Wednesday, October 21, 2009

Sharifah Sofia, Ismail saling melengkapi


RIAK gembira Sofia dan Ismail selepas disatukan sebagai pasangan suami isteri.


"GEMBIRA, sedih dan bagaikan berada di alam mimpi". Itulah kata-kata yang ter luah daripada bibir si jelita berdarah kacukan Inggeris, Arab dan Melayu, Sharifah Sofia Syed Hussein, 24, sebaik diijabkabulkan dengan cinta hatinya, Syed Ismail Syed Ibrahim Al-Ali, 31, pada tanggal 18 Oktober lalu.

Ya, kerana perasan gembira itulah dia menitiskan air mata.

Bukan kerana sedih sebaliknya, air mata tersebut bagaikan menterjemah perasaan gembira serta kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi.

Dihadiri hampir 100 orang ahli keluarga daripada kedua-dua mempelai, Sofia dan Ismail dinikahkan oleh bapa Sofia, Syed Hussein Syed Harun di depan Penolong Pendaftar Nikah masjid tersebut, Mohd. Nazarudi Mohd. Nadzir tepat pukul 12.30 tengah hari dengan mas kahwin RM100.

Dengan sekali lafaz, mereka sah bergelar suami isteri dan Masjid Wilayah Persekutuan, menjadi saksi termeterainya ikatan percintaan pasangan tersebut yang berlarutan sejak hampir tiga tahun lalu.

"Ismail tidak sama seperti lelaki lain. Dia menjadi dirinya sendiri, malah sering membuat saya ketawa. Saya tak tahu nak jelaskan bagaimana kerana saya memang dapat merasainya.

"Akhirnya kami dapat bersama. Alhamdulillah, ketika dalam perjalanan ke masjid (tempat pernikahan) memang saya rasa gembira dan relaks sangat. Langsung tidak rasa gusar dan khuatir," kata Sofia sambil tersenyum manis.

Biarpun telah saling mengenali antara satu sama lain sejak 11 tahun lalu, namun, bibit-bibit percintaan mereka mula bercambah sejak dua tahun lalu.

Memilih untuk tidak bertunang, Sofia bagaimanapun bersetuju untuk bergelar isteri setelah dirisik oleh Ismail pada 27 Mac lalu.

"Saya rasa sedih, gembira dan bagaikan bermimpi, macam nak menangis pun ada sebab saya betul-betul tak tahu macam mana nak luahkan perasaan saya sekarang ini.

"Saya adalah insan yang paling gembira dan tidak sabar menjalani kehidupan sebagai seorang isteri," kata Sofia sambil menitiskan air mata kegembiraan ketika ditemui selepas majlis pernikahannya.

Pada majlis itu juga, pasangan tersebut bertukar-tukar dulang hantaran iaitu tujuh dulang daripada Ismail termasuk wang hantaran RM20,000 beserta sirih junjung, tas tangan berjenama Coach, set perhiasan mutiara, sejadah dan telekung serta senakhah al-Quran.

Sofia pula membalas sembilan dulang hantaran termasuk sirih junjung, komputer riba berjenama Dell, telefon bimbit dan gajet GPS, tali pinggang dan beg duit berjenama Boss, kemeja, coklat, jam tangan Marc Ecko serta senaskhah al-Quran.

Bagi Sofia, kehidupan perkahwinan membawa erti tiada sebarang batasan dalam kehidupannya.

"Inilah perkahwinan yang begitu saya impikan. Majlis akad nikah yang ringkas dan bersederhana.

"Alhamdulillah, kini saya dan dia (suami) sudah tiada batasan. Kami boleh melakukan pelbagai perkara bersama tanpa sebarang halangan," kata Sofia sambil ketawa.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ibu Sofia, Maureen Hussein serta ibu bapa Ismail, Sharifah Saidah Tun Syed Nasir dan Syed Ibrahim Al-Ali.

Sofia buat hidup saya lengkap - Ismail

Memilih lelaki kacukan Melayu - Arab Jordan, ternyata tidak direncana olehnya sebelum ini.

Itulah hakikat jodoh yang diakui oleh pasangan itu seperti yang telah tertulis di Luh Mahfuz.

Tidak sukar diajak berbual sama, Ismail yang bersikap bersahaja ternyata tidak sukar berkongsi keistimewaan isteri tercinta.

"Saya merasa diri saya cukup lengkap apabila bersamanya. Saya rasa diri saya penuh kerana dia begitu memahami jiwa saya," kata Ismail mengulas keistimewaan Sofia.

Janji Ismail, seboleh mungkin dia tidak akan menghalang kerjaya isterinya sebagai insan seni.

"Saya tidak ada masalah jika dia ingin terus berlakon dan saya akan terus menyokong kerjayanya dari belakang," kata usahawan lulusan dari Australia itu lagi.

Malah, kata Sofia, biarpun berstatus isteri dia tetap akan menjalani kehidupannya sebagai seorang pelakon dan akan cuba memberikan masa sebaiknya antara kerjaya dan keluarga.

Pasangan yang akan menetap di Shah Alam itu bakal berbulan madu di Kepulauan Maldives dan Colorado, Amerika Syarikat pada Februari tahun depan.

Seperti kebanyakan pasangan yang berkahwin, sudah pasti kehadiran anak di damba sebagai pelengkap dalam kehidupan berkeluarga.

Begitu juga dengan Sofia dan Ismail. Biarpun belum membuat sebarang perancangan, namun mereka tidak menolak sekiranya rezeki untuk mereka segera memperoleh anak dimakbulkan Tuhan.

"Setakat ini kami belum merancang apa-apa untuk anak, bagaimanapun jika Allah beri rezeki kepada kami lebih cepat saya tidak akan menolak," kata Sofia sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: