Friday, October 23, 2009

Teater Natrah rezeki untuk Maya


MENERUSI teater Natrah, Maya akan memegang watak sebagai Natrah ketika berusia 13 dan 20 tahun.


KETIKA Istana Budaya (IB) bercadang mementaskan teater Natrah di dalam bahasa Inggeris, kira-kira lima tahun lalu, pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman ini pernah menyimpan impian untuk memegang watak utamanya sebagai Natrah.

Bersandarkan kepada pengalaman terlibat dalam tiga pementasan teater berbahasa Inggeris sekitar 1995 dan 1999, jiwanya cukup bersemangat menghadiri sesi uji bakat mencari barisan pelakon teater berkenaan.

Sementelah, diri pelakon berwajah ayu ini juga sudah bersedia dengan segala-galanya termasuk mendapatkan bahan bacaan yang mengandungi penceritaan tentang wanita bernama Natrah atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh.

Namun, apa yang dihajatinya tidak kesampaian apabila teater berkenaan tidak jadi dipentaskan atas sebab-sebab tertentu.

Tidak terhenti di situ sahaja, kali ini, sebaik IB sekali lagi mengumumkan untuk mementaskan teater Natrah dalam bahasa Melayu, dirinya kembali teruja dan berharap agar disenarai sebagai antara barisan pelakonnya.

Malangnya, watak yang dinanti-nantikan iaitu sebagai Natrah telah jatuh ke tangan pelakon muda, Diana Danielle.

Mengakui rasa sedikit sedih, pelakon bernama Maya Karin enggan berterusan kecewa kerana memahami semuanya adalah kehendak sang pengarah, Erma Fatima.

Bagaimanapun, hari berganti hari, tanpa disangka, Erma menghubunginya untuk menawarkan watak Natrah apabila Diana bertindak menarik diri daripada pementasan teater Natrah atas faktor bayaran.

''Beberapa hari lalu, Erma menghantar mesej melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya dan menawarkan watak Natrah. Waktu itu jam menunjukkan pukul 4.30 pagi.

''Mula-mula rasa seperti tidak percaya dan saya terus hubungi Erma.

''Setelah memikirkan segala aspek, saya menerima tawaran itu,'' katanya ketika ditemui di majlis pengumuman barisan pelakon teater Natrah di IB, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani serta Erma Fatima.

Dalam pementasan teater Natrah, Maya akan memegang watak Natrah ketika berusia 13 dan 20 tahun.

Lain-lain pelakon, Remy Ishak sebagai Mansor Adabi, Umie Aida (Che Aminah), Sofia Jane (Natrah ketika berusia 70 tahun) serta Norman Hakim.

Teater Natrah terbitan IB akan dipentaskan di Panggung Sari pada 30 November hingga 9 Disember ini.

Tarikh 30 November juga merupakan tarikh baru bagi pementasan Natrah yang sebelum ini dijadual dipentaskan bermula 17 hingga 25 November.

Menyambung bicara, jelas Maya, dia tidak ambil kisah soal bayaran dan memahami perihal dunia teater yang bukannya menjanjikan kemewahan.

''Bukan hanya teater di IB sahaja, pentas teater-teater lain pun sama.

''Apa yang penting, lakonan teater menjanjikan kepuasan yang tidak dapat dinikmati dalam lakonan filem,'' jelasnya yang menerima Natrah kerana skripnya mudah untuk difahami.

Penjelasan Erma Fatima

Sementara itu, Erma yang diajak berbicara soal penggantian tempat Diana berkata, pihaknya terpaksa menghormati keputusan Diana yang menarik diri kerana faktor bayaran.

''Dia (Diana) mengatakan yang dirinya mempunyai banyak tanggungan. Oleh itu, saya perlu hormat keputusannya.

''Saya tidak rugi apa-apa dengan keputusannya itu malah persiapan kami pun tidak terganggu.

"Saya rasa lega juga kerana dapat pengganti seperti Maya Karin. Natrah tidak akan gagal walaupun tanpa dia (Diana).

''Kehadiran Sofia Jane, kawan baik saya ini pun membuatkan saya rasa lega,'' katanya.

Ujar Erma, sebelum ini, pihaknya ada memberikan sedikit gambaran kepada Diana mengenai lakonan teater yang bukannya tempat untuk mencari duit.

''Saya juga jelaskan kepadanya yang teater adalah untuk kita gilap dan cari ilmu lakonan,'' jelasnya sambil menambah sesi latihan teater Natrah akan bermula dalam masa terdekat ini.

Ditanya mengenai apakah dia akan menawarkan Diana lakonan teater pada masa mendatang, Erma berkata : ''Dia (Diana) kena faham dahulu apa itu teater. Soal bayaran adalah sangat sensitif bagi diri saya".'

Bakal dipentaskan di Singapura?

Dalam pada itu, Mohamed Juhari yang baru sahaja pulang menyaksikan pementasan teater muzikal Impak Maksima di Esplanade, Singapura memberitahu bahawa pihak Esplanade ada menyatakan minat untuk membawa Natrah ke negara itu.

Katanya, sekiranya menjadi kenyataan, ia mungkin dibawa ke Singapura pada tahun hadapan.

''Jika jadi kenyataan, ini bermakna, ia akan menjadi produksi pertama Istana Budaya yang berjaya menembusi teater luar,'' ujarnya.

Ketika diajukan persoalan mengenai pemilihan Maya sebagai pengganti Diana, Mohamed Juhari berkata, Maya bukanlah pilihan kedua.

''Tidak timbul soal pilihan kedua. Mungkin tidak ada jodoh IB bersama Diana. Beliau masih baru.

"Produksi ini bukanlah produksi swasta yang menjanjikan bayaran tinggi.

''Kita ada kriteria bayaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: