PELUMBA untuk siri MotoGP, Loris Capirossi, Hector Barbera, Hiroshi Aoyama dan Nicholas Terol mengenepikan seketika jentera masing-masing, sebaliknya keempat-empat mereka meluangkan masa untuk menunggang gajah di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah di Pahang baru-baru ini.
Mereka yang berlumba dalam Shell Advance Malaysian MotoGP pada hujung minggu lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membuat lawatan ke pusat konservasi itu untuk mengalami percutian alam semula jadi yang masih belum tercemar.
Kedatangan para pelumba itu disambut dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk mendekati mamalia terbesar itu dengan memberi haiwan itu makan pada waktu tengah hari. Mereka turut berpeluang menunggang gajah yang membawa mereka mengelilingi kawasan sekitarnya.
Menurut kenyataan e-mel yang diterima Kosmo!, pelumba 125cc, Terol turut berpeluang menunggang gajah di dalam sungai berdekatan.
"Saya menyayangi haiwan dan ini kali pertama saya mendapat peluang mendekati haiwan yang menakjubkan sehinggakan saya merasakan diri saya seperti Mogly, iaitu satu watak dalam buku Jungle Book,'' katanya.
"Ini satu pergalaman yang menenangkan, apatah lagi suasana di sini begitu kontra dengan hutan batu di negara saya, Jepun,'' kata pula Hiroshi Aoyama yang berlumba dalam pasukan Scot Racing untuk 250cc.
Sementara itu, Capirossi yang merupakan pelumba berpengalaman dalam sukan MotoGP berkata, pengetahuan yang ditimbanya dalam lawatan itu termasuk berpeluang memberi makan gajah serta melihat panorama menghijau di sekeliling begitu mengujakannya.
Seorang lagi pelumba, Hector Barbera yang memiliki tato gajah pada tubuhnya berkata: "Saya difahamkan jumlah gajah di hutan Malaysia semakin mengecil. Jadi, usaha memulihara dan melepaskan semula gajah-gajah liar yang dipulih di sini ke dalam habitat sebenar wajar dicontohi oleh pihak lain."
Santuari gajah di Kuala Gandah itu dibuka pada tahun 1989 dengan matlamat untuk memindahkan gajah liar dari habibat yang terancam dan dijaga di situ sebelum dipulangkan semula ke habitat asal, biasanya di lokasi lain. Kebanyakan gajah liar itu ditangkap kerana merosakkan tanaman penduduk kampung atau ladang di lokasi bersempadan dengan hutan belantara.
Pada waktu ini, terdapat 17 ekor gajah yang berusia antara lima hingga 71 tahun. Ia dibawa masuk bukan sahaja dari Malaysia, malah dari Thailand, Myanmar dan India.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: