
BERKONVOI dengan motosikal menziarahi rumah saudara-mara dan kenalan pada pagi Aidilfitri adalah satu gambaran biasa bagi kebanyakan anak-anak muda kampung.
Apatah lagi, peluang bertemu rakan-rakan lama dari perantauan yang pulang bercuti pasti cukup menggembirakan dan bermacam-macam cerita ingin dikongsi bersama. Malah, ada yang melepak dengan sanak saudara dan kenalan di laman rumah yang diterangi cahaya pelita sehingga lewat malam.
Bagaimanapun, berlainan pula dengan anak-anak muda di Kampung Permatang Kerai Besar, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Mereka sebaliknya berkonvoi beramai-ramai menuju ke pusara di kampung itu selepas menyempurnakan solat sunat Aidilfitri.
Dengan membonceng sebanyak 40 buah motosikal, kira-kira 60 anak muda di kampung itu melapangkan masa pada pagi 1 Syawal baru-baru ini untuk menziarahi pusara ibu bapa serta ahli keluarga lain. Di pusara, surah al-Fatihah dibaca untuk disedekahkan kepada mereka yang telah tiada.
Turut dibaca adalah surah Yasin yang dibaca secara beramai-ramai. Selepas menghabiskan masa kira-kira sejam di pusara, barulah mereka beransur pulang untuk berkunjung ke rumah saudara-mara dan jiran tetangga pula.
"Aktiviti konvoi bermotosikal ke pusara telah menjadi tradisi anak-anak muda di kampung ini sejak enam tahun lalu," ujar urus setia konvoi tersebut, Abdul Razak Abdul Karim kepada Kosmo!.
Menurutnya, aktiviti itu pada mulanya tidak dirancang. Ia mula diadakan selepas penduduk kampung selesai mengerjakan solat sunat Aidilfitri kira-kira enam tahun lalu.

"Selesai solat, penduduk kampung termasuk anak muda berusia belasan tahun berkumpul di perkarangan masjid untuk menziarahi pusara orang tua dan saudara-mara. Mereka berpakat untuk pergi ke pusara secara serentak dengan menaiki kenderaan sendiri.
"Tahun berikutnya, ia diadakan lagi tanpa dirancang dan kini sudah menjadi tradisi penduduk kampung. Lebih mengujakan, jumlah penyertaan semakin bertambah dari setahun ke setahun," ujarnya.
Beliau menambah: "Ziarah ini juga bagi mengingatkan anak-anak muda kepada ahli keluarga yang telah tiada walau di mana mereka berada."
Menurutnya, konvoi itu bukan sahaja mampu mengeratkan silaturahim dalam kalangan pemuda kampung, malah ia berjaya mengukuhkan ikatan persaudaraan dengan jiran tetangga terutama warga emas.
Beliau juga berkata, kerjasama yang diberi oleh masyarakat tempatan bagi menjayakan aktiviti seumpama itu amat menggalakkan.
"Setiap tahun menjelang Aidilfitri, ramai anak muda yang bekerja di bandar besar, termasuk Kuala Lumpur kembali ke kampung halaman untuk menyambut hari raya bersama keluarga.
"Sebahagian besar daripada mereka mempunyai kenderaan sendiri. Jadi, kami juga mengajak mereka untuk memeriahkan aktiviti konvoi ke pusara selepas menunaikan solat Aidilfitri.
"Kami harap usaha mulia ini dapat dipertahankan untuk generasi seterusnya," katanya.
Sementara itu, Hassan Saad, 25, yang menyertai konvoi itu ketika ditemui berkata, sebaik sahaja menjejak kaki di pusara ibu bapa sendiri, pelbagai kenangan manis mulai dirasai.
"Semasa hayat ada, kita boleh berbual mesra dengan ibu bapa tetapi sekarang, kita sekadar berdoa sahaja di pusara mereka dengan perasaan pilu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: