Monday, October 12, 2009

Transformasi Hotel Peace

Pengubahsuaian yang terlalu banyak, ditambah pula dengan kehilangan kemasan asli yang telah dijual di lorong-lorong belakang menyebabkan Carr dan pasukannya berdepan dengan cabaran bagaimana mengembalikan kegemilangan zaman lampau hotel itu.


KOS mengubah suai hotel yang dibina pada tahun 1929 ini mencecah RM248 juta.


PELAWAK terkenal dunia, Charlie Chaplin pernah berjalan melintasi dewan-dewannya. Penulis skrip berbakat besar, Noel Coward pula pernah menamatkan pementasan terakhir, Private Lives di sana. Manakala pemiliknya, jutawan Victor Sassoon berkali-kali menganjurkan parti mewah untuk golongan elit di Shanghai, China.

Itulah antara lambang kehebatan dan kemewahan Hotel Peace di Shanghai sekitar tahun 1930-an. Bagaimanapun, peperangan, revolusi dan proses pemulihan yang lemah telah memusnahkan institusi pembangunan yang pernah menjadi hotel paling mewah di Shanghai itu.

Kini, para arkitek dan sejarawan bertungkus lumus menyiapkan proses pengubahsuaian mercu tanda Shanghai tersebut pada kos perbelanjaan mencecah 500 juta yuan (RM248 juta).

Semuanya dilakukan bagi menghadapi satu penganjuran ekspo dunia yang bakal diadakan pada tahun hadapan. Pengubahsuaian itu akan melibatkan gabungan keselesaan seni bina ultramoden dengan kegemilangan masa lampau hotel tersebut.

"Kami fikir, ia akan menjadi projek restorasi yang jelas dan adil. Ia tidak akan bertukar kepada yang lain," kata Ian Carr yang mengetuai pasukan dari Hirsch Bedner Associates yang terkenal dengan seni bina restorasi bernilai tinggi seperti London's Savoy.

"Cuma... masalah kami ialah sukar untuk memberitahu apa yang asli dan apa yang palsu serta bila ia berubah," ujarnya.

Zaman kegemilangan hotel itu yang bermula sebagai Hotel Art Deco sebelum dikenali sebagai Hotel Cathay berakhir pada Ogos 1937 apabila dua butir bom Jepun meletup di bahagian luar pintunya. Hotel itu terus dibuka sehingga tahun 1941 apabila tentera Jepun menduduki bandar tersebut.

Drama Perang Dunia Kedua akhirnya memberi laluan kepada perang sivil dengan pejuang kebangsaan dan tentera komunis merampas bangunan hotel itu.


SESETENGAH pakar mengatakan kekurangan rekod dan maklumat boleh menjadikan proses restorasi sesuatu yang mustahil.


Bangunan masyhur itu dibuka semula pada tahun 1956 untuk lawatan delegasi Soviet. Ia kemudiannya dikenali sebagai Hotel Peace. Nama itu kekal sehingga hari ini. Namun, bahagian utama bangunan asal telah dimusnahkan dan dibaik pulih dalam tahun yang berselang.

Sewaktu Revolusi Kebudayaan, para pekerja membuang siling baru untuk menyembunyikan simbol empayar daripada amukan Tentera Merah (komunis). Kemudian, sekitar tahun 1980-an, tampalan marmar dibuang sebagai percubaan untuk memberi imej yang lebih segar pada hotel itu.

Pengubahsuaian yang terlalu banyak, ditambah pula dengan kehilangan kemasan asli yang telah dijual di lorong-lorong belakang menyebabkan Carr dan pasukannya berdepan cabaran bagaimana untuk mengembalikan kegemilangan zaman lampau hotel itu.

"Sukar menemui sesuatu yang benar-benar boleh dijadikan lambang kegemilangan hotel ini," ujarnya.

Ramai pereka cuba menghubungi arkitek asal bangunan yang dibina pada tahun 1929, Palmer dan Turner atau mengesan keluarga Sassoon di Bahamas termasuk mengiklankan di dalam akhbar untuk mencari sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan hotel tersebut.

Bagaimanapun, tiada satu pun daripada usaha di atas menunjukkan hasil. Malah, sesetengah pakar mengatakan kekurangan rekod dan maklumat menjadikan proses restorasi sesuatu yang mustahil.

"Masyarakat moden mempunyai cita rasa yang berbeza. Saya amat skeptikal terhadap tanggapan bahawa pelancong akan menggemari gaya era 1920-an," tutur seorang profesor warisan kebudayaan di Universiti Fudan, Shanghai, Ju Jiansong.

Namun, sejarawan Peter Hibbard tidak bersetuju dengan pandangan Jiansong. Dia yang terlibat dalam projek mega itu membawa banyak gambar, keratan akhbar dan beberapa keping filem gambar pada tahun 1930-an yang jarang ditemui mengenai hotel itu. Sekurang-kurangnya, bahan-bahan tersebut menawarkan petunjuk mengenai gaya kemasan Art Deco.

"Bandar ini boleh memperbodohkan semua orang. Terlalu sukar untuk mengetahui apa yang benar, apa yang palsu, apa yang baru dan apa yang lama. Ia sememangnya satu misteri," jelas Hibbard.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: