Wednesday, October 21, 2009

Jatuhnya taraf jualan album

LIMA tahun kebelakangan ini, industri rakaman album artis-artis tempatan mencatat kemeruduman paling teruk apabila tidak banyak syarikat rakaman yang sanggup tampil dengan menerbitkan produk-produk baru.

Jika ada yang berani pun, mereka hanya sekadar menerbitkan album-album single yang biasanya mengandungi satu atau dua lagu sahaja dengan pelbagai alasan. Antaranya jualan album tidak memberangsangkan di mana kata mereka senario kini tidak sama seperti 20 tahun yang lalu.

Senario itu diperjelaskan lagi apabila Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) baru-baru ini telah mengumumkan kadar jumlah anugerah emas dan platinum yang baru bagi jualan album-album tempatan yang skalanya kini semakin mengecil.

Mulai 1 Julai lalu, RIM secara rasminya menetapkan mana-mana album yang berjaya dijual sekitar 7,500 unit hingga 10,000 unit sudah layak untuk menerima anugerah emas.

Sementara bagi kategori anugerah platinum pula, jualannya mestilah mencecah 15,000 hingga 20,000 yang juga berkuatkuasa mulai tarikh yang sama selepas agak lama RIM tidak menetapkan keputusan seperti itu.

Ini kerana selama ini iaitu selama berpuluh-puluh tahun lalu, ramai yang tahu bahawa untuk mendapatkan anugerah emas atau gold disc, difahamkan sesebuah album itu mestilah melepas jualan melebih 25,000 unit atau mungkin lebih lagi.

Secara kasarnya, senario itu menggambarkan bahawa album-album artis tempatan sekarang semakin kecil kuantitinya, manakala soal kualiti pula ia isu yang lain. Penurunan kadar untuk kelayakan menerima anugerah emas atau platinum itu adalah realiti 'kesengsaraan' yang kini terpaksa ditanggung oleh pihak syarikat rakaman, komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik tanah air.

Sungguhpun kadar untuk menerima anugerah-anugerah itu terpaksa diturunkan jumlahnya, tetapi hakikatnya pihak-pihak terbabit masih lagi susah untuk mencapai paras yang telah ditetapkan itu.

Kalau dulu jualan sebuah album untuk artis baru sekitar 10,000 unit bukan terlalu sukar untuk dicapai, tetapi pada hari ini mana-mana penyanyi yang bertaraf superstar sekalipun payah untuk mencapai jumlah tersebut.

Realitinya, walaupun seseorang artis itu menerima anugerah emas atau platinum tetapi ia bukanlah suatu pencapaian yang boleh dibanggakan dalam konteks pada hari ini.

Dalam hal ini, jumlah unit album atau kadar anugerah emas atau platinum seharusnya menjadi perkara kedua di mana pihak-pihak terbabit haruslah mencari jalan bagaimana untuk mempertingkatkan jualannya.

Contohnya, dengan cara menerokai jualan album menerusi Internet atau muat turun lagu menerusi telefon bimbit yang kini semakin berkembang pesat di seluruh dunia.

RIM sendiri haruslah mencari jalan bagaimana untuk menjana industri rakaman tempatan supaya terus rancak seperti dua dekad lalu dengan memikirkan mekanisme-mekanisme tertentu seperti menetapkan kadar kos rakaman album yang lebih fleksibel dan murah penerbitannya.

Ia bagi menggalakkan pertubuhan industri rakaman album di negara ini pada masa depan. Jika pihak-pihak seperti RIM hanya sekadar mengeluarkan kadar sesuatu tahap pencapaian anugerah emas dan platinum sahaja, maka dikhuatiri jumlah rakaman dan edaran album-album tempatan tidak akan beranjak ke mana. RIM harus melakukan sesuatu!

Misalnya, dengan cara menurunkan harga jualan album berbentuk cakera padat (CD) dan kaset sesuai dengan logik kos rakaman album atau percetakan termasuklah kulit album yang sebenarnya jauh lebih murah.

Tiada harga

Bayangkan jika sesebuah CD album artis tempatan dijual dengan harga RM35, sedangkan kos untuk mencetak sebuah CD dan kulit albumnya tidak sampai pun RM5. Paling teruk apabila harga jualan album pula tidak selaras atau berbaloi dengan bayaran royalti yang sepatutnya diterima oleh para komposer atau penyanyi di negara ini.

Selain itu, tanpa adanya usaha untuk merancakkan lagi rakaman album artis-artis tempatan, ahli-ahli RIM yang terdiri daripada syarikat-syarikat rakaman antarabangsa terutamanya antarabangsa akan lebih tertumpu kepada mengimport album-album dari luar negara.

Bayangkan, apa akan jadi apabila jualan album-album tempatan semakin merosot dan kemasukkan album-album import pula semakin banyak? Paling ketara apabila banyak ahli-ahli RIM juga kini tidak lagi aktif menerbitkan album seperti suatu ketika dulu.

Apa masalahnya kadar baru anugerah emas dan anugerah platinum jualan album itu dengan senario yang sedang berlaku dalam industri rakaman album artis-artis tempatan sekarang ini?

Adakah senario itu menunjukkan album artis-artis tempatan tiada harga walaupun mendapat anugerah emas dan platinum? Ataupun kita boleh kata, sudahlah jualannya sedikit tetapi album-album yang menerima anugerah platinum sekalipun tetapi tiada nilai kerana kuantitinya yang amat sedikit.

Jika kuantitinya merosot, bermakna kualitinya juga boleh dipertikaikan. Sebabnya, barang yang berkualiti tentunya tiada masalah untuk dipasarkan atau mendapat sambutan daripada para peminat.

Ia secara tidak langsung antara lain memperlihatkan pengecilan jumlah penerbitan album-album dan juga jumlah jualannya di mana pada masa sama membuka ruang kepada kemasukan album-album artis-artis dari luar negara.

Pada masa sama, ahli-ahli RIM pula memang diketahui ramai amat menjalin hubungan yang rapat dengan stesen-stesen radio yang tentunya akan terus menyokong mereka bagi membekalkan album-album sebagai bahan siaran di stesen masing-masing.

Kalau senario yang sedang berlaku ini berpanjangan, jumlah penerbitan dan edaran artis-artis tempatan akan semakin merosot. Stesen-stesen radio juga tiada pilihan selain terus menyiarkan lambakan album-album yang diimport dari luar negara.

Justeru, dalam senario ini biar serendah mana sekalipun jumlah jualan album yang diperlukan bagi kelayakan menerima anugerah emas atau platinum, tetapi selepas ini jika jualannya masih juga merosot, maka usaha RIM itu hanya akan sia-sia sahaja!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: