
JITRA - Belumpun reda kesedihan Norlia Mohd. Zain, 27, yang kematian dua orang anak dalam kebakaran di Kampung Kilat, Alor Setar dekat sini kelmarin, semalam rumah bapanya di Kampung Naga, Kepala Batas di sini pula terbakar.
Kejadian tersebut berlaku pada pukul 5.30 petang dan nasib baik bapa Norlia, Mohd. Zain Abdul Rani, 57, dan adiknya, Norhayati, 18, selamat.
Semasa kebakaran, Mohd. Zain berada di luar rumah manakala Norhayati berehat di tingkat bawah rumah dua tingkat berstruktur batu dan kayu yang musnah itu.
Seorang lagi adik Norlia, Zainab semasa kejadian tidur di rumah neneknya yang terletak berhadapan rumahnya.
Zainab memberitahu, dia mengetahui kebakaran itu selepas terkejut mendengar jeritan Norhayati.
"Penduduk kampung juga cuba membantu memadam kebakaran tetapi api marak dengan cepat," ceritanya ketika ditemui semalam.
Dalam kebakaran rumah Norlia pada pukul 10.30 pagi kelmarin, dua anaknya Nur Faiza Natasha Mohd. Farid, 4, dan Nur Faiza Naziha, 2, rentung setelah mereka terperangkap dalam rumah dua tingkat itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: