Friday, October 2, 2009

Percutian elak perceraian




ADAKAH perkahwinan anda dilanda masalah? Atau anda sudah mempertimbangkan keputusan untuk bercerai? Jika benar, pertahankan dahulu hubungan anda.

Ini kerana sebuah agensi pelancongan di India menggesa setiap pasangan yang mahu berpisah, menangguhkan seketika niat untuk mendapatkan khidmat peguam bagi menyelesaikan perkara tersebut (proses perceraian), sebaliknya meminta mereka bercuti bersama pasangan masing-masing.

Tetapi, percutian itu mestilah turut disertai oleh seorang kaunselor yang akan memberi khidmat nasihat kepada pasangan tersebut.

Pakej itu disediakan oleh KV Tours & Travels yang berpangkalan di Mumbai, India. Pihak agensi pelancongan itu menawarkan pakej pelancongan praperceraian yang bertujuan menyemai kembali sinar cinta yang semakin pudar di antara pasangan yang sudah lama berkahwin.

Pakej pelancongan

"Dengan menawarkan pakej pelancongan praperceraian, apa yang kami cuba lakukan adalah membantu setiap pasangan yang mahu bercerai agar mempertahankan hubungan mereka. Malah, dengan bercuti bersama, diharap perasaan cinta akan kembali mekar atau berbunga di hati masing-masing, sama seperti ketika mereka mula bercinta dahulu," kata ketua eksekutif syarikat itu, Vijesh Thakker, 40.

Secara tradisi, perkahwinan di India masih menjadi keutamaan dalam kalangan masyarakat di negara itu. Malah, negara itu mencatat kadar perceraian paling rendah di dunia. Mengikut statistik, hanya satu dalam 100 perkahwinan di negara itu yang gagal berbanding satu dalam dua perkahwinan di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, kadar perceraian di India kini semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar.

"Di bandar metropolitan seperti New Delhi, Mumbai, Bangalore dan Chennai, di mana kadar pendapatan setiap individu agak berpatutan, perceraian sudah menjadi satu kebiasaan," ujar Hasan Anzar, rakan kongsi di firma guaman ANZ Lawz di New Delhi.

"Anda dengan jelas boleh mengatakan bahawa kes-kes yang difailkan berkaitan keluarga semakin meningkat dan ia berlaku hampir kepada semua firma guaman yang ada," tambahnya.

Anzar menjelaskan, faktor utama yang menyebabkan peningkatan tersebut termasuklah pemberian kuasa kepada golongan wanita urban di India menerusi pendidikan yang lebih baik dan mempunyai kerjaya hebat. Situasi itu sekali gus mengubah aspirasi mereka dalam kehidupan dan membuatkan mereka lebih berdikari terutama mengenai kewangan.

Faktor lain pula adalah campur tangan keluarga mertua, kehadiran pihak ketiga dan sebagainya.

Dalam pada itu, ANZ Lawz menjalankan subsidiari pangkalan Internet yang dipanggil divorcelawyers.co.in, yang dianggap sebagai firma guaman perceraian eksklusif pertama di India.

Selain itu, laman sesawang seperti secondshaadi.com menawarkan perkhidmatan pertemuan dalam talian (online) kepada lelaki dan wanita yang telah bercerai untuk mencari pasangan lain bagi meneruskan kehidupan.


PAKEJ percutian yang ditawarkan oleh beberapa agensi pelancongan di India boleh membantu pasangan suami dan isteri mengukuhkan ikatan perkahwinan mereka.


Menyelamat perkahwinan

Thakker berkata, pasangan yang sudah tidak sehaluan sudah pasti tidak sanggup menghabiskan duit untuk sesama sendiri, berbanding ahli keluarga yang mahu menyelamatkan perkahwinan tersebut demi menjaga kehormatan dan maruah keluarga.

Tambah Thakker lagi, sejak melancarkan perkhidmatan tersebut pada bulan lalu, banyak pertanyaan dan respons diterima daripada orang ramai mengenai pakej yang ditawarkan itu.

Terdapat pelbagai pakej ditawarkan, daripada penginapan selama seminggu di resort di kaki bukit berharga 35,000 rupee (RM2,535) sehinggalah percutian ke luar negara yang lebih mahal harganya.

"Kami cuba menghantar mereka di tempat yang tidak pernah dikunjungi oleh pasangan tersebut sebelum ini. Selain itu, lokasi percutian juga tidak dikunjungi ramai orang dan tiada saudara-mara mereka di situ," katanya.

Kaunselor perkahwinan berpengalaman yang mana yuran mereka dibayar menerusi perjanjian yang dibuat dengan pihak hotel dan agensi pelancongan, akan menemani pasangan suami isteri itu untuk menggalakkan mereka memulakan hidup baru dengan lebih baik.

Konsep menarik

Thakker yang merupakan bapa kepada dua orang anak dan telah berkahwin selama 18 tahun, memberitahu tujuh hari percutian sudah mencukupi untuk menentukan masa depan setiap pasangan.

Pakar psikologi dan terapi klinikal, Rhea Pravin Tembhekar yang mengusahakan pusat kaunseling di Mumbai pula berkata, dia tertarik dengan konsep pelancongan tersebut.

"Jika anda bergaduh kerana perkara yang remeh seperti pengurusan masa, mertua dan sebagainya, mungkin percutian seperti ini akan memberi kesan yang lebih baik.

"Tetapi, jika isu yang timbul agak kritikal seperti keganasan rumah tangga, percutian bukan jalan penyelesaian kepada masalah tersebut," ujar Rhea.

Thakker memperkenalkan konsep tersebut selepas melihat rakannya bercerai kira-kira 18 bulan lalu. Menurutnya, inovasi merupakan kunci untuk membantu meningkatkan jumlah pelancong di India.

"Masyarakat sudah bersedia untuk menerima konsep baru. Kini, kadar perceraian semakin meningkat. Oleh itu, kita perlu mengatasinya. Ia satu perkara yang baik. Malah, kami membantu kerajaan mempromosikan pelancongan.

"Apa yang penting, kami mahu setiap pasangan yang mengikuti pakej percutian ini menganggapnya sebagai pakej bulan madu kedua mereka."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: