![]() |
| BARISAN pelakon yang akan membintangi drama bersiri, Jangan Tegur Lagi (dari kiri) Yana, Putri Mardiana, Ku Faridah dan Rebecca Nur Al-Islam. |
HARUS diakui, penerbit prolifik ini merupakan antara penggiat seni yang cukup aktif dalam merancakkan industri hiburan tanah air.
Sejak mula menceburi bidang penerbitan filem pada tahun 2001, sudah 39 buah filem diterbitkannya dan hampir kesemua filem terbitannya mencecah kutipan tiket box-office.
Tidak cukup dengan itu, David Teo mengorak langkahnya dengan mengembangkan lagi empayar seninya apabila menerbitkan drama bersiri.
Sebagaimana respon dan penerimaan positif terhadap filem-filemnya, begitu juga dengan drama-drama bersiri keluaran syarikatnya, Metrowealth International Group (MIG).
Apa yang cukup membuatkan dirinya bertuah apabila kesemua stesen televisyen di negara ini masih terus memberinya peluang menghasilkan produk untuk stesen masing-masing.
Namun kata David, semua itu tidak datang bergolek kerana usaha dan kerja keras itu amat penting dalam menyakinkan stesen televisyen untuk terus memberinya peluang.
Untuk itu, apa yang cukup dititik beratkan David adalah kualiti karya terbitan syarikatnya sekali gus mampu untuk terus mencatatkan rating yang tinggi.
Pelakon baru
Antara drama bersiri terbitan MIG yang mencatatkan rating membanggakan ialah Mertua vs Menantu dengan 2.7 juta penonton di Astro Prima, Jangan Pandang Belakang (2.1 juta - TV2) dan E-Toyol.com (1.6 juta - TV3).
Selain itu, Embun Mutiara, Legasi 43 Karat dan Suria Kassandra juga berjaya meletakkan kedudukan mereka dalam senarai lima rancangan yang paling ramai ditonton di kaca televisyen.
Kini David sudah bersedia untuk terus mencipta satu lagi kejayaan menerusi drama bersiri Jangan Tegur Lagi yang mula menjalani penggambarannya minggu depan.
Lebih menarik lagi, Jangan Tegur Lagi merupakan kolaborasi pertama MIG dan TV3 apabila drama bersiri itu akan ditayangkan menerusi slot Seram yang mempunyai ramai penonton itu.
Jangan Tegur Lagi diadaptasi daripada filem Jangan Tegur arahan Pierre Andre yang dibintangi Julia Ziegler, Ellie Suriaty, Nadia Mustafar dan Pierre sendiri.
Namun peminat dan peminat filem itu tidak akan dapat menyaksikan lakonan pelakon asalnya. Drama bersiri itu akan menampilkan barisan pelakon yang baru serta mendapat sentuhan daripada pengarah yang berbeza.
Jangan Tegur Lagi menampilkan pengarah baru, Ismail Bob Hasim dan pelakon-pelakon seperti Rebecca Nur Al-Islam, Eizlan Yusof, Putri Mardiana, Danny X-Factor, Yana dan Aida Aris.
Katanya, selepas Jangan Tegur ditayangkan, dia mendapat banyak respon daripada audien yang bertanyakan tentang filem susulannya.
Apatah lagi, dengan kutipan tiket sebanyak RM4.6 juta yang dicatatkan filem tersebut di Malaysia dan Singapura, pihaknya yakin diminati seandainya ia dilangsungkan ke drama bersiri.
Malah, David optimis dengan Jangan Tegur Lagi yang dilihatnya berupaya menghasilkan impak yang cukup besar apabila ia mula ditayangkan pada 19 November depan.
"Saya sendiri tidak ada perancangan untuk menerbitkan filem sekuel Jangan Tegur. Jadi, saya memanjangkan idea untuk menjadikannya sebagai sebuah drama bersiri.
"Bukan itu sahaja, Jangan Tegur Lagi juga merupakan permintaan dari pihak TV3 yang mahukan MIG menerbitkan sebuah drama bersiri seram.
"Begitu juga dengan Jangan Pandang Belakang yang terus dijadikan drama bersiri tanpa ada filem susulannya.
"Hasilnya, ia adalah drama bersiri yang paling ramai ditonton menerusi saluran TV2 dan akan memasuki musim kedua tidak lama lagi," kata David yang meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk drama sebanyak 13 episod itu.
Penerbit gigih itu berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran drama bersiri tersebut di Restoran Lemon, Mines Shopping Fair, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Keseraman yang berbeza
Mengenai pemilihan Ismail atau ringkas disapa sebagai Bob itu pula, David menjelaskan pengalaman yang ditimba oleh Bob selama 13 tahun dalam industri cukup menyakinkan dirinya untuk membuka peluang itu kepada Bob.
Lebih-lebih lagi, Bob sering menjadi penolong pengarah kepada sutradara popular, Ahmad Idham dalam filem-filem arahannya.
Selain itu, Bob juga merupakan antara 10 pengarah muda yang berada di bawah Skim Pengarah Muda yang diperkenalkan oleh MIG.
Bagi Bob pula, dia cukup berbesar hati dan berbangga kerana peluang yang diberikan kepadanya dianggap sebagai satu peluang yang cukup berat untuk ditolaknya.
Memikirkan bilakah lagi peluang serupa akan tiba kepadanya, dia terus mengambilnya dan dia begitu yakin Jangan Tegur Lagi mampu memberikan keseraman yang berbeza kepada penonton kelak.
"Drama bersiri ini akan berbeza dengan versi filem kerana saya akan memastikan unsur seram dan suspens di dalamnya akan mampu membuatkan penonton tidak duduk diam.
"Untuk itu, saya akan memastikan tiga elemen ini iaitu lakonan, lokasi dan props serta tata cahaya memainkan peranan penting untuk membangkitkan rasa seram kepada penonton.
"Tidak cukup dengan itu, aspek teknikal terutamanya rekaan set dan sinematografi juga memainkan peranan penting dalam drama bersiri ini," ujarnya yang menggunakan sebuah hospital lama di Sungai Buloh sebagai lokasi utamanya selain di Hulu Langat, Selangor.
Bakal menjalani penggambaran selama 45 hari, Bob juga yakin dengan kemampuan barisan pelakon yang mampu melakonkan watak masing-masing.
Ujarnya, penonton kini semakin bijak dalam menilai sesebuah karya seram itu dan untuk itu, dia juga mengambil kira pandangan penonton menerusi penyelidikan yang dilakukannya.
"Cara lama dengan menampilkan wajah hantu yang menyeramkan sudah tidak lagi relevan.
"Kita sebagai pengkarya harus bijak mencari jalan dan cara baru untuk memberikan santapan segar kepada penonton agar tidak kelihatan klise," katanya lagi yang mahu menimba pengalaman sebagai pengarah drama terlebih dahulu sebelum mengorak langkah ke dunia pengarahan filem pada masa depan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: