![]() Diana Danielle |
Maya Karin ganti tempat Diana Danielle dalam pementasan teater Natrah yang bakal masuk panggung mulai 30 November
NAMPAKNYA hasrat untuk melihat pelakon berdarah kacukan, Diana Danielle ke pentas teater pada tahun ini hanya akan tinggal kenangan saja. Malahan, ia secara jelas turut mengecewakan perasaan berkobar-kobar si empunya badan yang bakal menginjak usia 18 tahun bulan depan.
Kemelut yang melanda pementasan teater Natrah nampaknya mula menjadi perhatian hingga tarikh pementasannya di premis tersohor Istana Budaya pada November terus dianjak ke tarikh lain. Paling mengejutkan apabila pelakon utama bagi watak Natrah itu sendiri menarik diri, lalu ia pasti menimbulkan masalah besar.
Hip berkesempatan menghubungi anak kesayangan Norsiah Ramli itu dan seboleh-bolehnya pelakon filem Magika itu tidak mahu terus mengeruhkan keadaan. Mengerti perasaan dan situasi yang dialaminya, Hip bagaimanapun sempat mendapatkan sedikit kenyataannya berhubung masalah yang melanda itu.
Ironinya, khabar yang singgah ke Hip mengenai penarikan diri ialah berkaitan soal bayaran yang dituntut pihak pelakon itu sendiri. Bagaimanapun, difahamkan permintaannya tidak dapat dipertimbangkan pihak Istana Budaya kerana disifatkan sebagai keterlaluan.
![]() |
| Erma Fatima |
Ikuti penjelasan Diana Danielle:
"Pertamanya saya nak memohon maaf di atas apa yang terjadi ini. Saya sendiri tidak menyangka akan jadi begini. Saya tahu, akan ada pihak yang berkecil hati, tapi apakan daya tak semua yang dirancang akan menjadi seperti yang dikehendaki.
“Harap semuanya akan okey dan tidak perlulah diperbesarkan lagi perkara ini. Mungkin perkara ini tidak akan terjadi kalau poster Natrah yang turut tertera gambar saya tidak dinaikkan terlebih dulu. Tapi benda sudah jadi, saya tak dapat mengelaknya.
“Isu di sini bukannya soal bayaran, sebaliknya soal masa yang saya laburkan untuk memberi tumpuan kepada teater ini, saya mohon sedikit pengertian dan rasa timbang rasa daripada pihak sana bagi mempertimbangkan soal pembayaran. Bukan saya nak ‘demand’ dan ada sebab mengapa saya menarik diri,” katanya sambil menekankan keputusan yang dibuat itu bukan atas desakan ibunya.
![]() |
| MOHD JUHARI dan Erma bersama pelakon Natrah selepas sidang media di Istana Budaya, baru-baru ini. |
Sementara itu, kelmarin diadakan sidang media mengumumkan siapa yang menggantikan Diana Danielle memegang watak Natrah termasuk tarikh baru pementasan teater itu di Istana Budaya. Pementasan teater arahan Erma Fatima itu dianjak ke 30 November depan hingga 9 Disember.
Poster lama teater Natrah juga sudah diganti baru dengan menampilkan wajah Maya Karin yang menjadi pilihan terbaru untuk menggalas watak penting itu. Malah wajah Sofia Jane yang turut memegang peranan Natrah di usia 70 tahun turut ditampilkan di atas poster terbabit.
Menjawab persoalan penarikan diri Diana Danielle, Erma Fatima memberitahu pelakon itu menarik diri sejak minggu lalu. Akuinya, terbit juga rasa terkilan di hatinya bagaimanapun, beliau mengerti dan menghormati tindakan Diana Danielle.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohd Juhari Shaarani berkata, 2009 yang bakal dilabuhkan tirai dengan pementasan teater ini pastinya memberi signifikan tersendiri kepada Istana Budaya apatah lagi menampilkan tiga pelakon wanita yang berada di liga tersendiri di samping pernah meraih anugerah berprestij.
“Istana Budaya sendiri tidak percaya Maya Karin, Umie Aida dan Sofia Jane akan berlakon. Bayangkan sejak 10 tahun lalu, kami sebenarnya mengharapkan Sofia Jane akan berlakon teater. Begitu juga dengan Maya, yang pernah menolak sebuah watak menerusi teater Di Mana Setangginya.
“Tak lupa Umie yang diharap dapat berlakon sama dalam teater Siti Zubaidah. Namun semuanya hanya berlaku pada tahun ini. Dengan paksaan Erma sendiri, akhirnya Umie berlakon juga memegang watak Che Aminah. Populariti Remy Ishak yang semakin popular juga membuatkan dia menjadi kegilaan ramai. Semuanya hebat belaka,” katanya.
Juhari berkata, tidak wujud istilah pilihan kedua kepada Maya Karin, hakikatnya cuma belum ada jodoh yang kuat untuk menyatukan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 itu dengan Istana Budaya. Malah, Juhari turut memberitahu, pembayaran yang dibuat kepada setiap pelakon turut berbeza mengikut tahap pencapaian masing-masing.
“Saya boleh katakan baik Umie, Maya mahupun Sofia mereka boleh dikategorikan sebagai pelakon bertaraf lima bintang. Lalu bayaran yang akan diterima mereka adalah mengikut gred dan skala tertentu yang termaktub dalam Kementerian Kewangan. Bayaran yang akan diberikan kepada mereka sama sekali berbeza dengan pelakon baru.
“Dengan pengalaman yang dimiliki, mereka tak perlu membuat latihan dalam tempoh yang lama. Berlatih satu bulan pun sudah memadai dan sesuai dengan bayaran ‘ciput’ yang diberikan kepada mereka. Yang penting mereka harus memberi perhatian dan komitmen penuh pada latihan dua minggu terakhir dan hari persembahan,” katanya sambil memberitahu kemungkinan untuk teater ini dipentaskan di Singapura juga amat cerah.
Natrah tidak cacat tanpa Danielle
"SAYA tidak rugi apa-apa dengan 'kehilangannya'. Alhamdulillah ia tidak mengganggu fikiran saya, lagi pun sesi latihan belum bermula lagi dan hanya akan bermula sejurus selepas selesai sidang media ini. Saya harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Tuhan menggantikannya dengan pelakon terbaik untuk saya.
“Teater ini tidak akan terbantut dengan penarikan dirinya. Persembahan masih perlu diteruskan. Saya hormat pendirian dan hak dia untuk tidak menerima tawaran ini. Ini projek kerajaan, lalu, kita harus akur dengan harga yang ditetapkan.
“Ada sebab kenapa dia berbuat demikian (meminta dinaikkan bayaran) kerana secara jelas dia perlu mencari rezeki lebih untuk menampung perbelanjaan seharian dan pengajiannya. Situasi ini normal untuk kita yang sentiasa mencari duit. Dia menarik diri sebab soal bayaran tidak memenuhi kehendaknya,” kata Erma di awal bicara.
Menurut Erma, pada peringkat awal, beliau sendiri yang mencadangkan nama Diana Danielle kepada Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohd Juhari Shaarani. Dia sering mengingatkan kepada pelakon itu, teater bukan medium untuk duit, sebaliknya lebih kepada mengasah bakat lakonan dan mencari ilmu.
“Saya harus akui salah saya kerana begitu teruja meletakkan gambarnya di atas poster kerana ketika itu saya yakin soal bayaran bukan isu yang utama. Malah, saya pernah katakan kepadanya, jangan terlalu menjangkau lebih mengharapkan bayaran yang tinggi kalau nak terbabit di dalam teater.
“Saya pun tidak pernah terfikir ada pelakon di negara kita yang boleh buat duit banyak dengan hanya berlakon teater. Biarlah dia dengan keputusannya kerana dia masih terlalu muda dalam bidang ini. Tak guna saya memujuknya, kerana dia sudah mempunyai alasan kuat untuk tidak terbabit lagi dalam Natrah.
“Saya hanya boleh katakan secara menyeluruh, seorang pelakon yang baik akan memahami nilai dan maksud sebenar pementasan teater itu sendiri. Saya rasa memang ramai yang kepingin untuk berlakon teater, cuma peluang dan masa belum tiba. Sesiapa yang tolak watak ini saya anggapkan satu kerugian buat mereka,” katanya.
Mengenai pemilihan Maya Karin, Erma menjelaskan dia cukup berbangga kerana pelakon yang bakal muncul dengan filem Pisau Cukur itu memenuhi kriteria yang diperlukan bagi peranan Natrah. Selepas Diana nekad membuat keputusan menarik diri, wajah Maya mula bermain di benak fikirannya untuk menjadi galang ganti.
“Seawal jam 5 pagi saya menghantar SMS kepadanya dan hari berikutnya, dia menghubungi saya dan menyatakan persetujuan untuk menerima pelawaan. Saya rasa dia antara pelakon filem berdarah kacukan yang terbaik di negara kita. Ini juga masanya untuk saya menguji kehebatannya di pentas teater pula.
“Maya akan memegang peranan Natrah pada usia 13 dan 20 tahun. Natrah sebenarnya akan digambarkan dalam lima fasa usia bermula 9 tahun hingga ke 70 tahun. Ketika ini, pelakon yang akan memegang watak ibu sebenar Natrah masih belum dikenal pasti.
“Saya tidak rasa Maya mahupun Sofia menerima tawaran berlakon ini kerana saya, sebaliknya kerana naskhah Natrah sendiri. Remy Ishak yang saya gelar sebagai Lelaki Melayu Terakhir juga sesuai memegang peranan Cikgu Mansor Adabi kerana figuranya sudah cukup jelas menggambarkan lelaki yang tebal dengan jiwa Melayu,” katanya sambil memberitahu nama Sofia Jane sudah terpilih sebelum Diana menarik diri lagi.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: