Saya tidak minta cerita saya menjadi muka depan akhbar sebab ia pasti memberi kesan tidak baik kepada saya.

TIADA angin, tiada ribut, pohon cerita Farawahida, 24, kini menggugurkan daun kisah bunuh diri pula. Penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu itu dikatakan membuat cubaan bunuh diri Ramadan lalu dan khabar angin itu merebak pantas menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Padahal Farawahida sedang enak melayan mood rayanya tahun ini di Taiping, Perak.
Beberapa bulan lalu, kontroversi perang mulut membabitkan Farawahida dan bekas pengurusnya, Julfekar Ahmad Shah menggemparkan dunia hiburan tanah air.
Farawahida turut membuat laporan polis selepas Julfekar didakwakan enggan melepaskannya daripada Millenium Art Sdn. Bhd., syarikat rakaman milik komposer berkenaan. Penyanyi itu juga mendakwa Julfekar telah mengugutnya untuk menyebarkan gambar bogelnya di Internet.
Namun, peristiwa itu mula dilupakan sedikit demi sedikit. Kini, Farawahida mengaku rapat dengan jejaka pertengahan 20-an bernama A, dan dia mendapat sokongan penuh lelaki tersebut.
Daripada siapa anda dapat tahu cerita anda ingin bunuh diri itu?
Saya dapat panggilan daripada seorang rakan. Mulanya saya anggap ia gosip tapi apabila pihak media termasuk para editor menelefon saya untuk mendapatkan kepastian, saya tahu ini kes berat. Dalam terkejut, saya geli hati juga.
Di manakah anda sewaktu berita itu tersebar?
Saya ada di dalam bilik di rumah saya di Taiping, Perak. Saya dan ahli keluarga sedang bersiap-siap untuk pergi beraya. Bila saya dapat SMS itu, saya terus beritahu ibu.
Bagaimana keluarga anda menerima semua gosip dan kontroversi anda terutama hal bunuh diri itu?
Saya bersyukur kerana keluarga saya sentiasa menyokong. Mereka minta saya anggap semua cerita itu seperti sampah. Saya dididik sempurna oleh ibu dan ayah malah di sekolah juga saya belajar hal agama. Tambahan pula bunuh diri sangat ditegah oleh Islam.
Apa perkara paling gila yang pernah anda lakukan akibat tertekan dengan semua cerita ini?
Saya bernasib baik kerana ada adik-adik yang selalu buat saya ketawa. Saya sibukkan diri dan banyak bergaul dengan orang ramai. Selain itu, saya melayari Internet tapi bukan untuk membaca kisah saya.
Pada pandangan anda, gosip itu ada unsur sabotaj atau sakit hati?
Saya tidak tahu motifnya. Nak kata saya popular sangat, tidak. Kalau orang yang sebarkan cerita itu seorang Muslim dan dia tahu ini bulan mulia, dia tidak tergamak untuk melakukannya. Perkara ini sebenarnya menjatuhkan maruah saya.
2009 adalah tahun yang mencabar. Ia bermula dengan kejayaan pada Anugerah Juara Lagu tetapi kemudian dilanda kontroversi demi kontroversi. Saya terkilan orang anggap cerita bunuh diri ini rekaan saya.
Okey, tentang reka cerita, ada juga orang kata anda sengaja lakukannya untuk menaikkan nama anda?
Jauh sekali. Saya harap Tuhan ampunkan orang yang membuat cerita tersebut. Saya tidak minta cerita saya menjadi muka depan akhbar sebab ia pasti memberi kesan tidak baik kepada saya dan keluarga. Cerita seperti ini bukan menaikkan populariti sebaliknya menjatuhkan. Buat apa nak tagih simpati.
Mungkinkah perkahwinan adalah penyelesaian buat anda?
Ia bukan jalan penyelesaian. Saya tidak mahu mengelirukan orang ramai. Saya ada niat untuk kahwin tapi bukan sekarang. Saya mahu balas jasa ibu dan ayah terlebih dahulu.
Apa pula kata si dia?
Siapa? (Ketawa) Saya sudah kenal A agak lama dan sejak pelbagai kontroversi terjadi, kami semakin rapat. Dialah orang yang paling banyak memberi sokongan selain famili saya. Walaupun macam-macam terjadi, dia tetap ada di sisi dan memberi sokongan.
Dia bukan orang dalam industri seni tetapi sudah tahu asam garamnya. Kalau dia betul-betul suka, dia harus terima apa yang terjadi pada diri dan kerjaya saya.
Apa muhasabah diri sendiri setelah banyak perkara hitam berlaku dalam kehidupan anda?
Saya adalah jenis manusia yang anggap perkara yang datang seperti sampah walaupun ia memberi tekanan. Orang yang jumpa saya masih sibuk tanya. Saya sebagai orang Islam sentiasa berdoa agar diberi ketenangan dan kesabaran.
Nasihat untuk orang yang ada niat membunuh diri?
Bunuh diri bukan jalan penyelesaian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: