![]() |
| Maria masih kelihatan jelita biarpun telah mencecah usia separuh abad. |
PELAKON cantik era tahun 1980-an, Maria Arshad sudah cukup sinonim sebagai pelakon yang gemar berfesyen dan sentiasa menitikberatkan soal penampilan diri.
Maka tidak hairanlah sehingga ke saat ini dia masih kelihatan jelita biarpun pada hakikat, umurnya sudahpun mencecah separuh abad.
Bertemu pemilik nama sebenar Kamariah Arshad di Alexis, Great Eastern, Kuala Lumpur baru-baru ini, ternyata ibu kepada lima anak termasuklah pelakon, Ijoy Azari ini tidak kalah daripada segi penampilan.
Bukan keseorangan, tetapi ketika ditemui si jelita yang mesra di sapa Maria ini ditemani oleh tiga anaknya, Noraida, 30, Natasha Munira, 16, dan Nabila, 12.
Sejak mendirikan rumah tangga pada tahun 1991, kelibat pelakon filem Manis-manis Sayang itu boleh dikatakan tidak lagi muncul dalam mana-mana filem ataupun drama tempatan.
Sehinggalah tahun lalu, Maria muncul mengubat rindu para peminatnya menerusi iklan hari raya Petronas.
Melakonkan watak seorang ibu yang sabar menanti kepulangan anak ke kampung halaman benar-benar mengusik perasaan para penonton.
Malah, iklan tersebut membuatkan namanya kembali menjadi sebutan.
Akui Maria, sejak 18 tahun lalu dia tidak lagi aktif di bidang lakonan biarpun jauh di sudut hatinya begitu merindui lapangan tersebut.
"Kini masa saya lebih banyak menumpukan kepada dua anak saya yang masih bersekolah iaitu Natasha dan Nabila.
"Secara tidak langsung, saya adalah pemandu sepenuh masa untuk anak-anak saya," ringkas jawab Maria sebaik dipanjangkan khabar mengenai kehidupannya kini.
Tidak mahu tanggungjawab menguruskan anak-anak terabai Maria lebih selesa mengisi masa terluang dengan menemani dan mengikuti perkembangan anak-anaknya.
Apatah lagi, tahun ini anak bongsunya, Nabila menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Mungkin ramai yang tidak sedar, di sebalik kerjaya seni yang mengangkat nama Maria sebaris dengan pelakon terkenal era tersebut antaranya Uji Rashid, Noor Kumalasari dan Raja Norbaizura, dia sebenarnya lebih banyak mengikuti aktiviti persembahan komedi dan nyanyian di fun fair.
Tidak malu
"Jika dikenangkan, aktiviti menyanyi dan berlawak bersama-sama AR Badul, Sukarni Jaafar dan Param ketika itu adalah kenangan manis buat saya.
"Biarpun bayaran ketika itu tidak terlalu tinggi tetapi pengalaman berjalan jauh dan dapat menghiburkan peminat membuatkan saya teruja," katanya yang gemar menyanyikan lagu Gadis Dan Bunga yang dipopularkan oleh Rahimah Rahim dalam persembahannya.
Dengan bayaran persembahan tertinggi RM500, menurutnya lebih dari cukup untuk dijadikan sebagai pendapatan sampingannya ketika itu.
Merindui detik itu, kata Maria keseronokan menghiburkan penonton secara berkumpulan secara tidak langsung memberi pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya.
Mengimbau detik awal dia melibatkan diri secara serius dalam lakonan, cerita Maria, pengarah S. Sudarmaji adalah individu yang bertanggungjawab membuka laluannya sebagai pelakon.
Filem pertama yang dilakonkannya ialah Langit Tidak Selalu Cerah pada tahun 1979.
Filem-filem lain yang turut dilakonkan oleh Maria ialah Sumpah Semerah Padi (1980), Ribut Barat (1981), Bertunang (1981) dan Keluarga 99 (1987).
Maria gembira imej bersih
Mengheret gelaran ibu tunggal ketika mula melibatkan diri dalam dunia seni ternyata bukan satu masalah besar buat dirinya.
Apa yang menariknya tentang wanita bercucu lima ini, sejak mula penglibatannya sehingga kini dia langsung tidak pernah dipalit sebarang gosip.
Cantik, berimej seksi dan gelaran ibu tunggal jika Maria diletakkan pada zaman ini sudah pasti langkahnya sering diekori jelingan sinis dan pandangan negatif masyarakat.
Memanjang pertanyaan tentang imej bersihnya itu Maria yang sentiasa mengukir senyuman itu sesekali ketawa.
"Sebenarnya dulu memang ada juga gosip tapi kebanyakannya melibatkan gambar-gambar saya yang agak seksi yang berkaitan peribadi saya rasa memang tiada.
"Berbeza dengan zaman sekarang, ketika itu mungkin artis tidak ramai, teknologi pun tidaklah secanggih sekarang yang mempunyai kemudahan Internet membolehkan pelbagai cerita disampaikan dengan lebih meluas.
"Dulu saya juga keluar bersama kawan-kawan, bagaimanapun kenalah pandai membawa diri dan menjaga batas pergaulan," kata Maria lagi.
Sentiasa menjaga batas pergaulan, kini Maria sentiasa berpesan kepada anak-anaknya agar tidak terdedah kepada perkara-perkara yang boleh menimbulkan reaksi negatif orang ramai.
Sempat bertanya tentang perancangan akan datang, kata Maria dia merancang untuk membuka sebuah syarikat penerbitannya sendiri tidak lama lagi.
Sebelum ini, Maria pernah mempunyai syarikat penerbitan sendiri, MA Film Productions, namun tidak lagi aktif sejak mendirikan rumah tangga pada tahun 1991.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: