Tuesday, October 27, 2009

Kenali budaya di Inap Desa


PERMAINAN tradisional yang memberi peluang kepada peserta merasai suasana kampung .


PELUANG dan kesempatan untuk menghabiskan percutian sambil mengenali keindahan budaya masyarakat kampung melalui penginapan di inap desa tidak harus dilepaskan.

Itulah pengalaman yang dikongsi oleh 50 peserta Segitiga Pembangunan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT) melalui Lawatan Inap Desa anjuran Tourism Malaysia dan Kembara Dunia Travel & Tours Sdn. Bhd. yang berlangsung di empat buah negeri baru-baru ini.

Lebih menarik kerana penyertaan turut disertai oleh wakil-wakil media dari Indonesia dan Thailand yang diharap dapat memberi kesan daripada penganjuran program. 'Pengembaraan' bermula di Kampung Raga, Kedah sehingga ke Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah.

Ketibaan peserta di Kampung Raga disambut dengan persembahan seperti perarakan bunga mangga, bunga telur, pukulan gendang tradisional dan pertunjukkan silat.

di Inap Desa Kampung Raga, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung JKKK, Fisal Mohd. Tahir mengalukan kedatangan rombongan peserta dengan ucapan pengenalan aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Selepas ucapan, peserta yang dibahagikan kepada 12 kumpulan diperkenalkan dengan keluarga angkat masing-masing. Memberi peluang kepada mereka untuk menikmati suasana kampung.

Aktiviti pada sebelah petang termasuk menarik upih, bermain boling kelapa dan menangkap itik. Pada sebelah malamnya, majlis dimeriahkan dengan beberapa persembahan kebudayaan.

Peluang berada di Kedah tidak dilepaskan juga untuk mengunjungi hutan lipur Sungau Sedim yang terletak di Merbok. Di situ, peserta berpeluang melakukan jelajah dari puncak pokok menaiki jambatan gantung tertinggi di negara ini.

Rekreasi lain termasuk kursus keyakinan air bagi membantu peserta mengatasi perasaan takut berada di dalam air. Jeram Sungai Sedim terkenal sebagai salah satu daripada lokasi sukan white water rafting terbaik di rantau ini.

Di Perak Darul Ridzuan, peserta dibawa ke Taman Kolam Air Panas Sungai Klah untuk menikmati keindahan alam semula jadi sambil berendam di kolam air panasnya.

Destinasi ketiga adalah satu lagi inap desa yang popular di Negeri Sembilan iaitu Laman Bangkinang. Sekali lagi peserta dipertemukan dengan keluarga angkat masing-masing. Aktiviti di Laman Bangkinang diserikan dengan pertandingan ratu kebaya dan acara sukan tradisional.

Di lokasi terakhir, Melaka, peserta menghabiskan masa di lokasi-lokasi popular seperti Kota A-Famosa, Persiaran Jonker dan bangunan Stadthuys yang terdapat di bandar terawal. Program yang diuruskan oleh ANCM Creative Sdn. Bhd. bertemakan konsep eko-pelancongan itu berakhir di Melaka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: