Sejak zaman berzaman, lukisan di Habsyah begitu sinonim dengan potret bertemakan sains dan politik. Namun kini, para pelukis mula memberi nafas baru terhadap seni lukis di negara itu.
DI dalam sebuah studio yang kelihatan berselerak dengan peralatan-peralatan melukis, pemilik studio itu, Dawit Abebe yang merupakan seorang artis pelopor lukisan bermotif seks tekun menyiapkan kerja-kerjanya.
Sejak beberapa tahun lalu, beliau berusaha mempertahankan revolusi lukisan yang bermotifkan seks.
"Sejak lama dahulu, saya bergelut untuk memahamkan orang ramai tentang apa yang saya hasilkan ini adalah tidak salah. Saya telah biasa berhadapan dengan banyak cabaran.
"Kini, hampir semua orang di Habsyah mula memahami bahawa lukisan tersebut adalah satu cabang seni dan bukannya dihasilkan untuk menggalakkan perbuatan seks," katanya di studionya di Addis Ababa, Habsyah.
Mengikut sejarah purba di negara Habsyah yang merupakan salah sebuah negara di benua Afrika, pada zaman dahulu kala iaitu ketika negara itu di bawah pemerintahan maharaja, golongan paderi, masyarakat feudal dan artis ilustrasi telah menjadikan seni lukisan sebagai profesion utama mereka. Lukisan gaya 'bohemian' menjadi salah satu hiasan utama di bangunan-bangunan utama di negara tersebut. Biasanya, imej kambing betina dan para malaikat paling banyak dilihat.
Kehalusan seni lukisan itu turut dikisahkan di dalam cerita Queen Sheba, yang ketika itu sangat popular dalam kalangan masyarakat Habsyah.
Jalan ceritanya yang mengisahkan perjumpaan Raja Solomon dengan pasukan Battle of Adwa pada tahun 1896 dan askar-askar Habsyah begitu menarik untuk diikuti. Cerita itu juga mengisahkan rancangan mereka untuk menempuh satu perjalanan yang jauh ke Itali.
Sementara itu, sekitar tahun 1950-an, institusi kesenian mula dibuka di Habsyah. Dengan pembukaan itu, seni sekular dan kontemporari mula ditonjolkan di bawah pentadbiran maharaja terakhir Habsyah, Haile Selassie.
Beliau sanggup memodenkan dunia seni tersebut dan mempertahankannya setelah mendapati ia semakin dipinggirkan. Bagaimanapun, usaha tersebut tidak bertahan lama.
Sehinggalah pada tahun 1974, para pengikut Marxist memegang kuasa di Habsyah sekali gus mencetuskan kekejaman terhadap golongan artis. Golongan artis dipaksa menonjolkan idea komunis dan lukisan-lukisan gergasi triniti bagi Lenin, Marx dan Engels.
"Anda boleh dituduh sebagai seorang yang antirevolusi jika anda menghasilkan lukisan mengikut gaya Barat," ujar Profesor Zerihun Yetmgeta yang merupakan salah seorang artis paling terkenal di Habsyah.
Bagaimanapun sehingga hari ini, para pelukis Habsyah yang digelar 'bohemian' berjaya menghasilkan gaya seni lukisan yang luar biasa.
Dalam edisi pertama pameran 'Kesenian Etiopia' yang berlangsung pada tahun lalu, sebanyak 87 orang artis dapat dilahirkan.
"Kami bekerja mengikut inspirasi. Ia boleh mengambil masa selama sehari atau berjam-jam, bergantung pada proses penghasilan sesuatu lukisan," jelas Dawit yang sedang sibuk menyiapkan karya seni lukisannya pada pameran akan datang.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kebudayaan Bahasa Perancis, Alliance Ethio-Francaise, Denis-Charles Courdent berkata, dia amat tertarik dengan seni lukis yang dianggapnya 'tidak masuk akal' dari negara Afrika itu.
Pusat kebudayaan itu menyediakan satu ruang pameran untuk para pelukis Habsyah mempamerkan hasil kerja seni mereka. Ia juga menjadi galeri untuk pelukis bertukar-tukar idea sesama mereka.
Perkembangan seni lukisan baru tersebut kurang mendapat sambutan ramai ekoran pasaran yang terhad dan kekurangan sekolah-sekolah yang menitikberatkan subjek lukisan.
Julat harga dijual dari AS$200 dolar hingga AS$2,800 dolar (RM660 hingga RM9,240) bagi setiap satu hasil kerja.
"Ini adalah masa paling sukar bagi pelukis Etiopia. Bukan mudah untuk mereka bertahan dalam mengekalkan satu pendapatan yang kukuh," ujar seorang penjual lukisan, Courdent.
Bagaimanapun, artis-artis moden berpeluang menikmati kebebasan bersuara pada tahun 1991, sejak kejatuhan rejim pengikut Marx di Etiopia.
"Ia merupakan satu impak yang sangat besar dalam mencipta kreativiti yang luar biasa sebegini. Menghasilkan lukisan cat berbentuk binatang yang turut menyelitkan imej orang sedang memukul dan sabit dengan menggunakan warna merah adalah antara perkara yang paling mencabar minda," ujar seorang pelajar seni moden, Zerihun.
Menurutnya, beliau akan mempertahankan seni lukisan moden itu walaupun berhadapan dengan kekangan ekonomi.
"Ia merupakan satu perjuangan hayat, kecuali satu motif boleh menterjemahkan diri sendiri dan bukannya duit."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: