Monday, October 5, 2009

Dunia realiti penerbitan majalah


TIGA pekerja pelatih yang bekerja di Marie Claire New York iaitu (dari kiri) Talita Silva, Ashley Gosik dan Samantha Dezur.


SERINGKALI ramai yang beranggapan bekerja di sebuah syarikat penerbitan terkemuka khususnya majalah fesyen akan membawa seseorang itu ke dunia glamor.

Masakan tidak, mereka berpendapat bahawa bekerja di sebuah majalah fesyen semuanya indah belaka.

Berpeluang berlaga bahu dengan selebriti terkenal dunia, menghadiri pertunjukan fesyen terkemuka serta dapat mempamerkan busana indah dan mewah dalam setiap sesi fotografi.

Semuanya itu adalah pandangan yang sering kali diberikan oleh mereka yang tidak tahu bagaimanakah dunia realiti majalah fesyen yang sebenarnya.

Dalam usaha untuk memberikan hasil kerja yang terbaik demi pembaca mereka, semuanya memerlukan komitmen, imaginasi yang luas serta kreativiti.

Dan, semuanya itu bukan sahaja terletak pada seorang sahaja sebaliknya semua pihak baik dari ketua pengarang sehinggalah mereka yang menjalani latihan praktikal semuanya memainkan peranan yang penting.

Filem The Devils Wears Prada yang menampilkan Meryl Streep dan Anne Hathaway merupakan antara contoh situasi sebenar dan realiti di sebalik dunia penerbitan majalah fesyen.

Hakikatnya, untuk bekerja di sebuah majalah fesyen ia bukanlah sekadar untuk glamor dan harus diakui, ia juga bukanlah semudah yang disangka.

Ini kerana jika silap perhitungan, semuanya boleh jadi tunggang-langgang dan seterusnya memberi kesan kepada penerbitan majalah itu sendiri.

Untuk memberikan gambaran sebenar kepada masyarakat bagaimanakah kehidupan dan bekerja di sebuah majalah fesyen, rancangan realiti berjudul Running In Heels dapat menjawab segala yang terbuku di minda selama ini.

Bakal ditayangkan bermula hari ini (5 Oktober) menerusi E! Entertainment Television (saluran 712, Astro), penonton setia saluran itu akan dapat melihat sendiri bagaimana proses untuk menerbitkan majalah fesyen terkemuka, Marie Claire New York.

Untuk bekerja di Marie Claire mungkin impian bagi mereka yang sering kali bercita-cita mahukan sebuah pekerjaan yang penuh dengan glamor, kemewahan dan juga kecantikan.

Tetapi semuanya itu hanyalah sekadar luaran kerana untuk bekerja di sebuah majalah hebat seperti Marie Claire menuntut masa yang lama dan juga ketekunan serta kerja keras.

Menariknya program ini adalah ia menampilkan kehidupan di Marie Claire dari sudut dan perspektif yang berbeza.

Penonton akan dapat menikmati perjalanan hidup secara profesional dan juga peribadi wanita yang bekerja di majalah tersebut baik dari Ketua Pengarang sehinggalah ke pekerja bawahan.

Memang sesuatu yang cukup mengujakan apabila gelagat mereka dirakamkan dalam mengimbangi dunia kerja dan juga peribadi mereka.

Apatah lagi, hidup di kota metropolitan seperti New York sememangnya cukup mencabar dan semua ini dapat dilihat menerusi Running In Heels.

Tidak cukup dengan itu, secara eksklusifnya penonton juga akan dapat menonton aktiviti yang berlaku di Marie Claire yang sebelum ini begitu eksklusif dan tidak pernah dipaparkan di mana-mana rancangan.

Sudah pasti, penonton akan dapat menyaksikan sendiri bagaimana proses sesi fotografi eksklusif dijalankan, keadaan dan keriuhan yang berlaku sewaktu mesyuarat editorial, pertunjukan fesyen serta parti selepas berakhirnya minggu fesyen.

Running In Heels turut memaparkan visual dan majlis yang dihadiri oleh selebriti dan pereka terkenal dunia seperti Lindsay Lohan, Natasha Bedingfield, Vera Wang dan Roberto Cavalli.

Juga, program ini akan menampilkan kisah yang berlaku dari kaca mata enam wanita yang berlainan portfolio dan jawatan di Marie Claire yang pastinya memberikan satu pendekatan yang menarik.

Lima wanita yang dimaksudkan itu ialah Ketua Pengarang, Joanna Coles; Editor Kanan Fesyen, Zanna Roberts; Editor Shopping, Zoe Glassner dan tiga orang pekerja pelatih iaitu Ashley Gosik, Samantha Dezur dan Talita Silva.

Nama pun rancangan realiti dan sudah pasti, penonton akan dapat menyaksikan gelagat dan telatah keenam-enam mereka ini dalam menghadapi situasi yang cukup mencabar.

Bukan itu sahaja, pertelingkahan dan perdebatan yang berlaku antara tiga pelatih itu juga akan dipaparkan dalam program ini apabila masing-masing merasakan ada niat yang tersembunyi antara mereka.

Untuk itu, pastikan anda tidak melepaskan peluang menonton Running In Heels sebanyak lapan episod yang pastinya akan memberikan pendekatan baru dalam penerbitan rancangan realiti TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: