Friday, October 2, 2009

Antara 12 studio tercanggih di dunia

Penerbit filem tempatan boleh menarik nafas lega kerana Malaysia kini bukan sahaja mempunyai studio digital antara yang terbaik di dunia, bahkan kos yang dikenakan adalah jauh lebih murah daripada studio luar negara. Persoalannya, adakah studio digital itu mampu mengangkat martabat filem negara ke mata dunia?




DARI dulu hingga kini, industri perfileman Malaysia kerap kali diperlekehkan bukan sahaja dek jalan ceritanya, bahkan kualiti audio yang dikatakan kurang mengesankan.

Kerana itu, ramai penerbit filem kebelakangan ini akhirnya terpaksa menjadikan kota Bangkok dan Hong Kong sebagai destinasi untuk mengadun audio filem mereka.


STUDIO Digital Mix Stage di Hulu Kelang bakal menjadi destinasi pengadunan audio untuk filem tempatan dan luar negara kerana menawarkan kelengkapan tercanggih.


Dengan kos RM200,000 belum ditambah dengan kos perjalanan, penginapan dan sebagainya, yang pasti hanya pernerbit berpoket tebal mampu mengadun audio filem mereka di luar negara.

Bagaimanapun, sejak Februari lalu, landskap filem negara berwajah baru apabila terbinanya Studio Digital Mix Stage di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang.


REKA bentuk dalaman Studio Digital Mix Stage yang tersusun rapi.



ADUNAN audio yang lebih canggih menawarkan efek bunyi yang lebih hebat.



STUDIO Digital Mix Stage ini adalah antara 12 buah studio Standard Premier tercanggih di dunia.



KOS yang ditawarkan oleh Studio Digital Mix Stage ini hanyalah RM115,000 berbanding studio luar negara sehingga RM200,000. (Dari kiri: Azriddin, Norhamidi)





Studio digital bernilai RM53 juta itu bakal memberi peluang kepada penerbit filem negara mendapatkan studio audio bertaraf dunia tanpa perlu terbang ke luar negara.

Selain menawarkan sistem adunan audio yang jauh lebih canggih daripada apa yang ditawarkan di Bangkok dan Hong Kong, apa yang menarik kos yang dikenakan studio itu hampir separuh daripada yang dicaj studio luar. Kosnya hanyalah sekitar RM115,000.

Kecanggihan yang dimiliki oleh studio tersebut dikatakan jauh berbeza dengan studio pasca produksi lain yang ada di Malaysia kerana ia merupakan yang pertama di negara ini diiktiraf sebagai Dolby Digital Premier.

Bangunan tiga setengah tingkat itu menyediakan Studio Mix Stage, Studio Premix, Studio ADR 1 & 2, Studio Audio & Music Sweetening, Optical Sound Camera dan Studio Foley.

Berkeluasan 3,950 meter persegi, Malaysia antara 12 negara yang mempunyai studio diiktiraf sebagai Standard Premium. Tidak salah jika mengatakan ia bakal menjadi sebagai salah satu destinasi studio audio perfileman terbaik dan tercanggih di Asia Tenggara terutama dari segi aspek penyediaan kemudahan teknikal.

Malah, industri perfileman Hollywood sendiri baru saja mahu menaiktarafkan studio mereka mengikut Standard Premium.

Menurut penyelia audio studio berkenaan, Azriddin Hamzah, pembangunan Studio Digital Mix Stage boleh dikatakan kejayaan besar buat Malaysia.

"Jika melihat pada kelengkapan mesin-mesinnya, pihak Finas telah mengimport mesin jenama tercanggih dari Amerika Syarikat iaitu Euphonix.

"Kelengkapan yang ada di studio ini juga merupakan yang tercanggih dengan perisian yang berteknologi tinggi.

"Selain itu, kita juga perlu menarik perhatian penggiat seni luar negara dengan elemen-elemen reka bentuk studio. Ini membuatkan penggiat-penggiat seni luar negara yakin dengan teknologi pembikinan audio di negara kita," katanya.

Bagi yang belum tahu maksud Dolbie Digital Premier, ia merupakan sebuah format dalam trek audio filem yang menghasilkan adunan Audio Suround System dari tahap Dolby Digital 5.1 hingga 6.1 bagi menggantikan speaker stereo.

Perlu diingat, hebat mana sekalipun pembikinan filem, kekuatan bunyi memainkan peranan penting untuk terus menghidupkan sesebuah filem berkenaan.

Justeru itu, usah terkejut andai kata filem tempatan selepas ini membuatkan jantung penonton berdegup-degup dengan efek bunyi yang dihasilkan.

Pelaburan yang lebih jimat

Setiap kali membikin filem, memang kebanyakan penerbit begitu menghargai efek audio yang merupakan tulang belakang kepada sesebuah filem.

Bagaimanapun, bila sampai ke bahagian bajet, penghargaan itu terpaksa dilupakan kerana kos yang digunakan pada peringkat awal produksi telah pun melebihi bajet.

Pada masa yang sama pula, proses pembikinan juga perlu cepat memandangkan lebih lama masa diambil, lebih tinggilah bajet yang perlu digunakan.

"Bila masa yang digunakan agak terhad, ini membuatkan kualiti audio tidak dijaga kerana dibuat secara tergesa-gesa.

"Seperti umum tahu, kebanyakan karyawan filem menghantar filem mereka ke luar negara seperti Bangkok, Hong Kong dan Mumbai untuk diadun dan mereka mempunyai sistem dolbie yang biasa.

"Untuk sebuah filem, biasanya pengadunan akan dibuat lebih kurang 45 hari dengan harga RM200,000 tanpa melibatkan kos-kos lain seperti tambang pengangkutan, tempat tinggal serta kebajikan lain.

"Bagaimana jika filem itu perlu diadun semula jika mempunyai beberapa kecacatan? Sudah pasti jarang sekali penerbit yang akan mengeluarkan bajet sekali lagi untuk keluar negara," kata Azriffin yang juga merupakan juruteknik mixer di studio berkenaan.

Melihatkan keadaan seperti ini, bayangkan berapa banyak pelaburan wang ringgit kita mengalir ke luar negara setiap kali kita membikin sebuah filem.

Jika setiap tahun lebih kurang 30 filem perlu ditayangkan, pelaburan yang dikeluarkan untuk mengadun ke negara luar secara total adalah sebanyak RM6 juta.

Di Studio Digital Mix Stage setakat ini ujar Azriddin mereka hanya mampu mengadun 20 buah filem dengan setiap satunya menelan kos sebanyak RM115,000. Ini bermakna dalam setahun kos yang dibelanjakan penerbit filem hanyalah sebanyak RM2.3 juta.

Dengan kos yang hampir separuh daripada apa ditawarkan studio luar negara, kita berjaya mengelakkan pengaliran wang ke luar sehingga sehingga RM1.7 juta setahun.

Tambah Azriddin pada masa akan datang, jika studio tersebut berkeupayaan mengadun audio sebanyak 30 buah filem, negara boleh menjimatkan pengaliran wang ke luar sehingga RM2.5 juta.

Juruteknik audio terbaik

Bila sistem pengadunan audio dinaik taraf, kepakaran juruaudio tempatan mengenai pengetahuan penggunaan mesin-mesin canggih itu juga diperlukan.

Menghantar seramai 13 tenaga kerja ke Amerika Syarikat dan New Zealand bagi mendalami penggunaan kesemua teknologi canggih yang ada di studio digital, mereka terdiri daripada jurutera bunyi, pembantu jurutera bunyi dan juruteknik bunyi.

Justeru itu, tidak timbul isu kurangnya orang tempatan mengendalikan Studio Digital Mix Stage itu.

Menurut Eksekutif Pemasaran Finas, Norhamidi Rahman, penghantaran 13 tenaga kerja ke luar negara adalah salah satu cara bagi membolehkan anak tempatan mempelajari selok-belok penggunaan peralatan di studio berkenaan.

"Selain itu, kita juga mempunyai perancangan untuk mendapatkan seorang pakar mengenai peralatan studio ini dari luar negara di bahagian Mix Stage.

"Maklumlah, dengan masa pembelajaran yang agak singkat di luar negara, pasti banyak lagi ilmu yang belum dipelajari.

"Oleh itu, tenaga kerja luar diambil bukan sahaja untuk mengoperasikan studio ini tetapi juga memindahkan ilmu teknologi kepada warga kerja tempatan yang sedia ada.

"Pengambilan orang luar juga adalah salah satu cara bagi meyakinkan karyawan negara luar mengenai kehebatan studio yang canggih ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: