![]() LINDA di depan banglo mewahnya yang mencecah jutaan ringgit. |
Terletak di Setiahills, kediaman milik penyampai radio Sinar FM ini sepatutnya menjadi tempat dia berkongsi kasih dengan jejaka yang pernah bertakhta di hati
SEPATUTNYA kalau mengikut perancangan asal, rumah yang baru dimiliki dan diduduki penyampai radio Sinar FM, Linda Onn dikongsi dengan jejaka yang cukup istimewa di hatinya. Tetapi semua itu sudah menjadi lipatan sejarah yang kalau boleh enggan lagi dikenang si tinggi lampai bernama Rozlindah Onn ini. Lumrah dalam hidup, tidak semua yang diingini berjalan mengikut kehendak hati.
Menyusuri banglo dua tingkat yang sebolehnya tidak mahu didedahkan berapa harganya, Linda yang bakal mencecah usia 32 tahun November depan sedar cerita mengenai nilai rumah itu sudah mula menjadi bualan ramai. Tak mengapa, yang penting itu haknya yang bijak menjana wang dan sekali gus menepis dirinya ditaja.
Bertemunya Sabtu lalu ketika mengadakan majlis rumah terbuka di kediamannya di Setiahills, ia juga alang-alang seperti mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat sebagai tanda masuk rumah baru. Kombinasi latar merah dan hitam yang menjadi warna kegemarannya juga menjadi simbolik betapa teruja dirinya untuk berkongsi sama kegembiraan itu.
"Linda baru masuk rumah ini dua hari lalu. Kunci rumah, Linda dapat sejak beberapa bulan lalu. Sebenarnya rumah ini belum lengkap sepenuhnya lagi, Linda masih mencari ke hulu ke hilir barang perabot dan dekorasi yang sesuai untuk disusun letak. Linda memilih perabot pun dengan cara praktikal dengan membanci harga yang paling munasabah terlebih dulu.
![]() |
| LINDA bersama keluarga tersayang. |
"Linda kena pandai berjimat. Tak semestinya kena beli barang yang mahal. Contohnya, ada lampu rumah yang Linda boleh dapat dengan harga murah sekitar RM1,500 sedangkan ada harga lampu yang seakan sama mencecah RM9,000. Kalau pandai suai padan, setiap ruang boleh jadi cantik. Cuma duit minyak kereta yang mengalir sebab Linda kena bergerak dari satu kedai ke satu kedai.
"Untuk rumah terbuka tahun ini Linda memilih untuk buat di rumah baru. Lagipun, Linda suka orang datang ke rumah kerana ia sebagai tanda rezeki. Lalu, Linda pilih di penghujung Syawal ini untuk meraikan lebarandi samping berkongsi rezeki dan kegembiraan bersama keluarga, sanak saudara, kawan dan rakan media. Turut hadir lima pendengar bertuah yang terpilih daripada kuiz yang diadakan di Sinar FM," katanya yang akan muncul mengacarakan dua program di saluran Ritma Muzik Aktif (180 di Astro), Gemersik 60-an dan Rentak 70-an.
Menurut Linda, dia masih belum membuat keputusan sama ada akan tinggal terus di rumah yang mempunyai enam bilik itu. Semuanya masih lagi belum dapat dipertimbangkan. Malah ketika kunci rumah ini dimilikinya, ada tiga cadangan yang berlegar di fikirannya iaitu sama ada untuk tinggal terus di rumah itu, menyewakannya atau menjual kembali kepada sesiapa yang berminat.
Mungkin kalau ketika ini, Linda sudah memiliki calon suami, pemilik cawangan My Mom's Chicken Rice dan My Asam Pedas Shop ini tidak teragak-agak untuk tinggal saja di rumah itu. Sambil tersenyum, Linda sempat berkata kenapa tidak jika dapat pasangan yang sesuai. Sebagai bakal isteri nescaya dia harus mengikut cakap dan kehendak bakal suaminya.
![]() |
| RUANG luas untuk tetamu yang datang bertandang. |
"Buat sementara waktu, mak dan ayah akan temankan Linda kalau kami memilih untuk duduk di rumah baru. Mungkin kami akan tinggal dalam tempoh sekejap. Malah rumah lama Linda di Beverly Heights masih dirindui untuk terus tinggal di situ. Tengoklah macam mana, Linda belum putuskan lagi. Bagaimanapun Linda puas akhirnya dapat mengumpul aset lagi buat kesenangan hari tua.
"Linda yakin setiap kita pasti ada rumah idaman masing-masing. Begitu juga dengan Linda yang sudah mengimpikannya sejak kecil. Sejujurnya, Linda tak berniat pun nak membeli rumah ini. Ia berlaku tak semena-mena dan tidak sengaja. Memandangkan kemampuan dan dorongan mak dan ayah serta saranan kawan, Linda pun membelinya.
"Sejujurnya, Linda puas kerana 100 peratus apa yang Linda nak untuk rumah ini dapat dipenuhi tanpa ada langsung bantahan orang lain termasuklah dalam soal reka bentuk dan warna, semuanya atas pilihan sendiri. Untuk rumah ini, Linda memberanikan diri untuk bermain dengan sisi warna dan rekaan. Konsep rumah ini lebih moden dan setiap ruang berbeza," katanya yang pernah menjalinkan hubungan dengan jejaka mat salih bernama James Gibbs.
Paling menarik ada sebuah bilik yang dikhaskan dengan dua katil dan kabinet kanak-kanak yang sangat comel dan menyentuh hati. Kalau diimbas, Linda sebenarnya pernah menulis di dalam blognya bahawa rumah inilah yang akan menjadi ruang keluarga 'barunya' bersatu dan menyemai cinta. Namun, apakan daya, Linda masih belum bertemu cinta sejatinya.
Kalau nak kira soal bersedia, memang sudah lama dia bersedia. Malah Linda pun sudah menghadiri kursus kahwin tahun ini. Yang menjadi persoalannya, siapakah calonnya? Timbul juga andaian kononnya kekayaan yang dimiliki gadis kelahiran Johor Bahru ini yang menjadi punca lelaki takut untuk mendekatinya.
"Terpulanglah kepada persepsi orang di luar sana. Sejak dulu hinggalah sekarang, Linda tak kisah berkawan dengan sesiapapun. Apa yang Linda dambakan kepada insan bernama lelaki ialah hati budinya. Apa yang boleh dikatakan, Linda masih solo dan 'avalaible'. Linda selesa begini tanpa tekanan tertentu," katanya mengakhiri bicara.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: