
KEDUA-DUA wanita ini mempunyai dua persamaan. Satu, nama hujung mereka adalah Diana dan kedua, mereka kini lebih berdikari hidup sebagai ibu tunggal. Sepetang bersama mereka, luahan hati wanita dan resah seorang ibu tentang masa depan dapat dirasai. Masing-masing malah bertukar info tentang masalah peribadi dan anak mereka.
Ada kesedihan di mata masing-masing namun ketabahan seorang ibu mengatasi segalanya. Nana dan Nina berkongsi cerita mereka.
Kajian menunjukkan antara punca perceraian orang muda ialah hilangnya komunikasi. Apa komen kalian?
PUTRI MARDIANA (PM): Walaupun sudah mendirikan rumah tangga sejak sekian lama, pasangan sentiasa memerlukan komunikasi yang berjalan lancar. Bayangkan anda berdua menaiki kereta untuk satu perjalanan yang jauh tetapi masing-masing berdiam diri saja, bosan bukan?
Saya rasa komunikasi sangat penting walaupun hanya dengan menelefon. Saya setuju jika ini dikatakan antara punca keretakan rumah tangga saya. Suami isteri perlu berkomunikasi.
SITI NORDIANA (SN): Ia sangat penting. Bila komunikasi tidak berjalan lancar, kita tidak akan tahu masalah pihak yang satu lagi atau apa yang dia atau kita tidak puas hati. Kita mula tidak berkongsi apa-apa dan ini menyebabkan pasangan berasa kesepian.
Dalam kes anda berdua, adakah komunikasi menjadi masalah utama?
PM: Bukan masalah utama cuma ia turut menjadi punca. Kita tahu lelaki ada ego yang besar dan apabila kedua-dua suami dan isteri keras hati, masalah akan berlaku. Tiada komunikasi adalah antara punca keretakan rumah tangga saya.
SN: Ya, tapi ia merupakan salah satu puncanya. Selama tiga tahun bersama, ada banyak benda lagi sebenarnya yang saya tidak tahu pasal dia (Faizal).
Bila kalian sedar komunikasi itu mula pudar?
PM: Apabila rumah tangga sudah retak menanti belah.
SN: Bila sudah rasa ‘tidak boleh’ dalam apa jua keadaan. Bila kemarahan mula menguasai semuanya, asyik bergaduh sahaja.
Apa agaknya ketakutan sekarang bila kembali sendiri?
PM: Saya sentiasa terfikir apa akan terjadi selepas ini? Saya perlu lebih bersedia dalam apa jua keadaan, mental dan fizikal. Saya tahu kritikan memang banyak datang daripada orang ramai, cuma kita tahu apa sebenarnya yang berlaku.
SN: Begitu juga saya. Saya fikirkan apa akan jadi pada saya dan anak. Tapi sekarang saya cuma fikir go with the flow. Saya sampai malas nak fikir.

Sudah datang dugaan dan godaan, bukan?
PM: Bertimpa-timpa dugaan yang saya dapat. Malah ada satu ketika dalam masa dua minggu, semua berita tentang saya di akhbar adalah perkara yang sama iaitu isu perceraian saya.
Dugaannya ialah apabila semua orang menyalahkan saya tanpa mengetahui cerita sebenar. Saya terima dan saya harap Allah ampunkan dosa mereka.
SN: Dugaan adalah dalam bentuk pandangan orang luar. Sekarang apabila saya duduk dengan suami orang atau teman lelaki seseorang, pasangan mereka mula tidak selesa. Kononnya mereka rasa saya ingin merapati pasangan mereka.
Orang juga mula buat tuduhan yang bukan-bukan. Janda dan ibu tunggal memang ada dugaan dan godaan yang tersendiri. Satu lagi dugaan adalah semua benda perlu dilakukan sendiri.
Apa perkara baru yang kalian pelajari setelah tiada lagi lelaki bergelar suami di sisi?
PM: Saya lebih berdikari dan lebih berani berbanding dahulu. Saya belajar banyak perkara dan timba pelbagai pengalaman. Saya belajar yang kita perlu lebih berhati-hati.
SN: Saya tak sangka yang saya adalah seorang yang berdikari dan boleh buat banyak benda sendiri. Dulu saya berdikari tapi sekarang lebih lagi. Saya mahu memperbaiki kelemahan diri saya dahulu. Sebelum ini saya jenis yang cepat puas hati tapi sekarang saya mahu hanya yang terbaik.
Dan pastinya sekarang lebih menjaga badan?
PM: Jujurnya berat badan saya turun mendadak. Tipulah kalau bukan kerana makan hati tapi faktor lain yang membantu adalah kerana bekerja. Saya sibuk dengan penggambaran.
Selepas bersalin, berat saya 65 kilogram dan kini tinggal 50 kg. Ya, saya memang lebih bergaya. Dulu bukanlah selekeh cuma sekarang saya sudah dapat apa yang saya mahu dengan duit sendiri. Saya suka saya beli dan puas hati.
SN: Sebelum ini badan saya berisi selepas bersalin. Memang selalu doa mahu kurus. Tiba-tiba Tuhan bagi percuma terus kepada saya. Saya tidak perlu membayar untuk kurus, cukup dengan masalah rumah tangga. Selain itu, saya ada ke gimnasium. Perlu jaga badan sebab mahu cari makan dalam industri dan cari rezeki untuk anak.
Bagaimana cara kalian menghilangkan kesedihan apabila berseorangan?
PM: Saya perlukan keluarga dan kawan-kawan. Duduk dengan mereka membuatkan saya kembali tenang. Hidup saya lebih gemerlapan. Tapi saya memang tidak boleh duduk seorang diri. Pelbagai memori akan muncul dalam kepala. Kadangkala saya akan telefon anak-anak dan bawa mereka keluar.
SN: Saya layan anak saya, Rayyan. Apabila anak saya bersama Faizal, saya akan duduk dengan kawan-kawan. Mereka sangat penting dalam hidup saya. Bukan untuk ceritakan masalah tapi untuk menghiburkan hati.

Fobia untuk berkahwin atau berpasangan kembali?
PM: Mestilah tidak. Saya ada hak juga untuk meneruskan hidup. Perlu ada pasangan hidup. Kita diberikan dugaan dan mungkin akan dapat pasangan yang lebih baik. Ada hikmah di sebalik kejadian.
SN: Fobia? Sekarang bukanlah waktu yang tepat untuk saya memikirkan hal tersebut. Namun, benda yang lepas, biarlah lepas. Itu motivasi untuk diri saya sendiri.
Perancangan untuk anak kalian?
PM: Rezeki sekarang saya kumpul untuk anak-anak. Saya bersiap sedia untuk anak saya dan diri sendiri.
SN: Saya sediakan semuanya untuk Rayyan dari segi simpanan dan insurans. Saya tidak mahu dia putus duit atau susah. Dialah nyawa saya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: