Wednesday, October 21, 2009

LAPKD angkat legenda Johor


WAJAH tampan Farid Kamil dilihat sebagai daya tarikan penonton untuk menonton filem epik ini.


BARANGKALI ramai yang hampir terlupa tentang pembikinan filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang (LAPKD) yang sudah mula dibikin sejak empat tahun lalu.

Masakan tidak, sepanjang tempoh pembikinannya, agak jarang sekali filem ini mendapat publisiti yang meluas menerusi media.

Ekoran itu, ramai yang membuat kesimpulan bahawa filem ini berdepan dengan masalah dan menjadi mangsa pemerapan seperti mana filem-filem yang berdepan dengan masalah sama sebelum ini.

Apatah lagi LAPKD merupakan sebuah filem epik yang pastinya bukan satu kerja yang mudah untuk dilakukan sementelah genre itu dilihat kurang digemari oleh masyarakat di negara ini.

Selepas empat tahun berlalu dan LAPKD kini bersedia menemui penonton bermula esok (22 Oktober) dengan membawa harapan serta semangat yang tinggi.

Apa yang dimahukan oleh penerbitnya, Noor Azman Yusof adalah cerita legenda di negara ini terus dihargai dan tidak pupus ditelan zaman terutama sekali kisah yang agak jarang diangkat.

Kata Noor Azman, dia mempunyai rasionalnya yang sendiri mengapa kisah LAPKD diangkat dan dizahirkan ke layar perak.

Alasannya, dia mahu masyarakat khususnya generasi muda hari ini tahu bahawa negara kita sebenarnya kaya dengan kisah legenda yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

"Kalau kita kaji dan amati, sebenarnya negara kita mempunyai banyak cerita legenda dan mitos yang cukup menarik untuk dikisahkan.

"Jadi, sebagai seorang pembikin filem, saya mahu terus menyuburkan kisah legenda negara kita dan tidak mustahil selepas ini, saya akan meneruskan konsep filem epik seperti ini," katanya kepada media selepas pra tonton filem LAPKD di Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Filem hikayat ini dibarisi oleh pelakon-pelakon terkenal baru dan lama seperti Farid Kamil yang membawakan watak Awang, Siti Elizad (Dayang), Zul Huzaimy Marzuki (Bachok), Hattan (Panglima Merah), Meiling Ludi (Claudia), Khir Rahman (Nakhoda Galigor), Aziz M. Osman (Dekar Agas/Raja Muda Bugis) dan ramai lagi.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa LAPKD telah diangkat daripada novel yang sama hasil tulisan Allahyarham Cikgu Shaharom Husain yang kali pertama diterbitkan pada tahun 1957.

Mengulas lanjut tentang LAPKD, Noor Azman ternyata sudah boleh menarik nafas lega kerana penantian selama empat tahun untuk melihat filem itu ditayangkan akhirnya berakhir.

Manakan tidak, dalam tempoh itu pelbagai cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi dalam menyiapkan filem yang menelan belanja RM1.6 juta ini.

"Cabaran utama untuk filem ini adalah dari segi jalan cerita dan skrip serta bagaimana mahu mengangkat sebuah kisah yang berusia 300 tahun ini dalam tempoh dua jam.

"Skripnya sahaja dihasilkan dalam tempoh tiga bulan kerana perjalanan cerita kisah ini sangat panjang.

"Untuk itu, kami harus memendekkan serta mengambil bahagian yang penting untuk dizahirkan ke layar perak.

"Bukan itu sahaja, kami juga telah memastikan olahan filem ini bersesuaian dengan semua golongan dan untuk itu, kami telah mendapat kerjasama Lembaga Penapisan Filem serta Jabatan Agama Islam Selangor bagi melancarkan projek filem ini," katanya tentang filem yang sarat dengan unsur mistik, tragis, cinta dan aksi itu.

Namun, dugaan paling besar untuk menyiapkan filem ini adalah apabila LAPKD harus menjalani penggambaran semula selepas pengarah asalnya, Imri Nasution memberikan hasil yang dilihat sungguh mengecewakan.

Untuk itu, Imri digugurkan dan tanggungjawab bagi meneruskan projek filem tersebut diserahkan kepada pelakon dan pengarah terkenal, Majed Salleh.

Namun, bagi Majed, untuk menggalas tugas pengarah bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia menuntut masa, wang ringgit dan tenaga yang banyak.

Ujarnya, selain daripada perlu melunaskan baki penggambaran filem yang tertangguh itu, dia juga perlu menjalani penggambaran semula filem tersebut yang sudah siap 40 peratus.

"Sewaktu menonton bahagian filem yang sudah disiapkan itu, memang hasilnya cukup teruk dan tidak mampu diselamatkan lagi.

"Kerana itu, ia perlu menjalani penggambaran semula untuk memberikan hasil yang terbaik dan dengan bajet yang terhad, saya sudah menghasilkan sebaik mungkin," terang Majed saat diajukan tentang cabarannya mengarahkan filem epik ini.

Selain itu, kata Majed, LAPKD merupakan filem Melayu pertama yang menggunakan kamera berteknologi tinggi iaitu High Definition (HD) sewaktu filem itu mula-mula menjalani penggambaran.

"Untuk itu, sudah pasti kelemahan dari segi teknikal yang melibatkan shot, bunyi dan rakaman audio akan timbul tetapi ia berjaya diatasi dengan baik," katanya lagi.

Dari segi aspek pemilihan pelakon pula, LAPKD turut berdepan dengan masalah tersebut terutama sekali dalam memilih aktres yang benar-benar layak memegang watak Dayang.

Bagaikan satu sumpahan, satu demi satu masalah yang timbul membabitkan pelakon wanita utamanya.

Bermula dengan Fasha Sandha yang kemudiannya digugurkan dan seterusnya diganti pula dengan Datin Natasha Hudson yang sempat menjalani penggambaran filem tersebut.

Harapan yang tinggi

Namun, entah di mana silapnya, Natasha juga mengalami nasib yang sama dan watak Dayang berpindah milik kepada Siti Elizad.

Menjelaskan perkara ini, Noor Azman memberitahu bukan mudah untuk mencari seorang aktres yang memiliki wajah Melayu tulen bagi menyamai perwatakan Dayang yang jelita, sopan-santun dan memiliki pekerti mulia itu.

Tidak mahu peminat menonton filem ini semata-mata kontroversi yang pernah terpalit, Noor Azman sebenarnya meletakkan harapan yang tinggi untuk filem ini.

"Saya yakin filem ini akan mendapat tempat di hati penonton dan masyarakat kerana mesej serta intipatinya yang mengisahkan tentang pengorbanan dan kesetiaan.

"Semuanya terpulang kepada penonton apabila menonton filem ini nanti kerana apa yang penting adalah tugas saya untuk memartabatkan kisah legenda negara buat tatapan penonton.

"Bukan itu sahaja, saya juga mengharapkan filem LAPKD ini mampu mendorong dan menaikkan semangat penerbit filem tempatan untuk terus menghasilkan filem epik dan hikayat sejarah," ujarnya penuh harapan dan berdebar dalam masa yang sama untuk melihat reaksi penonton kelak.

Sebagai teraju utama, Farid tidak dapat menyembunyikan perasaan terkilannya apabila filem ini lewat ditayangkan.

Namun, dia sedar kelewatan itu sememangnya tidak disengajakan dan sebagai pelakon, itu semua adalah cabaran yang perlu ditempuhinya.

"Nak kata saya puas hati di tahap maksimum itu, tidaklah sangat kerana filem ini dihasilkan empat tahun lalu dan jurang usia itu juga sungguh ketara.

"Membawakan watak Awang ini adalah terbaik yang saya lakukan dan saya sempat berpeluang bertemu dengan waris Awang untuk mendalami watak saya ini.

"Tetapi, penonton akan dapat melihat transisi lakonan saya empat tahun lalu berbanding sekarang," kata Farid penuh optimis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: