Sunday, October 4, 2009

Natasha rasa dibuli




PERNAH merasai jatuh bangun dalam karier seni mahupun kehidupan peribadi tidak menjadikan dirinya seorang yang pesimis. Sebaliknya, Natasha Hudson, 27, terus berjuang demi mencapai kebahagiaan dan impian terbesarnya.

Ada kontradiksi yang dapat disimpulkan dalam diri seorang Datin Natasha Hudson yang senang disapa Tasha ini. Dia seorang pemikir yang dalam, katanya.

Mindanya sentiasa menjalar menerokai sesuatu dan spontan dia menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran ke dalam telefon bimbitnya. Dalam masa yang sama, dia juga tidak ambil pusing tentang kritikan khalayak terutama berkaitan karyanya yang pernah diterbitkan.

"Saya tidak kisah," ujarnya saat ditanya adakah dia tidak fobia untuk menulis lagi setelah hasil kerja lamanya mendapat kritikan sesetengah pihak.

Antusiasnya mahu menerbitkan lagi buku-buku yang mengandungi kata-kata motivasi dan perangsang buat orang ramai. Cuma kali ini dia merancang ingin menulis buku bersaiz poket yang comel dan senang dibawa ke mana-mana.

Sebelum ini Natasha pernah muncul dengan buku Puisi Si Pari-Pari dan My Heart My Soul My Passion.

Tidak terusik dengan kritikan malah kata-kata kutukan, dia menunjukkan hasil karyanya yang spontan ditaip di dalam telefon bimbitnya.

Dia menyimpulkan bahawa dirinya adalah seorang yang sentiasa inginkan setiap inci ruang hidupnya terbias hasil seni.




Ini industri buli

Dia seorang yang sangat terinpirasi dengan kata-kata daripada penulis seperti Pablo Naruda, Paulo Caelho, Ayu Utami, Happy Salma malah Syeikh Nazem.

"Apabila sudah dalam darah, kita tidak boleh terpisah dengan seni itu. Malah jika ditanya sampai bila saya akan terlibat dalam bidang seni, juga tiada jawapan kerana karya tidak akan pernah padam," ujarnya yang menunjukkan sisi serius dalam bekerja dan berkarya.

Saat masuk ke dalam industri seni, dia tahu bakat yang diasah melalui sekolah persembahan seni di Chicago, Amerika Syarikat akan dapat ditebarkan ke dalam setiap karyanya.

Namun, satu hal yang dapat disentuh apabila sudah mengenal asam garam dunia itu adalah industri ini tidak terlepas daripada 'pembulian'. Politik seni itu menjalar dan bukan itu sahaja, pembulian itu terus ada dan perlu disedari.

"Maksud pembulian itu ialah ada kalangan pihak produksi yang tidak serius dalam prosedur memberi watak dan perjalanan lakonan. Mereka cuma hulurkan skrip dan bagi watak tanpa bertanya apa-apa kepada pelakon.

"Bagi saya cara yang betul adalah dengan bertanyakan sama ada pelakon itu bersedia atau tidak untuk memainkan watak tersebut. Mereka juga perlu memberikan input yang sesuai.

"Saya pernah menghadiri satu uji bakat yang saya puas hati. Mereka tidak kira anda siapa. Walaupun pelakon terkenal, anda masih perlu menjalani uji bakat. Saya betul-betul puas hati.

"Itu baru cara yang betul," ujar Natasha yang turut menganggap industri lakonan tanah air kekurangan bengkel bagi sesuatu projek yang mahu dilaksanakan.

Kesimpulannya, pelakon filem Chermin ini bersikap agak selektif dalam kerjaya dan ia dilakukan dengan cara yang betul.


NATASHA mempunyai cara tersendiri bagi menghilangkan tekanan yang dihadapi dalam kehidupan seharian.


Sibuk ibu selebriti

Ujar ibu kepada Nessa Helena Shahrin ini, untuk menjayakan teater Muzikal Gamat sahaja dia terpaksa menolak tujuh tawaran kerja yang diberikan kepadanya. Dia mahu sentiasa fokus dan enggan ambil mudah semasa melakukan sesuatu.

Isteri kepada Datuk Shahrin ini memegang kata-kata, 'Buat yang terbaik, orang akan ingat. Malah jika kita buat sebaliknya juga orang akan sentiasa ingat'.

Maka iltizamnya, segala pekerjaannya mahu dilakukan sebaik mungkin agar sentiasa dikenang elok oleh khalayak.

Selain ke sana ke sini dengan kesibukan Muzikal Gamat, Natasha bergerak perlahan-lahan dengan projek perniagaan online.

Masih dalam perancangan, Tasha membayangkan projek ini melibatkan barangan bayi dan kanak-kanak. Naluri keibuannya ternyata disalurkan ke dalam projek ini.

"Saya juga ada melukis beberapa buah lukisan dan berhasrat menjualnya kelak," ungkap wanita yang penuh cabang seni ini.

Natasha sebenarnya mula mengalunkan tangan melukis sejak kecil lagi namun dia lebih bersemangat semasa berbadan dua. Melukis baginya adalah satu cara untuk melepaskan lelah dan meringankan bebanan otak.

"Melalui lukisan saya melepaskan semuanya," sambungnya lagi.


SEORANG yang selektif, Natasha mengakui sudah menolak tujuh tawaran lakonan.


Menyebut hal bayi, Natasha tersenyum mengingatkan keletah anaknya yang kini berusia satu tahun empat bulan. Nessa, katanya, banyak mengikut peribadi ibunya. Malah ucapnya, Nessa umpama salinan karbon dirinya.

"Dia anak yang bijak dan sentiasa gembira," senyumnya seraya berkata, dia tidak kisah jika anaknya mahu menjadi insan seni.

Mencari satu lagi sisi kelainan dalam lakonan, ketawanya dia menerima watak Buntal kerana faktor itu.

"Tak kan nak selalu kelihatan cantik saja kan?" ujarnya yang membawa watak seekor ikan buntal yang bertugas ala-ala polis laut dalam Gamat yang diarahkan oleh Zaifri Husin.

Selepas muncul dalam teater debutnya, Muzikal Ibu Zain 2, kali ini watak Buntal memberi cabaran buatnya dari aspek menjiwai watak itu sendiri.

Comelnya seekor ikan buntal dalam kehodohannya dan tanggungjawab membawakan watak ikan itu berakar umbi dalam pemikirannya.

"Menyanyi bukanlah satu masalah buat saya," ujarnya yang turut mengalunkan lima buah lagu secara beramai-ramai dalam teater yang dinaungi oleh Ketua Puteri UMNO yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin itu.

"Teater mendatangkan kesegaran dan mengembalikan semua pelajaran dalam lakonan. Bagi saya, teater buat saya relaks dan saya teruja dalam mencabar diri saya melakukan pergerakan yang besar dalam teater," senyum Natasha yang akan ditata rias serba kuning menggunakan Shu Uemura untuk teater ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: