Monday, October 5, 2009

Mimi Loma sinonim dengan 'posto'


MIMI LOMA hari ini.


MELIHATKAN lakonannya sebagai Suhara yang getik, anak bongsu daripada tiga beradik Sahora dan Mastura anak kepada seorang kaya lakonan, Allahyarham A.R Tompel, tentu ramai yang masih ingatkannya.

Disebabkan mahu bermenantukan orang kaya, akhirnya Suhara dinikah dengan lelaki pilihan ayahnya.

Tetapi sayangnya, pilihan si ayah tidak memberikan kebahagiaan kerana suami yang disangka kaya rupa-rupanya seorang pencuri.

Itu merupakan jalan cerita filem Ahmad Albab arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1967 itu yang menampilkan Mimi Loma sebagai pelakon.

Walaupun filem itu merupakan filem pertama dan terakhir lakonannya yang memberikannya watak, tetapi sehingga hari ini ke mana sahaja Mimi Loma pergi, ada yang menyapanya sebagai 'posto' (posmen).

Masakan tidak, sikap kurang senang watak Suhara terhadap watak posmen yang disapa sebagai posto dalam filem itu membuatkan panggilan berkenaan sinonim dengan Mimi.

"Sebenarnya saya tak mahu berlakon tetapi arwah abang (panggilan buat P. Ramlee) inginkan saya berlakon.

"Tak sangka pula panggilan posto itu membuatkan peminat filem Melayu kenal saya sampai hari ini meskipun usia sudah mencecah 60-an," Mimi berkongsi rasa bangga terhadap pencapaiannya itu pada satu pertemuan dengannya baru-baru ini.

Selepas berjaya dalam filem Ahmad Albab, Mimi Loma ditawarkan membuat album yang diterbitkan oleh P. Ramlee.

Meskipun hingga kini mempunyai lima album namun album Epok-Epok (1972) dan Bawah Rumpun Bambu (1973) terbitan seniman tersohor itu di bawah syarikat rakaman GUO berjaya meletakkan nama Mimi di persada seni tanah air.

Sejak album itu, nama Mimi mula dikenali apalagi suaranya dikatakan mirip kakaknya, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Panggilan komersial beliau adalah Mimi Loma. Asal namanya pula ialah Aminah Ismail.

Seniwati ini berusia 63 tahun dan merupakan anak keempat daripada sembilan beradik satu bapa.

Bagaimanapun, Mimi berlainan ibu dengan seniwati veteran Mariani dan Allahyarham Puan Sri Saloma.

Mimi mula menceburi bidang nyanyian ketika berusia 16 tahun dengan menyanyi di kelab malam di Hotel Sham Rock dan Hotel Princess.

Bakat dan kebolehannya menyanyikan lagu-lagu Mandarin selain lagu Inggeris menarik minat seorang pengurus reviu (kini dipanggil fun fair) yang mengundangnya menyanyi di Sabah pada tahun 1961.

Walaupun ketika itu, Mimi dan ahli keluarganya masih menetap di Singapura, namun tawaran taukeh reviu di Sabah memberi rezeki yang lumayan buat Mimi.

Berbekalkan bakat dan keyakinan serta ditemani oleh adik kepada seniman veteran Datuk Aziz Sattar iaitu Zaini Sattar dan seorang pelakon lama, Mimi memberanikan diri mengorak langkah lebih jauh dalam bidang seni.

Walaupun terpaksa merantau jauh ke Sabah, namun kerana minat dan ingin mencari rezeki, Mimi tidak menolak tawaran itu sebaliknya menganggap itulah rezeki kurniaan Allah SWT.

Menurut Mimi, menjadi penyanyi kelab malam di zaman 1960-an memerlukan seseorang itu mahir menyanyikan lagu pelbagai bahasa.

Mengimbas kenangan zaman silam, Mimi berkata, ketika era berkenaan, setiap penyanyi di kelab malam hanya dibenarkan menyanyi dua buah lagu Melayu sahaja iaitu Bengawan Solo dan Burung Kakak Tua.

Masalah

Dan bagi Mimi, untuk menyampaikan lagu-lagu bahasa Inggeris, ia tidak mendatangkan masalah dan lagu-lagu nyanyian Connie Francis sering menjadi pilihannya.

Bagaimanapun, apabila disuruh menyanyikan lagu Mandarin, Mimi sering berhadapan dengan masalah.

"Tetapi saya bertuah kerana mempunyai rakan penyanyi seperti Sakura Teng. Sakura membantu saya memahami setiap perkataan lagu-lagu Mandarin yang saya nyanyikan.

"Apabila sudah setiap hari mempelajari makna lagu-lagu Mandarin akhirnya saya mampu menguasai bahasa Mandarin dengan baik dan memudahkan saya menghayati lagu-lagu berkenaan," kata Mimi menyingkap kemanisan menyanyi di kelab malam era berkenaan.

Setelah mengelilingi Sabah dengan mengikut taukeh berkenaan, Mimi juga ditawarkan menyanyi di kelab malam di Kota Kinabalu seperti Hotel Jesselton, Winder House dan Capitol.

Dari fun fair ke kelab malam, Mimi akhirnya ditawarkan menyanyi di Radio Sabah oleh penyelia radio berkenaan iaitu Hamzah Yasin.

Melalui Radio Sabah, Mimi bukan setakat diberi peluang menyanyi sebaliknya dia juga mempunyai rancangan radio sendiri.

"Saya tak ingat apa nama rancangan itu, tetapi saya muncul selama 30 minit menyanyikan pelbagai irama lagu untuk hiburan para pendengar di sana.

"Kejayaan saya memikat pendengar Sabah, akhirnya telah membuatkan abang ipar saya, (P. Ramlee) mengesyorkan saya menukar nama asal saya daripada Aminah kepada Mimi Loma.

"Mulanya saya memang tak mahu sebab saya sayang nama itu. Tetapi arwah syorkan saya menggunakan nama Mimi Loma jadi sekarang dalam kad pengenalan saya ada dua nama," cerita Mimi sambil ketawa.

Mimi bukan setakat mencipta nama di Sabah dan mendapat bayaran yang tinggi RM900 berbanding kakaknya, Saloma, malah di sana juga dia bertemu jodoh.

Sayangnya, jodoh Mimi dengan suami pertamanya seorang Kapten Askar Melayu tidak kekal lama.

"Apabila dia ditukarkan ke Kuala Lumpur, saya terpaksa melupakan bidang nyanyian kerana mahu mengikut suami.

"Sebab bagi saya setinggi mana pelajaran atau populariti seseorang isteri, tempatnya ialah di sisi suami.

"Tetapi sudah ditakdirkan jodoh kami tidak panjang. Perkahwinan yang tidak dikurniakan anak tetapi saya memelihara seorang anak angkat, ini berakhir dengan perceraian," Mimi mengungkap rahsia hidupnya.

Biarpun perkahwinan pertama berakhir dengan perceraian, Mimi tidak pernah serik.

Dia kemudiannya bertemu jodoh dengan seorang jejaka kerabat diraja namun usia perkahwinan kali kedua yang juga tidak dikurniakan cahaya mata cuma bertahan selama 11 tahun.

Biar dua perkahwinan sebelum ini berakhir dengan perceraian, namun Mimi tidak pernah serik untuk mencuba kali ketiga.

Barangkali, sudah tertulis takdir Mimi tidak dikurniakan zuriat kerana menerusi perkahwinan kali ketiga dengan Samsuddin Mustafa pada tahun 1992 juga pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata.

Sayang sekali selepas dua tahun mengecap kebahagiaan berumah tangga, Mimi terpaksa menerima ketentuan bahawa suami tercinta lebih dulu dipanggil olehNya.

Allahyarham Samsuddin kata Mimi, meninggal dunia akibat sakit jantung pada tahun 1994.

Kini, Mimi yang pernah mencipta nama sebagai penyanyi di Mawar Coffe House, Bunga Raya Coffe House dan Bunga Tanjung Coffee House selama enam tahun bermula 1988, memenuhi masanya melayan kerenah tiga orang cucunya, Rafik Danish, 9, Rafik Aidil,8, dan Soraya Dania,5, bersama anaknya, Sherina Othman, 35, yang merupakan ibu tunggal.

"Alhamdulillah dengan duit pencen arwah suami ketiga saya RM300 sebulan dan pencen yang diberikan oleh Karyawan RM500 sebulan mampu menampung kehidupan harian saya.

"Saya bersyukur dalam usia begini saya tidak perlu bekerja atau menyanyi. Cuma sekali sekala jika diundang untuk menyanyi dalam jamuan tertentu saya akan menyanyi.

"Bagi saya, hidup saya kini lebih banyak tertumpu kepada tanggungjawab sebagai seorang Islam dan nenek kepada cucu-cucu saya," kata Mimi sambil memeluk Soraya Dania yang menemaninya pada pertemuan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: