![]() |
| PERAIRAN Manado yang menjadi syurga aktiviti selam skuba. |
TERPENCIL jauh di utara Sulawesi, Manado merupakan titik permulaan pengembaraan di bumi paling timur Indonesia yang kaya dengan khazanah alam tidak terusik.
Di kalangan penyelam skuba, Manado bukan lagi nama yang asing. Bunaken, Siladen dan Selat Lembeh sudah lama menjadi lokasi kegemaran penyelam.
Gugusan kepulauannya merangkumi pulau-pulau seperti Nain, Mantehage, Manado Tua, Bangka dan Gangga.
Selain terkenal dengan syurga di bawah air, Manado juga kaya dengan pelbagai tarikan seperti pusat peranginan tanah tinggi, gunung berapi, hutan simpan, kolam air panas dan kubur purba.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Sam Ratulangi, tarikan paling hampir adalah bandar Manado yang terletak kira-kira 30 minit selepas pelancong mendapatkan perkhidmatan teksi.
Bandar yang pernah menjadi kubu kuat tentera Belanda suatu ketika dahulu itu kini adalah pusat kebudayaan orang Minahasa yang penuh keunikan.
Meskipun tidak dikenali sebagai destinasi membeli-belah, Manado turut dilengkapi beberapa pasar raya seperti Mega Mall, Town Square dan Boulevard.
Jika mahukan cabaran, pengembaraan boleh dilakukan ke puncak gunung berapi Lokon dan Mahawu yang mempunyai kawah yang membentuk tasik pada ketinggian 1,580 meter dan 1,311 meter. Pendakian dari Kampung Rurukan mengambil masa antara satu hingga dua jam.
Selain itu, Hutan Simpan Dua Saudara yang terletak di utara Bitung juga terkenal sebagai tempat melihat Tarsier (gambar), monyet paling kecil di dunia dan beberapa spesies burung kenyalang.
Terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari Bandar Manado, lembah itu menyajikan pemandangan padang rumput luas yang pasti memukau.
Di Kampung Sawangan, kira-kira 25 km dari Manado, pelancong boleh melawat Waruga iaitu tanah perkuburan megalit orang Minahasa yang wujud sejak ribuan tahun.
Keunikan 144 buah batu nisan berukir itu adalah bumbung berbentuk segitiga dan ruang kosong di dalamnya. Berhampiran tapak bersejarah itu disediakan galeri maklumat untuk rujukan pelancong.
Di antara Kiawa dan Kawangkoan iaitu dua buah kampung yang terkenal dengan pemandangan kampung tradisional, tersembunyi gua yang pernah menjadi stor penyimpanan bekalan oleh tentera Jepun.
Di Manado juga, masyarakat Minahasa juga terkenal dengan pelbagai jenis hidangan tradisional yang berselera pedas.
AirAsia kini menawarkan penerbangan tiga kali seminggu ke Lapangan Terbang Sam Ratulangi. Manado mungkin destinasi anda seterusnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: