Saturday, October 10, 2009

Aruan tasik Dungun baham pisang


DUNGUN: Perairan ini yang bakal menjadi gelanggang penutup tirai Grand Slam GP Joran 2009, Oktober nanti diakui kaki pancing banyak didiami pelbagai spesies ikan terutama di Pulau Tenggol serta kawasan sekitarnya. Jadi, tidak hairanlah sebaik saja perairan berkenaan diputuskan sebagai lokasi pertandingan, maka berlumba-lumba pemancing ingin mengujinya.

DUNGUN: Perairan ini yang bakal menjadi gelanggang penutup tirai Grand Slam GP Joran 2009, Oktober nanti diakui kaki pancing banyak didiami pelbagai spesies ikan terutama di Pulau Tenggol serta kawasan sekitarnya. Jadi, tidak hairanlah sebaik saja perairan berkenaan diputuskan sebagai lokasi pertandingan, maka berlumba-lumba pemancing ingin mengujinya.

Bagi memastikan impian untuk mendapatkan tangkapan lumayan, Kelab Conoco Petaling Jaya ke perairan berkenaan bagi menguji peralatan dan aksesori memancing serta kemahiran bagi mengendalikan ikan bersaiz bagak. Antara yang menyertai trip empat hari tiga malam itu ialah Rozi, Aziz, Zulkifli, Sarjan Omar, Wan Fauzi, Razi Yap serta Abu Bakar. Pada trip kali ini hampir satu tan pelbagai spesies ikan didaratkan oleh geng Kelab Konoco, antaranya pisang, ebek, aruan tasik, barakuda, delah, telinga gajah, susur arus, jemuduk, cupak, merah suman, kakap merah, kerapu minyak, kerapu bara, tenggiri dan pari daun.

Kami seperti kerasukan dan haru biru dibuatnya atas bot, apabila seorang demi seorang pemancing menaikkan tangkapan dalam tempoh lapan jam memancing. Bermula jam 7 malam, pemancing diasak pelbagai penjuru apabila segerombolan ebek dan cuba seberat dua hingga enam kilogram meragut umpan sotong segar yang dihulurkan. Sebaik saja umpan dijatuhkan ke dalam air, ada saja ragutan keras diterima pemancing dan penulis saja menaikkan 12 ekor ebek dan cupak.


Di lubuk pertama, Rozi, Aziz dan Zul serentak mengena ikan ebek seberat tiga hingga lima kilogram, diikuti Razi Yap dengan ebek terberat sembilan kilogram. Sampai masing-masing menitis peluh jantan melayan aksi ganas ikan berkenaan. Kira-kira jam 3 pagi, barulah keadaan reda dan rata-rata pemancing keletihan berehat sampai pagi.

Pada hari kedua dalam keghairahan ebek memakan umpan, ada juga pemancing menaikkan merah suman dan pisang serta barakuda. Malang nasib si ikan pisang apabila dihiris untuk dijadikan umpan. Penulis sendiri memasang hirisan ikan pisang seberat dua kilogram sebagai umpan dan hasilnya seekor aruan tasik seberat 16 kilogram dapat ditewaskan.

Menggunakan kaedah yang sama, Wan Fauzi menaikkan aruan tasik seberat 20 kilogram kira-kira 10 minit kemudian dan diisytiharkan sebagai tangkapan terberat dalam trip kali ini. Memang tidak dinafikan perairan Dungun memang banyak ikan bersaiz bagak dan penulis berharap kerajaan dapat menguatkuasakan undang-undang dengan tidak membenar operasi pukat tunda bagi mengelakkan kepupusan [pelbagai spesies ikan gred A.

Hari ketiga, menunjukkan sepi bagaimanapun keadaan menjadi huru hara apabila sekumpulan ikan pisang mengerumuni bot dan peluang itu diambil pemancing membaling umpan bagi menangkapnya. Dalam tempoh itu penulis menaikkan hampir 20 ekor seberat antara dua hingga lima kilogram dan ini sudah pasti membuatkan seseorang sangat keletihan.

Hari terakhir, bekalan ais makin kehabisan dan pemancing mengambil keputusan untuk pulang ke jeti Kuala Dungun. Dalam perjalanan pulang itu, Wan Fauzi dan Sarjan Omar melakukan tundaan, hasilnya ikan tenggiri pula menjadi mangsa. Melihat keadaan itu penulis, Razi Yap, Rozi dan Zulkifli tidak mahu ketinggalan mencuba nasib.

Masing-masing berpuas hati apabila menaikkan tenggiri antara empat hingga lima ekor seorang. Tangkapan berkenaan sudah cukup berbaloi dan Kumpulan Conoco bertekad untuk datang semula ke perairan Dungun apabila berlangsungnya pusingan akhir GP Joran 2009 pada Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: