Monday, October 5, 2009

Raja Lawak kembali lagi


DARI kiri: Nizam Sani, Bob Lokman, Din Beramboi, Afdlin Shauki, Johan dan Zizan pada sidang media, baru-baru ini.


STESEN televisyen satelit pertama negara, Astro terus menawarkan pelbagai hidangan istimewa untuk tontonan para pelanggan mereka.

Seleksi yang ditawarkan oleh Astro merangkumi pelbagai program termasuk hiburan, sukan, dokumentari, berita dan sebagainya.

Pastinya, yang sering mendapat perhatian daripada para penonton sudah tentu program-program hiburan realiti.

Antara program hiburan realiti yang cukup popular di Astro ialah pencarian bakat baru dalam gelanggang lawak iaitu Raja Lawak.

Selepas mengangkat Kumpulan Sepah sebagai juara Raja Lawak pada musim ketiga, Astro meneruskan lagi inisiatifnya bagi mencari pelapis dalam bidang komedi yang kini memasuki musim keempat.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, penerbitan program Raja Lawak memberi peluang kepada Astro menyumbang bakat-bakat komedi baru kepada persada hiburan tanah air.

Ekoran kejayaan itu, Astro kata beliau, tidak teragak-agak untuk menyambung program ini ke musim keempat kerana percaya masih ada banyak lagi bakat-bakat komedi yang belum dicungkil di negara ini.

Apa yang menariknya juga, pada musim lepas, program Raja Lawak Astro berjaya mengumpulkan rating yang tinggi pada setiap minggu dan pada episod akhir sahaja, program ini berjaya mengumpul sebanyak 1.28 juta penonton.

"Angka-angka ini merupakan penyuntik semangat untuk kami meneruskan program ini ke musim keempat.

"Oleh itu, program Raja Lawak Astro amat berbesar hati untuk memulakan penjelajahan dalam mencari bakat-bakat baru dan kali ini ke lima buah negeri di seluruh Malaysia termasuk negeri Sabah," kata beliau.

Pada musim ini, program realiti bakat lawak popular ini juga dijangka lebih menarik lagi apabila mendapat kerjasama tiga pelawak serba boleh untuk mengisi kerusi juri pada setiap minggu.

Mereka yang disenaraikan oleh Astro ialah penulis, pengarah, pelakon, penyanyi, penerbit filem dan hos TV serba boleh, Afdlin Shauki, penyampai radio dan pelawak terkenal, Din Beramboi serta pelawak dan pengacara popular, Bob Lokman.

Kombinasi juri

"Kami berpendapat, kombinasi juri pada musim ini sebagai pilihan terbaik dan percaya kredibiliti mereka mampu mengangkat hiburan komedi ke satu peringkat yang lebih tinggi.

"Pengalaman mereka dalam bidang seni juga merupakan satu bonus dalam menghujahkan kritikan-kritikan yang bernas pada setiap minggu kelak," tambah Nizam lagi.

Pertandingan realiti bakat lawak, Raja Lawak Astro (musim keempat) ini terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.

Peserta haruslah mempunyai bakat dan minat di dalam bidang komedi selain perlu membuat persembahan pentas secara spontan dan menarik perhatian juri dalam tempoh tiga minit.

Pertandingan ini terbuka kepada peserta solo mahupun berkumpulan tidak melebihi tiga orang.

Para juri akan menilai peserta-peserta berdasarkan beberapa kriteria pemilihan seperti kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti, bakat dan kemahiran lakonan dan sama ada peserta berpotensi diketengahkan sebagai pelawak terkenal.

Sementara itu, Astro juga mengumumkan, pemenang tempat kedua dan ketiga Raja Lawak musim pertama, Johan dan Zizan sekali lagi akan menggalas tugas sebagai hos program ini untuk tiga tahun berturut-turut

Raja Lawak musim keempat akan mula menemui para penonton pada 26 Disember depan bermula pukul 8.30 malam di saluran Prima (saluran 105, Astro).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: