah melalui apa sahaja dan dalam masa yang sama saya tidak akan mengalah kerana pada akhirnya kebenaran akan terbukti.
Saya tidak mahu memburuk-burukkan atau mengaibkan orang lain, biarlah orang memburuk-burukkan saya kerana pada akhirnya orang akan tahu siapa benar siapa salah.
Ada berjumpa dengan Azharina ke? Bertukar pendapat ke?
Itulah yang peliknya, dulu semasa bersama syarikat, saya jarang berjumpa Azharina, tapi selepas kejadian ini banyak kali juga saya muncul mengadakan persembahan bersama-sama. Tapi setakat ini tak berkesempatan lagi untuk berbual-bual dengannya pasal perkara ini.
Saya sememangnya tak mahu lagi ungkit perkara lama itu. Saya nak bina kehidupan baru dan muncul sebagai Farawahida yang baru. Saya tak mahu ulang-ulang bercakap pasal perkara yang sama. Saya mahu fokus kepada kerjaya saya sebagai penyanyi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: